Monday, March 15, 2010

Saingan empat penjuru


Datuk Seri Tony Fernandes (Kiri) bersama pemandu Jarno Trulli, Fairuz Fauzy dan Heikki Kovalainen semasa pelancaran Lotus F1 di London baru-baru ini.


DEMAM Formula Satu akan kembali menemui peminat dunia permotoran pada hari esok dengan Litar Sakhir di Bahrain bakal menjadi gelanggang pertama buat semua pasukan memulakan saingan.

Jika beberapa musim terdahulu, persaingan kejuaraan hanya didominasi oleh dua seteru utama iaitu Ferrari dan Mercedes, ia tidak akan berlaku lagi pada musim 2009 apabila penguasaan dua pasukan itu berjaya dipecahkan oleh Brawn serta Red Bull.

Berbeza dengan musim 2010, saingan didapati semakin menarik kerana kehadiran tiga pasukan terbaru di samping penjenamaan semula juara pengeluar musim lalu, Brawn GP kepada Mercedes.

Malah, pengenalan pelbagai peraturan terbaru yang diperkenalkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pasti membuatkan saingan 2010 cukup mendebarkan untuk dipertontonkan.

Namun, berdasarkan analisis mudah kekuatan 12 pasukan yang bertanding, secara jelasnya hanya empat pasukan sahaja dilihat berpeluang meraih kejuaraan dunia musim ini iaitu Mercedes, McLaren, Ferrari dan Red Bull.

Pasukan Mercedes ternyata mendapat perhatian meluas kerana berjaya mendapatkan khidmat juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher di samping pelumba berbakat besar, Nico Rosberg.

Kedua-dua pemandu Jerman itu mempunyai kombinasi cukup sempurna buat pasukan Mercedes kerana mengadunkan pengalaman dan bakat di samping sentuhan prinsipal, Ross Brawn.

Kehadiran semula Schumacher pasti menggerunkan pelumba-pelumba berdasarkan reputasinya. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan dia ialah seorang pemandu yang mempunyai pakej lengkap untuk meraih kejuaraan dunia pada musim ini jika jentera Mercedes berupaya menandingi kepantasan pencabar lain.

Mendapat suntikan daripada syarikat petroleum negara, Petronas, keupayaan Mercedes pasti akan diperhatikan penuh minat oleh pencabar-pencabar utama seperti McLaren dan Ferrari.

Malah pada hari ketiga ujian terakhir di Litar Catalunya, Barcelona, Rosberg melaungkan amaran awal buat pemandu lain apabila berjaya mencatatkan masa terpantas di hadapan pemandu Toro Rosso, Sebastian Buemi serta Jenson Button dari McLaren.

Bagaimanapun, Mercedes tidak boleh terlalu yakin kerana pencabarnya, McLaren juga mencatatkan sesuatu yang positif apabila menguasai hari terakhir sesi ujian melalui Lewis Hamilton selepas melengkapkan 134 pusingan.

Setelah melalui musim 2009 yang sungguh mengecewakan, McLaren pasti mahu bangkit menebus kembali maruah yang tercalar. Kejayaan membawa masuk juara tahun lalu, Jenson Button untuk digandingkan dengan juara dunia 2008, Lewis Hamilton cukup menggambarkan betapa seriusnya pasukan itu untuk mendapatkan kejuaraan dunia pada musim 2010.

Malah, Schumacher melalui kenyataannya baru-baru ini berkata McLaren dilihat cukup kuat meraih kejuaraan pertama di Bahrain berdasarkan keupayaan di Barcelona.

"Mereka (McLaren) begitu kuat pada masa sekarang. Namun sama ada mereka mampu menunjukkan prestasi yang sama di sana, ia masih terlalu awal untuk diperkatakan,'' katanya.

Namun, McLaren perlu memastikan mereka dapat memberi layanan sama adil kepada kedua pelumba serta menjadikan tahun 2008 sebagai pengajaran paling bermakna apabila insiden selisih faham Hamilton dan Fernando Alonso menjejaskan harapan pasukan itu meraih kejuaraan individu.

Sama seperti McLaren, Ferrari juga mahu melupakan pengalaman pahit pada musim lalu apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dalam kategori pengeluar.

Menggunakan casis terbaru yang dikenali F-10, prestasi pasukan itu begitu menggalakkan walaupun gagal menguasai kedudukan masa terpantas di Jerez dan Barcelona.

Menurut Alonso, Ferrari begitu kompetitif malah dia berani mengatakan jentera F-10 adalah yang terbaik dalam sejarahpasukan berkenaan.

Namun, sama ada ia sudah mencukupi buat Ferrari mengatasi jentera lain masih menjadi persoalan besar.

Pasukan yang menonjol pada tahun lalu namun kurang mendapat publisiti media iaitu Red Bull, tidak boleh diketepikan kerana berdasarkan pemerhatian, terbukti pasukan itu mampu menggegar lagi seperti mana tahun lalu.

Sebastian Vettel dan Mark Webber beberapa kali mencuri tumpuan di Jerez serta Barcelona apabila membuat masa yang cukup pantas serta memberangsangkan.

Menggunakan enjin Renault sebagai taruhan, jangan terkejut sekiranya di akhir musim, Red Bull meraih kejuaraan dunia sama ada kategori pengeluar atau individu.

Sementara itu, Lotus Racing boleh mensasarkan untuk berada di kedudukan 10 terbaik jika dibandingkan persediaan pasukan itu dengan dua pasukan baru lain, Hispania (HRT) dan Virgin.

Bagaimanapun, melalui sistem mata baru yang diperkenalkan, mungkin ada harapan buat Lotus meraih beberapa mata jika mampu berada di kalangan 10 pemandu teratas.

Ditambah pula mendapat sentuhan dua pemandu berpengalaman, Jarno Trulli dan Heikki Kovalainen, prinsipalnya, Tony Fernandes boleh mengharapkan sesuatu kejutan.

Walaupun, catatan masa pada hari terakhir ujian oleh Kovalainen tidak begitu memberangsangkan iaitu 4.779 saat di belakang Hamilton selaku pendahulu, namun ketua teknikal pasukan, Mike Gascoyne menganggap terlalu awal untuk menilai prestasi sebenar Lotus F1.

Williams, Sauber, Renault, Force India dan Toro Rosso mungkin akan bersaing di kelompok pertengahan dengan beberapa kejutan mampu dilakukan untuk meraih kedudukan podium.

Mercedes, McLaren, Ferrari atau Red Bull, yang mana satu akan meraih kejuaraan pada tahun ini? Sama-samalah kita mengikuti perjalanan 19 perlumbaan musim 2010 yang dijangka penuh mendebarkan dan kejutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: