Friday, March 12, 2010

Perluasan teknologi IPTV di hospital


MAXIMUS (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian (MoU) aplikasi Hospital IPTV di antara Digistar Rauland MSC dengan Pusat Perubatan Tropicana (TMC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.


INDUSTRI kandungan digital kreatif negara terus diperluaskan menerusi pengenalan sistem televisyen protokol Internet di hospital (Hospital IPTV).

Dibangunkan oleh syarikat Digistar Rauland MSC Sdn. Bhd. (Digistar Rauland MSC), ia merupakan penyelesaian teknologi Hospital IPTV yang pertama di Malaysia.

Perkhidmatan interaktif tersebut secara asasnya bakal disediakan di wad-wad hospital dengan tujuan menawarkan pelbagai kemudahan kepada para pesakit.

Antara aplikasinya adalah seperti capaian saluran hiburan untuk radio dan video mengikut permintaan, saluran kesihatan, laporan berita terkini, keadaan cuaca, memesan makanan, respons pesakit, rekod pesakit, ucapan elektronik, perbankan elektronik serta bil hospital.

Menurut Pengarah Urusan Digistar Corporation Berhad, Datuk Lee Wah Chong, pihaknya mengambil masa selama dua tahun untuk menjalankan kajian dan penyelidikan teknologi tersebut.

''Hospital IPTV menawarkan lebih daripada 20 saluran dengan tumpuan penyediaan kandungan program berkaitan kesihatan untuk memberi kesedaran dan informasi kepada para pesakit mengenai jenis penyakit, teknik pencegahan dan cara mengamalkan gaya hidup sihat.

''Sistem ini telah mendapat kelulusan dari pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Jadi, kami yakin untuk memperluaskan teknologi ini kepada lebih banyak hospital pada masa hadapan.

''Menerusinya juga, ia secara tidak langsung akan dapat membantu kerajaan mempromosikan industri pelancongan kesihatan ke pringkat global,'' jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian (MoU) aplikasi sistem tersebut di antara Digistar Rauland MSC dengan Pusat Perubatan Tropicana (TMC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.

Setakat ini, sebanyak 10 buah hospital di seluruh negara telah menggunakan sistem berkenaan termasuk Institut Jantung Nagara (IJN), Hospital Pakar Johor, Hospital Pakar Seremban, Pusat Perubatan Darul Ehsan dan Hospital Assunta.

Wah Chong memberitahu, perkembangan infrastruktur jalur lebar dan WiMax yang semakin pesat hari ini bakal memudahkan lagi perkembangan operasi sistem tersebut.

''Saya percaya, kehadiran sistem ini mampu memberi lebih keselesaan dan keseronokan kepada para pesakit yang menjalani rawatan di hospital,'' jelasnya.

Sementara itu, menurut Maximus, pengenalan teknologi oleh syarikat Digistar Rauland MSC itu merupakan contoh terbaik dalam memperluaskan bidang inovasi dan kreativiti negara.

''Usaha ini selaras dengan matlamat Dasar ICT Negara yang mahukan teknologi moden diaplikasikan dalam semua industri.

''Ia dilihat sebagai penyumbang penting ke arah mempermudahkan pelbagai urusan sekali gus memangkin pembangunan yang lebih baik,'' katanya.

Beliau juga memberitahu, perluasan teknologi menggunakan platform protokol Internet (IP) mampu menggalakkan usahawan teknologi tempatan menghasilkan perkhidmatan yang lebih interaktif.

Menarik mengenai sistem televisyen yang menggunakan medium jalur lebar itu, ia tidak akan mengalami gangguan siaran sekiranya berlaku cuaca buruk.

Dari segi kandungan pula, ia akan diambil daripada sumber luar negara sebelum dialih bahasa kepada bahasa tempatan untuk memudahkan kefahaman.

Pihak Digistar Rauland MSC bakal membekalkan perkhidmatan Hospital IPTV kepada hospital yang berminat untuk tempoh kontrak selama sepuluh tahun.

Ia merangkumi bekalan peralatan, pemasangan, operasi dan juga penyelenggaraan sistem.

Dari segi peratusan penonton pula, Hospital IPTV menyumbang sebanyak 60 hingga 80 peratus penonton berbanding hanya lima peratus untuk perkhidmatan IPTV yang digunakan di hotel-hotel.

Digistar Rauland MSC juga dijangka memperluaskan perkhidmatan tersebut kepada hospital-hospital kerajaan dan juga swasta dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.

Ketika ini, syarikat itu sedang dalam peringkat kajian membangunkan teknologi komunikasi yang bakal membenarkan pesakit di wad hospital berhubung dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: