Tuesday, July 13, 2010

Gameshow 1 VS 0 tampil kelainan

SELEPAS menyertai program realiti tarian, Sehati Berdansa musim ke-3 (SB3), kedua-dua selebriti ini nampaknya dilihat mempunyai keserasian yang cukup baik .

Malah, kedua-dua mereka yang mempunyai susuk tubuh berbeza ini juga acap kali digandingkan bersama, baik di dalam produksi drama mahu pun di dalam majlis yang berbentuk acara.

Terbaru, Didie Alias dan Enot digandingkan sebagai hos dalam gameshow pula.

Rata-rata berpendapat pemilihan mereka sebagai hos dalam program komedi yang membabitkan penyertaan artis itu bukan saja sesuai dan kena tetapi juga sangat tepat.

Gameshow terbaru itu bakal menemui penonton melalui saluran Astro Warna (saluran 132), Kalau Berani 1 VS 0 yang menampilkan Didie Alias dan Enot sebagai pengacara yang kelakar dan selamba.

Menariknya rancangan ini kerana setiap episod enam orang artis popular Malaysia akan dijemput dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Permainannya pula diinspirasikan daripada permainan kampung. Pastinya berbeza dengan program gameshow lain yang lebih berbentuk permainan moden, malah pasti mendatangkan rasa ghairah kepada anak-anak muda zaman sekarang yang tidak mengenali dengan permainan tradisional.

Sedikit sebanyak bolehlah juga mereka belajar permainan dulu-dulu melalui gameshow ini.

Malah, ketika berpeluang menyaksikan rakaman salah satu program tersebut baru-baru ini, kebanyakan media terhibur melihat kesungguhan Erra Fazira, Scha Al-Yahya dan Nurul (kumpulan 1) dan Kenchana, Kak Rock dan Ikhwan Hot FM (kumpulan 0) bersaing dalam setiap segmen.

Riuh rendah studio dibuatnya dengan karenah dan telatah mereka lebih-lebih lagi Kak Rock yang terkenal dengan ketawa berbisanya.

Penerbit dan juga pengarah program itu, Michael Ang berkata, penonton tidak seharusnya melepaskan peluang melihat gelagat selamba di dalam program ini.

Antara segmen yang diperkenalkan seperti Belon Hempap, Makan Suap, Mak Suruh Makan, Aku Tak Bodoh, Si Bisu dan Si Buta, Gosip Cik Kiah dan banyak lagi.

Artis-artis yang terlibat pula adalah Farish, Reza, Shari, Aizat, Aril, Akim, Jue Aziz, Sabrina Ali, Nadia Mustafa, Beego, Dafi, Nubhan, Black, Ayu, Azrul, Fasha Sandha dan ramai lagi.

Jadi saksikan lah program terbitan Box Lite Film Sdn Bhd ini bakal ke udara mulai 16 Julai 2010 setiap Jumaat pada jam 10.00 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: