Tuesday, March 23, 2010

Simbol budaya masyarakat India




V. SEGAR, 40, jarang duduk diam atau berehat. Sebaliknya, lelaki itu sentiasa sibuk kerana perlu mencari dan menyediakan daun pisang untuk restoran-restoran yang menempah daun pisang daripadanya.

Sejak 25 tahun lalu Segar setia dengan rutin tersebut dan menganggapnya satu cabang rezeki. Dia mewarisi kerjaya tersebut daripada bapanya yang juga seorang pengedar daun pisang suatu ketika dahulu.

"Ini ialah makanan. Rezeki kepada manusia sejagat untuk menempuh perjalanan hidup yang lama. Saya memang bertuah kerana dapat menyediakan daun pisang untuk menampung makanan," kata lelaki berketurunan India itu.

Sejak berabad lamanya upacara kelahiran, perkahwinan, ritual keagamaan mahupun kematian masyarakat Hindu tidak sempurna tanpa daun, pokok ataupun setandan buah pisang.

Sifat semula jadi pokok pisang yang mudah hidup menjadi manifestasi kepada masyarakat India yang mengharapkan kesejahteraan dalam hidup.


HANYA daun pisang segar digunakan untuk menghidangkan makanan kepada pelanggan.


Pada masa yang sama, kulinari tradisional masyarakat India juga mengutamakan penggunaan daun pisang sebagai alas makanan bagi menggantikan pinggan mangkuk. Daun hijau yang beraroma itu bukan sahaja memudahkan proses menghidang makanan bahkan membangkitkan selera.

Rutin Segar yang padat menyebabkan dia hanya sempat meluangkan masa kira-kira sepuluh minit bersama penulis.

Dia perlu menghantar tempahan daun pisang ke lokasi tepat pada masanya. Segar merupakan satu-satunya pengedar daun pisang paling lama di sekitar Lembah Klang.

Memulakan rutin hariannya seawal pukul 5.30 pagi, dia akan bergegas ke Seremban, Negeri Sembilan bersama para pekerjanya masuk ke dalam hutan untuk mencari daun pisang.

Dalam menahan rasa mengantuk dan kedinginan pagi, dia dan pekerjanya sudah terbiasa menghadapi kesukaran meredah semak samun selain berhadapan dengan haiwan liar seperti babi hutan.

Menurut Segar, pokok pisang yang tumbuh di kawasan hutan mempunyai daun lebih segar, lebar dan cantik.

"Pertumbuhannya mungkin dipengaruhi oleh persekitaran semula jadi. Buahnya yang banyak biji juga menyebabkan ia hanya menjadi makanan haiwan di hutan," katanya ketika ditemui.


DAUN pisang yang menggantikan pinggan mempunyai simbol tersendiri kepada masyarakat India.


Selepas dua jam Segar dan pekerjanya meredah hutan belukar, dedaun pisang yang segar itu dipotong berhati-hati supaya ia tidak rosak. Helaian-helaian yang dipotong digulung dan diikat rapi dengan tali yang diperbuat daripada kulit pisang. Kebiasaannya, dia perlu menyiapkan sehingga 100 ikatan dengan setiap satunya mempunyai 700 helai daun pisang.

Bapa kepada lima orang anak itu memberitahu, kesemua ikatan itu dihantar kepada para pelanggannya di seluruh Lembah Klang dengan bantuan sebuah lori. Majoriti pelanggannya terdiri daripada pengusaha restoran daun pisang India dan gerai-gerai kecil.

Bukan setakat membekalkannya di kawasan sekitar ibu negara seperti Brickfields dan Ampang, khidmat penghantarannya termasuklah ke Petaling Jaya, Selayang dan Klang.

Dia yang memiliki sekumpulan pengedar di ibu kota turut membantu kerja-kerja pengedaran yang dibuat pada dua sesi iaitu sebelah tengah hari dan petang.

Sementara itu, makanan beralaskan daun pisang menjadi antara makanan yang popular di negara ini. Ekoran itu, banyak restoran daun pisang wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Sentuhan tradisional

Selain masyarakat India, kaum Melayu, Cina dan warga asing juga tidak melepaskan peluang menikmati masakan Selatan India yang dihidang dengan sentuhan tradisional itu.


MAKANAN yang dihidang di atas daun pisang menerbitkan aroma yang mampu membangkitkan selera.


Keenakan sajian yang dihidang di atas daun pisang bukan sahaja membangkitkan selera, bahkan mendorong mereka berkunjung ke restoran-restoran itu bersama ahli keluarga dan teman-teman.

"Penggunaan daun pisang dalam kulinari masyarakat India mempunyai simbol tersendiri. Selain mudah diperoleh, elemen-elemen kebersihan, semula jadi dan sebagainya mempengaruhi penggunaannya," kata Pengurus Kanna Curry House, Selvam Narayanan, 32, yang mengurus restoran makanan daun pisang di Seksyen 17, Petaling Jaya.

Makanan yang dihidang di atas daun hijau itu mencetuskan aroma dan memberi rasa yang lebih lazat.

Katanya, restoran yang telah beroperasi hampir dua dekad lalu itu menggunakan daun pisang untuk menghidangkan makanan. Daripada sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang sehingga makan malam.

Terdapat lebih 70 jenis menu disediakan saban hari untuk pilihan para pelanggan yang berkunjung ke restoran itu. Bagi mengekalkan kualiti hidangan, setiap dua jam sekali dia akan memasak menu yang baru supaya para pelanggan dapat menikmati sajian yang segar dan menyihatkan.

Rempah ratus yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis kari seperti kari ayam dan kambing dihasilkan sendiri tanpa mencampurkan bahan pengawet.

Menurut Selvam, makanan daun pisang juga jauh lebih murah dan berpatutan berbanding restoran-restoran lain. Para pengunjung boleh menikmati seberapa banyak hidangan tanpa bayaran untuk nasi, kuah atau sayuran yang ditambah.

Dalam pada itu, terdapat kaedah khusus melipat daun pisang selepas selesai menjamu selera. Setiap satunya mempunyai makna tersendiri dan berkait rapat dengan perasaan pelanggan yang telah menikmati hidangan tersebut.

Jika daun pisang dilipat ke arah diri oleh individu yang selesai menggunakannya, ia membawa maksud individu tersebut menghargai usaha tuan rumah (pengusaha restoran) dan berterima kasih di atas rezeki itu.

Namun, jika daun pisang dilipat bertentangan dengan diri seseorang yang sudah selesai makan, itu bermakna dia tidak berpuas hati dengan sajian tersebut.


SELVAM (kanan) mempunyai hubungan baik dengan pelanggannya, Muthu Kumar Kannan yang sering berkunjung ke kedainya.


Bagaimanapun, kepercayaan itu hanya terhad dalam masyarakat India. Namun, dalam masyarakat berbilang kaum, tidak ada salahnya jika perkara tersebut diambil tahu.

Selvam berkata, sumber daun pisang untuk restoran itu diperoleh daripada pengedar India tempatan. Setiap hari kira 1,500 helaian daun pisang ditempah dan dibeli daripada pengedar itu.

Daun yang dibeli itu dibersihkan dengan air dan disusun di tempat yang bersih supaya ia tidak mudah rosak atau layu.

Restoran yang beroperasi setiap hari bermula dari pukul 7 pagi hingga 11 malam itu juga mempunyai cawangan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Puchong, Kepong dan Klang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: