Wednesday, March 17, 2010

Palapes USM asah kemahiran menembak


Mustaffa Ibrahim (kiri) memberi penerangan kepada kadet Palapes Universiti Sains Malaysia di lapang sasar Sungai Dua, Pulau Pinang, baru-baru ini.


"DALAM kedudukan meniarap, satu kelopak, dua puluh butir, isi peluru!"

DEMIKIAN antara laungan arahan pegawai tapak tembak setiap kali berlangsungnya latihan menembak pelbagai jenis senjata kecil milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sentiasa bersedia untuk mempertahankan negara daripada segala jenis ancaman sama ada dalam dan luar.

Latihan menembak merupakan platform bagi seseorang anggota tentera untuk membina kemahiran asas serta intuisi dan ketepatan dalam menumbangkan musuh pada jarak tertentu yang cukup sinonim dengan dunia ketenteraan.

Selain itu, latihan menembak sama ada senjata kecil atau senjata bantuan turut membolehkan seseorang anggota menggunakannya dengan cara yang betul, selamat dan cekap dalam pelbagai situasi khususnya melibatkan pertempuran.

Bagi kumpulan penembak tepat atau dikenali secara ringkas sebagai 'sniper', ketepatan menembak ini adalah salah satu elemen utama yang perlu dibina dan digilap sepanjang masa dan seringkali terbukti berupaya menyelamatkan banyak nyawa yang tidak berdosa.

Dalam membina asas menembak yang kukuh, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini mengadakan latihan menembak pengenalan raifel Colt M-16 kepada 120 anggota Pegawai Kadet Peringkat Satu yang menyertai pasukan berkenaan.

Latihan tersebut diadakan di Lapang Sasar Sungai Dua yang menyediakan kemudahan menembak sehingga jarak 400 meter.

Sesi latihan itu membolehkan peserta yang terdiri daripada 80 kadet kampus induk dan 40 kadet Kampus Kejuruteraan USM mempraktikkan ilmu teori pengendalian senjata yang telah mereka pelajari sejak menyertai pasukan tersebut hampir setahun lalu.

Sesi latihan menembak ini dimulakan dengan tembakan pelarasan lima butir peluru untuk setiap orang bertujuan melaras ketepatan tembakan pada jarak 25 meter.

Kemahiran pegawai-pegawai kadet itu kemudiannya diuji dengan latihan menembak 10 butir peluru pada jarak 100 meter dan 200 meter dalam empat posisi menembak yang asas iaitu meniarap, melutut, duduk dan berdiri.

Selain itu, asas tersebut diperkukuhkan lagi dengan latihan 'Tembak dan Gerak' dengan masing-masing dibekalkan dengan 20 butir peluru hidup bertujuan memberi kemahiran dan gambaran situasi sebenar pertempuran tatkala berhadapan dengan musuh.

Asas 'Tembak dan Gerak' turut dilengkapkan dengan pelajaran 'Snap Shooting' bagi membina keupayaan pegawai-pegawai kadet tersebut untuk menjadi penembak yang agresif dalam pasukan simpanan ATM.

Walaupun sekadar latihan, sesi menembak pengenalan itu diawasi ketat oleh sejumlah tujuh jurulatih daripada pelbagai kor perkhidmatan ATM yang kini berkhidmat di Palapes USM selain pasukan Kor Kesihatan Diraja sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini.

Fasa awal latihan dua hari itu turut melatih dan menguji kemahiran pegawai-pegawai kadet bagi melaksanakan Tindakan Serta Merta (TSM) jika senjata yang digunakan gagal berfungsi sewaktu tembakan, teknik-teknik menenang serta langkah-langkah menyelamatkan senjata setelah selesai menembak.

Latihan menembak itu diketuai oleh Ketua Jurulatih Palapes USM, Mejar Mustaffa Ibrahim dan diturut disertai lima pegawai sukarela.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: