Thursday, July 8, 2010

Buruh wanita jalanan Pakistan


Ayesha Bibi (kirI) dan Ameer Mai bekerja memecah batu bagi menyara hidup.


DI bawah pancaran terik matahari di bumi Pakistan, ditambah suasana bingit deruman lori yang memekakkan telinga dan bunyi hon bertalu-talu serta bau tengik karbon dioksida yang keluar dari ekzos, seorang wanita mengandung, Ayesha Bibi menjunjung baldi yang berisi penuh batu. Sesekali dia kelihatan seperti cuba menahan kesakitan. Baru berusia 29 tahun, dia merupakan seorang bekas balu yang mempunyai empat orang anak.

Usia kandungannya sekarang sudah mencecah lima bulan. Bekerja sebagai buruh binaan di tepi sebatang jalan raya di sebuah perkampungan berdekatan sempadan India, itulah satu-satunya pekerjaan yang boleh dilakukannya dalam usaha untuk mencari sesuap nasi bagi menyara kehidupan anak-anak.

Pakistan mungkin salah sebuah negara di dunia yang nasib kaum wanitanya masih terabai. Kesihatan kaum tersebut tidak diutamakan. Tidak ada perundangan tempatan bagi mengatasi kejadian jenayah rumah tangga dan seks.

Suami Bibi sekarang yang merupakan ayah kepada anak yang dikandungnya itu, enggan membayar nafkah menyara anak-anak tirinya.

Keadaan itu memaksa Bibi berjemur di bawah terik matahari mengerah kudrat dan keringat melakukan kerja-kerja kasar membina jalan raya dari Wazirabad ke Islamabad sejauh yang 193 kilometer di Tenggara Islamabad.

"Saya tidak pernah memikirkan mengenai bayi saya yang belum lahir ini. Dia akan mengalami nasib yang sama seperti saya alami sepanjang hidup," kata Bibi.

Golongan wanita seperti Bibi yang bekerja sebagai memecah batu dalam projek pembinaan jalan adalah buruh yang paling murah di Punjab dan Sidh, iaitu dua wilayah di Pakistan yang paling membangun.

Sejak beberapa generasi lalu jalan-jalan di wilayah itu boleh dikatakan dibangunkan oleh tenaga dan kudrat wanita.

Ramai di kalangan mereka tidak mengetahui cara meneruskan kehidupan lain. Apa yang mereka tahu ialah dilahirkan di sepanjang jalan itu. Membesar di situ dan kemudian bekerja sebagai buruh binaan.

Ketika berehat seketika, Bibi berkata, dia mungkin melahirkan anaknya dalam tempat yang kotor tersebut.

"Kami melahirkan anak di sepanjang jalan ini. Berkahwin dan kemudian mati di jalan ini. Ini adalah kehidupan kami dan kami tidak tahu apa-apa lagi kecuali memecahkan batu," katanya.

Bagi sebuah Pertubuhan Hak Asasi Manusia, Godh, yang sering membangkitkan hal berkaitan kebajikan pekerja-pekerja buruh itu, menganggarkan lebih daripada dua juta rakyat Pakistan menjadi buruh membina jalan. Lebih 900,000 di kalangan tenaga pekerja itu wanita.

Menurut Pengarah Eksekutif kumpulan pertubuhan berkenaan, Nazir Ghazi, kerajaan tidak memberi perhatian terhadap golongan itu manakala ibu bapa pula tidak melakukan apa-apa untuk melatih anak-anak mereka.

''Keadaan pekerja wanita dan kanak-kanak ini amat menyedihkan. Kesemua mereka akan tetap bekerja kecuali apabila mereka sakit. Bagi mereka yang mengandung, wanita-wanita ini akan bekerja sehingga saat mereka bersalin.

"Ini menyebabkan keadaan bayi mereka lemah dan mengalami kulit melepuh akibat membesar dengan keadaan persekitaran yang teruk. Kanak-kanak pula tidak mempunyai kemudahan untuk belajar," katanya.

Tiada bezanya dengan Ameer Mai, yang telah melakukan pekerjaan itu sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Sekarang usianya telah mencecah 45 tahun. Dia mula bekerja memecahkan batu untuk membantu menyara ibu bapanya. Kemudian diteruskan untuk membantu suami dan menyara anak-anak. Sekarang dia memerlukan 240 dolar bagi anaknya yang berusia dua tahun disahkan menghidap sakit buah pinggang.

Ameer dan suaminya mendapat upah 250 rupee (tiga dolar) sehari; anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun, Mussarrat menerima 150 rupee sehari.

''Dengan duit itu, kami membeli satu beg gandum, sayur-sayuran dan tidak mampu membeli daging,'' katanya.

Air mata berlinangan di kelopak mata Ameer ketika dia menceritakan kesukaran hidupnya sambil tangannya memegang anak lelakinya, Shahid. Sebelah lagi tangannya memegang sebiji baldi..

Tidak berupaya memecah kitaran hidup yang sukar itu, dia bakal mewariskan kehidupan yang sukar itu kepada anak perempuannya. Sementara anak-anak perempuan lain belajar di sekolah dan bergelut dengan buku, Mussarrat menjunjung baldi yang berisi batu di Punjab Zafarwal iaitu sebuah kawasan di Sialkot.

''Saya beritahu ibu saya mahu ke sekolah dan tidak mahu bekerja tetapi dia selalu menyebut, awak harus bekerja jika tidak awak tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan," beritahu Mussarrat kepada AFP, dengan mukanya merah terbakar di pancar cahaya matahari dan rambutnya penuh lumpur.

''Kadang-kadang saya rasa mahu meninggalkan tempat ini dan berbaring," katanya.

Pengurus di salah sebuah syarikat pembinaan jalan di Wazirabad-Daska menafikan bertanggungjawab ke atas buruh wanita dan kanak-kanak.

''Kami telah menyerahkan tugas-tugas memecahkan batu-batu kepada kontraktor yang mengupah mereka. Kami tidak berurusan secara terus dan kami hanya tahu kerja-kerja kami selesai."

Katanya, sub-sub kontraktor kebanyakannya terdiri daripada para suami, abang dan sepupu kepada wanita berkenaan. Banyak kempen-kempen telah dijalankan bagi mewajibkan pendidikan kepada semua kanak-kanak yang berumur di bawah 16 tahun dan menyediakan mereka penjagaan kesihatan secara percuma. Sekarang ini, kanak-kanak yang berumur 16 tahun ke atas adalah dibolehkan dan layak untuk bekerja.

''Wanita-wanita ini sepatutnya bangkit bergabung dan mempunyai satu persatuan mereka sendiri, menuntut gaji yang sama kerana mereka juga bekerja macam mereka. Kadang kala gaji mereka dibayar kepada saudara lelaki mereka,'' kata Farhana Bari, ahli Pengasas Kumpulan Bantuan Pattan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: