![]() |
| PELUMBA pasukan Scuderia Ferrari Felipe Massa (kiri) bersama Kimi Raikkonen bergambar bersama-sama pesawat Avanti II. |
KEPANTASAN adalah perkara paling utama dalam menentukan kejayaan sesebuah pasukan lumba. Bagi pasukan berprestij seperti Ferrari, kepantasan bukan sahaja diperlukan semasa di litar tetapi juga di udara.
Sebagai pasukan Formula Satu (F1) terunggul, Ferrari memilih Avanti II sebagai pesawat untuk menerbangkan pelumba-pelumba pasukan Scuderia Ferrari.
Di kalangan jet-jet peribadi di dunia, hanya Avanti II dikatakan memiliki kepantasan dan gaya setaraf untuk membawa pasukan merah kuning itu.
Pesawat yang merupakan jet kipas turbo paling pantas, mewah dan senyap di dunia itu adalah jentera rasmi yang digunakan oleh pelumba Ferrari ke litar-litar perlumbaan di seluruh dunia.
Kepercayaan yang dikongsi dengan syarikat Piaggio Aero itu dicapai bersandarkan kecemerlangan rekod pesawat P180 Avanti II yang juga merupakan hasil kejuruteraan Itali seperti juga Ferrari.
Pada musim lalu, pengalaman terbang bersama Avanti II yang membawa logo 'kuda lompat' pada bahagian ekor dan muncung pesawat itu menjadi sebahagian daripada motivasi Felipe Massa dan Kimi Raikkonen setiap kali sebelum beraksi di litar.
Kepantasan penerbangan peribadi dengan jet itu sememangnya sesuai dan lebih dihargai oleh kedua-dua pelumba yang setiap hari bermain dengan kelajuan.
Mungkin itu adalah salah satu sebab mengapa pelumba-pelumba berkenaan jarang kelihatan berlegar di terminal lapangan terbang bersama orang kebanyakan.
Malah kehebatan 'Ferrari udara' itu juga dilaporkan pernah menarik minat Massa untuk memiliki pesawat itu secara peribadi.
"Saya mengagumi prestasi dan kelajuan Avanti II selepas beberapa kali menggunakan perkhidmatan pesawat ini semasa musim perlumbaan yang lalu," ujar beliau sebelum menandatangani surat pembelian pesawat itu suatu ketika dahulu.
Pada musim ini, keselesaan tempat duduk yang dijahit khas dengan logo Ferrari 'milik' Kimi Raikkonen (sebelum ini) akan diganti oleh Fernando Alonso yang akan bergandingan dengan Massa.
Jentera pasukan Scuderia Ferrari yang dipandu oleh Massa dan Alonso bakal beraksi pada perlumbaan pembuka tirai pada Grand Prix Bahrain yang akan berlangsung pada Ahad ini (esok).
Kehebatan Avanti II
Avanti II dikatakan mampu terbang pada kelajuan 402 knots. Dengan binaan kipas mengadap ke belakang yang unik.Ia menjamin penerbangan yang jauh lebih senyap berbanding mana-mana pesawat ringan lain.
Saiz kabinnya cukup besar. Hampir menyamai keluasan kabin pesawat saiz pertengahan super yang memberikan kelegaan dalaman tanpa kompromi.
Setiap tempat duduk mempunyai penyelarasan sudut keselesaan yang tersendiri.Kesemua sembilan tempat duduk penumpang pesawat itu dibaluti kulit berkualiti tinggi dengan kekemasan jahitan tangan terkemuka Itali.
Susunan kelengkapan yang kompak dan kemas juga menaikkan imej elegan pesawat. Dengan suasana seperti berada di dalam hotel lima bintang, tempoh penerbangan pasti menjadi waktu terbaik untuk ahli-ahli pasukan itu bermesyuarat.
Bukan sahaja direka untuk menjamin keselesaan dan perjalanan yang lancar, kehebatan pesawat itu juga diiktiraf melalui penerimaan lebih 15 anugerah reka bentuk antarabangsa. Bukti keunggulan rekaan syarikat penerbangan antara yang tertua di dunia itu.
Lengkungan aerodinamik tunggal dari muncung ke ekor yang ringkas pada Avanti II bukan sahaja direka untuk mengurangkan rintangan angin malah membentuk badan pesawat yang kemas dan elegan.
Avanti II direka dengan sayap T di hadapan yang dikatakan memberi lebih kestabilan. Sayap depan itu berfungsi dengan menambah lebih daya lonjakan berbanding konfigurasi aerodinamik konvensional yang hanya tertumpu pada bahagian ekor.
Selain itu, Avanti II juga adalah pesawat 'hijau' berbanding jet-jet kipas turbo lain kerana penggunaan bahan apinya yang kurang 33 peratus berbanding pesawat lain di samping kejayaan mengurangkan pembuangan karbon.
Pesawat enjin berkembar P180 Avanti II keluaran Piaggio Aero itu merupakan versi terbaru daripada model P180 Avanti antara yang dihasilkan sebanyak 100 buah sejak pengeluaran pertama, 1990 di Genova, Italy.
Hubungan dengan Ferrari
Sebenarnya kerjasama antara Piaggio Aero dengan Ferrari bukan sekadar rakan perniagaan. Syarikat pembuatan pesawat yang bermula sejak 1915 itu adalah syarikat bersaudara yang diterajui oleh Pengerusi Piaggio Aero, Piero Ferrari.
Piero Ferrari ialah anak kepada Pengerusi Ferrari S.p.A , Enzo Ferrari yang merupakan pengasas pasukan Scuderia Ferrari pada 1929.
Melalui penajaan Piaggio Aero pada pasukan F1 Ferrari itu, Piero Ferrari membuktikan gandingan mantap antara dunia jenama automotif dan penerbangan kelahiran Itali.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: