Tuesday, July 13, 2010

Kenderaan kastam dihimpit tonto


SAMAWE (dua dari kanan) menunjukkan mercun seludup yang dirampas pada sidang akhbar di Kuantan semalam.


KUANTAN - Menjelang musim perayaan, kegiatan penyeludupan mercun makin menjadi-jadi manakala kumpulan penyeludup agresif mencabar pihak penguat kuasa.

Kelmarin, dua penguat kuasa Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Pahang nyaris kemalangan apabila kenderaan mereka dihimpit sebuah lori seberat 10 tan yang dipercayai membawa mercun seludup dan sebuah kereta tonto.

Pengarah KDRM Pahang, Datuk A. Samawe Hassan berkata, kejadian pukul 1.30 petang itu berlaku di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Cherating ketika anggotanya mengekori sebuah lori dalam keadaan mencurigakan dinaiki tiga suspek lelaki.

"Lori itu kemudiannya berhenti di tengah jalan raya kira-kira beberapa meter dari kenderaan penguat kuasa ketika laluan sedang sibuk.

"Tiba-tiba datang sebuah kenderaan tonto jenis Perodua Myvi dari arah belakang menghalang kereta penguat kuasa dan lori itu kemudian memecut ke arah Kuantan bersama kereta tonto tersebut," katanya pada sidang akhbar di Wisma KDRM di sini semalam.

Katanya, ketika dikejar, kenderaan penguat kuasa cuba dihimpit oleh lori dan kereta tonto sehingga nyaris kemalangan.

Menurutnya, lori berwarna hitam tersebut kemudian dikesan oleh pasukan penguat kuasa di kawasan industri Gebeng pada pukul 5.30 petang manakala tiga suspek berkenaan melarikan diri.

"Selepas diperiksa, anggota penguat kuasa menjumpai 8,000 kilogram pelbagai mercun bernilai RM400,000 dalam kotak dengan jumlah cukai dianggar RM300,000," katanya.

Jelasnya, pihaknya percaya mercun tersebut dibawa masuk dari negara jiran dan akan diedar di seluruh negeri ini sempena musim perayaan pada September nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: