![]() |
| Johan debat dari UIAM menerima hadiah yang disampaikan oleh Abdullah Ahmad Badawi di IKIM, Kuala Lumpur baru-baru ini. |
UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara Pertandingan Debat Kefahaman Islam antara Institusi Pengajian Tinggi kali ke-7 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pasukan debat UIAM itu menewaskan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam perbahasan bertajuk 'Daya Cipta Dipupuk Bukan Semulajadi'. Kemenangan ini mengulangi kejayaan UIAM sebagai juara pada tahun 2003.
Pasukan UIAM sebagai pencadang dibarisi oleh Jefri Khairil Zabri pelajar tahun dua Pengajian Sains Politik, Nurul Husna Ahmad pelajar tahun empat Pengajian Undang-undang, Mohamad Salman Mohamed Ali pelajar tahun tiga Pengajian Ilmu Wahyu dan Mohamad Fitri Ahmad pelajar tahun tiga Pengajian Undang-undang.
Pasukan pembangkang dari USIM pula diwakili oleh Ummu Umairah Azahari pelajar tahun empat Pengajian Syariah & Undang-undang, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli, pelajar tahun empat Pengajian Syariah & Undang-undang, Mohammad Azri Naim Mohd. Kamal, pelajar tahun satu Pengajian Bahasa Arab dan Komunikasi dan Mohd. Ridhuwan Remly, pelajar tahun empat Pengajian Quran & Sunah.
Berikutan itu, UIAM membawa pulang wang tunai RM15,000, geran berjumlah RM10,000 untuk kelab Debat, buku-buku terbitan IKIM, Piala Pusingan dan sijil penyertaan.
Pendebat UIAM, Jefri Khairil turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik. Sekali gus membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, buku-buku terbitan IKIM dan sijil penyertaan.
USIM pula menerima hadiah wang tunai RM10,000, buku-buku terbitan IKIM dan sijil penyertaan.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Turut hadir, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.
Sebanyak 16 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara menyertai pertandingan selama lima hari bermula pada 8-12 Februari 2010.
Antara IPT yang mengambil bahagian adalah Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Kolej Universiti Insaniah.
Pertandingan itu antara lain bertujuan meninjau dan menganalisis kemampuan para pelajar IPT mereka dalam memperkatakan hal yang berkaitan.
Ia juga diadakan dengan tujuan meningkatkan kefahaman semua pihak berkaitan Islam dan memberi peluang pelajar yang menuntut di IPT di negara ini menzahirkan pendapat, pandangan dan hujah mengenai isu yang berkait dengan hal ehwal Islam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: