Michael Schumacher berlumba dalam satu sesi latihan di litar Australian Grand Prix, Melbourne pada 27 Mac 2010.KUALA LUMPUR, 27 Mac: Orang ramai berpeluang melihat secara dekat aksi dua pelumba pasukan Formula 1 (F1) Mercedes GP Petronas, Michael Schumacher dan Nico Rosberg, mempamerkan kepakaran memandu kereta lumba pasukan itu di sekitar jalan berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada Rabu ini (31 Mac).
Pengurus Besar Petronas Motorsports, Anita Azrina Abdul Aziz berkata dua pemandu itu akan melakukan beberapa pusingan di sekitar Jalan Binjai dan Lorong Kuda yang dianggarkan sejauh dua kilometer.
"Jadi orang ramai berpeluang untuk menyaksikannya dengan lebih dekat dan merasai suasana sebenar perlumbaan apabila berada di sepanjang dua jalan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran karnival Petronas Pit Pulse di KLCC hari ini.
Michael Schumacher.Anita berkata demonstrasi oleh Schumacher dan Rosberg itu merupakan antara program menarik yang dirancang bersempena karnival Petronas Pit Pulse itu yang bermula hari ini hingga 4 April depan.
"Selain itu orang ramai turut berpeluang untuk bertemu dengan kedua-dua pelumba terbabit dan pengurusan pasukan F1 Mercedes GP Petronas yang dirancang pada Selasa," katanya.
Beliau berkata karnival itu juga sebagai usaha Petronas untuk merancakkan lagi kesedaran dan promosi di kalangan orang ramai tentang perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 April ini.
Sementara itu, Naib Presiden Perkhidmatan Korporat Petronas, Ahmad Nizam Salleh berkata penglibatan pihaknya dalam sukan permotoran F1 tidak seharusnya dilihat sebagai acara sukan sahaja.
"Ia juga dapat membantu untuk meningkatkan minat di kalangan generasi muda terutamanya melalui aspek kejuruteraan, sains dan sebagainya yang berkaitan dengan sukan permotoran.
Nico Rosberg"Malah penglibatan ini akan dapat membantu mempromosikan Malaysia sebagai sukan pelancongan dan membantu perkembangan industri-industri yang lain," katanya.
Perlumbaan di Litar Sepang merupakan pusingan ketiga selepas GP Bahrain (12 hingga 14 Mac) dan GP Australia yang sedang berlangsung dengan perlumbaan utama bermula esok.
Pada GP Bahrain, pasukan Mercedes GP Petronas itu bermula agak cemerlang apabila Rosberg dan Schumacher masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kelima dan keenam dengan pelumba pasukan Ferrari, Fernando Alonso muncul sebagai juara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: