Thursday, July 1, 2010

Impak fabrik polos


Perincian pada dada dan leher menyerlahkan rekaan.


CUBA menampilkan keunikan dan kelainan dalam fesyen Hari Raya Aidilfitri kali ini, Rizalman Ibrahim, 39, dilihat berani bermain dengan warna-warna terang dan garang selain penggunaan kain jenis jersi.

Rekaan kali ini sememangnya direka khusus buat wanita-wanita muslimah di mana pakaian yang ditampilkan tidak seksi serta gaya bertudung yang diketengahkan nampak elegan dan mewah.

Sentuhan terbaru Rizalman ini pastinya menepati cita rasa anda.

Masih bekerjasama dengan butik Puteh, Rizalman dilihat menampilkan rekaan-rekaan yang bermutu di samping pemilihan kain polos untuk fesyen Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut Rizalman, pemilihan kain jenis jersi adalah kerana ia memberi impak yang menarik ketika dipakai selain bersesuaian dengan iklim di Malaysia.

''Sebenarnya jika dilihat, kain jenis jersi ini merupakan jenis material yang selesa untuk dipakai dan ia juga sesuai untuk dibuat baju.

''Pada masa yang sama, kain jersi ini senang dijahit dan dibentuk dan jika dilihat daripada segi pemilihan warna pula, ia merupakan warna-warna baru.

''Untuk kain polos pula ia sebenarnya akan menampilkan perincian yang tersembunyi dan tidak salah sekiranya anda bergaya dengan kain polos,'' ujarnya ketika ditemui selepas majlis pertunjukan Raya 2010 di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 30 koleksi jubah kaftan dan baju kurung diperagakan di samping telekung.

Jika dilihat daripada rekaan yang dihasilkan, ia sememangnya memberi kelainan dalam dunia fesyen hari ini kerana dengan kain yang kosong dan penggunaan warna-warna yang terang dan garang, ia diserikan lagi dengan aksesori-aksesori yang menarik untuk digayakan.

Jelas Rizalman lagi, koleksinya kali ini disasarkan kepada orang-orang bandar dan selain sesuai untuk digayakan di pagi raya, ia juga sesuai untuk dipakai ketika menghadiri rumah terbuka.

Tambah beliau, fesyennya kali ini juga dihasilkan inspirasi daripada suasana kampung di samping penutupan aurat yang maksimum.

''Jika dilihat rekaan yang dihasilkan, terutama tudung yang berselepang, ia adalah cara pemakaian orang-orang kampung zaman dahulu menutup rambut mereka ketika keluar rumah.

''Daripada situlah idea tercetus malah kesemua rekaan hari ini juga menutupi aurat si pemakai pada tahap yang maksimum,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: