Monday, July 5, 2010

Dari hartanah ke kosmetik




CITA-CITANYA sejak kecil adalah ingin bergelar seorang wanita yang berjaya dan mampu memiliki segala-galanya dengan titik peluh sendiri.

Namun, fikirannya ketika itu tertanya, adakah dia berkebolehan untuk mendapat keistimewaan yang diimpikan itu? Dia musykil pada mulanya memandangkan situasi keluarganya tidak seperti golongan lain yang sering dilimpahi pelbagai kesenangan.

Meskipun persoalan itu sering menjadi tanda tanya, Teresa Ong Shuh Huah merasakan hidupnya tetap bernasib baik kerana masih mempunyai keluarga untuk mengadu dan berkongsi perasaan.

Jadi dari situ, semangat pengetua Make Up For Ever (MUFE) Kuala Lumpur itu mula membara untuk membuktikan bahawa kesempitan hidup bukan satu halangan untuk berjaya.

"Bapa saya pernah kehilangan kerja. Saya yang merupakan anak pertama daripada dua beradik sudah semestinya rasa bertanggungjawab untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga," ujarnya yang ditemui ketika pelancaran koleksi kosmetik Moulin Rouge MUFE di Singapura, baru-baru ini.

Wanita yang memiliki tutur kata lembut itu sedia berkongsi kisah silamnya yang melalui pelbagai liku sebelum mengecapi kejayaan.

Menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor, Teresa menyerlah dalam pencapaian akademiknya.

Walau bagaimanapun, dia tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara disebabkan tidak mempunyai sokongan kewangan yang kukuh. Itu juga tidak membuatkannya patah semangat.

"Waktu itu memang ramai yang sambung belajar ke luar negara. Tetapi memandangkan saya tidak ada rezeki, menuntut di tanah air sudah memadai.

"Paling penting, untuk berjaya adalah dengan memberi fokus terhadap apa yang diimpikan," katanya yang menyifatkan dirinya sebagai ulat buku.

Sejurus memperolehi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Teresa yang hanya mahu mendedahkan usianya sekitar 30-an memberitahu, dia membuat keputusan untuk memilih jurusan Setiausaha di Chartered Institute of Marketing, Kuala Lumpur.

Demi mendapat apa yang diimpikan, Teresa tidak mengharapkan bantuan kewangan daripada kedua-dua ibu bapanya atau mana-mana pinjaman pembelajaran. Bagi menampung kos pengajian ijazahnya, Teresa gigih melakukan tiga pekerjaan serentak.

Tampung pengajian

"Walaupun terdesak dengan kewangan, saya tetap ingin menimba ilmu pengetahuan. Bagi saya, dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang itu perlu menguasai ilmu sehingga ke akhir hayat.


TERESA (duduk) dan Alicia mahu membawa kegemilangan MUFE kepada mereka yang meminati dunia solekan.


"Bagi membiayai yuran dan duit belanja harian saya melakukan tiga pekerjaan dalam tempoh pengajian termasuk sebagai jurujual dan penyambut tetamu," ungkapnya.

Sepanjang menempuh rutin mencabar itu, Teresa memulakan langkah mencari rezeki seawal pukul 6 pagi setiap hari dan sering pulang lewat.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia perniagaan, dia yang fasih berbahasa Melayu memilih untuk menubuhkan beberapa syarikat.

"Disebabkan melihat perniagaan merupakan kerjaya yang menguntungkan, saya mula membuka syarikat pengurusan hartanah.

"Rezeki di dalam industri tersebut amat cerah. Atas kesungguhan itu, saya telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Presiden Perancang Hartanah dan Wasiat Malaysia," jelasnya.

Begitupun, perniagaannya itu langsung tidak berkait rapat dengan apa yang sedang diusahakannya kini iaitu MUFE.

Teresa sendiri tidak menyangka akan terlibat dengan dunia kecantikan memandangkan dia bukannya seorang wanita yang gemar bersolek tebal.

Jelasnya, peluang melibatkan diri dengan kosmetik MUFE ibarat berlaku sekelip mata apabila dia bertemu dengan salah seorang pengedar MUFE dari Singapura dua tahun lalu.

"Setelah mengenali Alicia dengan lebih rapat, saya bersedia untuk menaikkan nama MUFE bersamanya. Kami merupakan rakan karib yang cukup persefahaman.

"Sebab itulah sepanjang mengendalikan MUFE, sebarang masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan tenang. Bagi saya, bukan senang untuk mendapat rakan kongsi yang memahami antara satu sama lain," jelasnya yang baru sahaja pulang dari lawatan kerja di Paris.

Walaupun jadualnya padat, Teresa beranggapan ia tidak memenatkan dirinya. Bahkan dia berpendapat, pekerjaan yang dilakukannya itu merupakan salah satu cara untuk bercuti.


KOLEKSI Moulin Rouge menggambarkan gaya seksi wanita.


"Bila kita lakukan perkara yang disukai, maka penat lelah yang diharungi langsung tidak terasa," terangnya ringkas.

Wanita dan kecantikan

Sementara itu, teman seperjuangan Teresa iaitu Alicia Chong, 40, dunia kecantikan seperti tidak boleh dipisahkan dengan dirinya. Memegang diploma solekan profesional, tidak mustahil dia mampu menerajui Akademi MUFE di Singapura.

Rata-rata yang mengikuti kursus di akademi tersebut merupakan pelajar dari serata dunia seperti Jepun, Indonesia dan Korea.

"Istimewanya tentang akademi ini adalah kami menerima pelajar dari negara luar. Mereka memilih Akademi MUFE Singapura kerana setiap tunjuk ajar itu dilakukan dalam bahasa Inggeris," terang ibu kepada dua cahaya mata itu.

Wanita kelahiran Kota Singa itu mempunyai latar belakang berlainan dengan Teresa. Sejak dari dulu, Alicia sudah melibatkan diri dengan aliran kecantikan dan kesihatan.

Baginya, aspek kecantikan harus diutamakan terutama di kalangan kaum wanita. Antara petua yang dipercayainya, memiliki hati yang sentiasa tenang akan menjadikan penampilan seseorang wanita sentiasa ceria dan segar.

Mendedahkan beberapa tip, Alicia bukan hanya mengamalkan rejim kecantikan pada dirinya sendiri. Dia turut menekankan rutin penjagaan itu kepada anaknya supaya memakai pelembap muka setiap kali selepas mandi.


ANTARA ekspresi wajah menggoda yang mendapat sentuhan MUFE.


"Ada antara kita menganggap kanak-kanak tidak boleh memakai sebarang peralatan penjagaan wajah. Tetapi tanggapan itu sebenarnya salah.

"Kanak-kanak perlu diajar menjaga muka sejak mereka kecil. Namun, produk yang perlu dipakai itu mesti sesuai dengan usia mereka. Produk digunakan mestilah berasas minyak tumbuh-tumbuhan," jelas Alicia.

Menyentuh mengenai koleksi kosmetik terbaru MUFE iaitu Moulin Rouge, warna yang ditekankan adalah lebih garang dan berani untuk diperagakan wanita.

Selain itu, kehebatan jenama kosmetik yang sudah berusia 26 tahun itu meliputi keseluruhan jenis mekap yang diinginkan.

Bukan hanya tertakluk kepada sentuhan solekan wajah, MUFE turut mengetengahkan solekan artistik yang sering digunakan dalam babak lakonan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: