Thursday, March 11, 2010

Sultan Ahmad Shah murka


PEMAIN skuad Harimau Muda kini sedang mengikuti latihan pendedahan di Slovakia.


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah murka dengan dakwaan sebuah akhbar tabloid tempatan kelmarin yang mengatakan skuad bawah 21 tahun (B-21) negara di Slovakia telah 'kena main' majikan sendiri.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, baginda menganggap laporan yang bersifat 'sensasi' itu langsung tidak mendatangkan faedah kepada perkembangan bola sepak negara.

"Mengikut apa yang dititahkan Tuanku, baginda nampaknya murka dengan laporan berita tersebut kerana ia mungkin akan menjejaskan moral dan semangat pemain-pemain B-21 negara yang berada di Slovakia ketika ini.

"Apabila saya pulang ke tanah air nanti, saya akan memohon penjelasan daripada pihak akhbar terbabit dan jika ia tidak memuaskan, Tuanku mahu kita (FAM) mengambil tindakan undang-undang," kata Azzuddin yang kini berada di Slovakia.

Isu tersebut timbul apabila dua perlawanan awal skuad B-21 negara menentang pasukan Liga Divisyen Dua Slovakia, Liga I iaitu Slovan Duslo Sala dan MFK Ruzomberok sebenarnya hanyalah berstatus aksi persahabatan.

Ia jelas bertentangan dengan apa yang diberitahu pihak FAM sebelum ini yang menyatakan semua 14 perlawanan yang disediakan buat skuad B-21 negara itu dikira sebagai aksi kompetitif dalam liga tersebut.

Biarpun demikian, Azzuddin tetap menganggap akhbar tabloid tersebut tidak memahami tujuan asal FAM menghantar skuad pelapis negara itu ke Slovakia untuk tempoh tiga bulan sehingga penghujung Mei depan.

"Apa yang saya boleh komen dengan laporan seperti itu. Ia dengan sendirinya mendedahkan mutu atau tahap profesionalisme penulis itu sendiri.

"FAM tidak ada masa untuk melayan laporan-laporan seperti ini yang tidak memberi apa-apa faedah kepada pembangunan bola sepak negara.

"Tugas FAM ialah menyediakan pasukan bola sepak kebangsaan," kata Azzuddin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo! semalam.

Azzuddin turut memohon pihak media tempatan supaya memberi sokongan kepada pasukan skuad B-21 negara itu dan bukan sebaliknya.

"Mereka (skuad B-21 negara) pergi ke Slovakia ini bukanlah untuk menjadi juara Liga Slovakia. Itulah yang pihak akhbar berkenaan tidak faham," tambah Azzuddin.

Sementara itu, laman sosial facebook Harimau Muda yang sebelum ini kerap mengemaskini status terbaru pasukan dari Slovakia setiap hari telah mengambil pendekatan 'tutup mulut' selepas laporan berita tersebut keluar.

"Pihak Harimau Muda mengambil pendekatan untuk tidak membuat sebarang komen berhubung status kami di Slovakia.

"Apa pun matlamatnya, kami di sini untuk mendapatkan pendedahan di peringkat yang kompetitif di samping memantapkan diri dan pasukan untuk cabaran yang akan datang.

"Hasil yang diperoleh dari sini akan kami gunakan sebaiknya demi memartabatkan sukan bola sepak negara," kata satu status di laman facebook berkenaan yang dikendalikan jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah dan penolong jurulatih, Azman Eusoff.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: