Tuesday, July 13, 2010

Ain dituduh sombong tidak bertempat



Menceburkan diri dalam bidang seni hiburan memang banyak cabaran. Andai kata tersalah langkah padah jawabnya, apatah lagi sebagai pendatang baru yang sering kali diperhatikan setiap gerak geri.

Bekas pelajar Akademi Fantasia 8 (AF8), Ain atau nama sebenarnya Nadiawati Ainul Basir, 23, tidak terlepas daripada beberapa tuduhan termasuklah sombong tidak bertempat malah paling memburukkan keadaan kurang menghormati orang lain terutama media.

Bila diterjah dengan beberapa soalan berkaitan, kini Ain nampaknya sudah mula bijak dalam mengatur tutur bicaranya.

Ain berkata, sememangnya dia ada mendengar desas-desus mengenai cerita dia dikatakan agak sombong namun mengambil tindakan untuk berdiam diri sahaja, bimbang akan lebih memburukkan keadaan.

“Sebenarnya isu ini bermula ketika saya mula-mula keluar daripada AF8. Semuanya disebabkan program tersebut memaparkan perangai yang agak gila-gila dan sering cakap lepas. Dalam program tersebut saya menjadi diri saya yang sebenar dan bukan berlagak ayu supaya orang suka pada personaliti saya. Daripada sinilah saya akui cerita-cerita saya berlagak sombong timbul.

"Mungkin ada yang terasa kerana dengan orang yang saya kurang kenal, ternyata saya agak diam. Tetapi, apabila sudah mengenali, barulah mereka tahu bagaimana sikap saya yang sebenar,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di majlis pelancaran album baru Anita Sarawak, Cinta Anita baru-baru ini.

“Dengan gosip dan kontroversi seperti ini yang melanda diri saya, diakui sedikit sebanyak memberi kesan kepada karier saya. Oleh kerana tempias itu saya mulai sedar betapa sukarnya menjadi seorang artis. Paling menyakitkan apabila ada penaja yang menarik balik di saat persembahan hampir tiba apabila mendengar dan terbaca akan khabar seperti ini.

“Maklumlah saya sebagai public figure apa sahaja yang dilakukan menjadi perhatian orang ramai. Oleh sebab itu, kini saya sentiasa mengawal tingkah laku dan berhati-hati dalam setiap pertuturan agak tidak kelihatan keterlaluan di hadapan peminat khususnya,” katanya.

Ain suka Maulana

Bercerita mengenai hubungan dengan seorang lagi bekas bekas pelajar AF8, Maulana, Ain mengakui mereka semakin serasi bersama.

Tanpa berselindung, Ain mengaku bahawa dia dan Maulana sememangnya serasi berdua kerana masing-masing mempunyai minat yang sama dalam bidang seni suara.

"Saya langsung tidak ambil kisah apabila orang masih lagi menyatakan saya dan Maulana teman tapi mesra atau apa sahaja. Ini kerana memang benar kami berdua rapat,” katanya yang memanggil Maulana hanya dengan panggilan Mau sahaja.

Sementara itu, Ain turut menambah bahawa sehingga kini hubungan mereka bertambah akrab.

“Apa yang membuatkan saya suka kepada Maulana adalah sikapnya yang baik, kreatif dan mudah membantu orang lain termasuk saya,” katanya lagi yang turut menolak dakwaan dirinya sering mengawal pergerakan Maulana.

“Saya tidak pernah mengongkong sesiapa termasuk Mau, mungkin ada pihak yang salah faham apabila saya selalu menjeling ke arahnya apabila dia berkata-kata. Itu bukan bermakna saya mengongkongnya tetapi hanya sekadar ingin menyakatnya atau apa yang dikatakan itu di hadapan orang sama dengan apa yang difikirkan oleh saya.”

"Di samping itu, tidak kurang juga dirinya yang selalu menyakat saya dan apa yang boleh saya katakan, semua yang kami lakukan ini hanya sekadar bergurau. Namun yang pasti ia tidak lebih daripada itu hingga boleh dimasukkan dalam kategori bercinta,” jelasnya dengan lebih terperinci bagi mengelakkan banyak pihak yang masih salah faham terhadap dirinya.

Dengan pelbagai soalan yang diterjah, di hujung perbualan Ain akhirnya akur dan menerima dengan hati yang terbuka andai jodohnya adalah bersama Maulana satu hari nanti.

Namun begitu, buat masa ini status mereka biarlah berkawan rapat sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: