Sunday, March 7, 2010

Orang ingat saya berduit - Nabil




SATU kesan secara tidak langsung apabila sudah memegang status pelawak, sukar untuk membezakan sama ada dia berada dalam mood serius atau sebaliknya. Namun untuk situasi segenting ini, dengan digentarkan dengan saman berjumlah RM2 juta, nada suara Nabil yang merupakan Raja Lawak musim kedua itu bertukar rupa. Dia masih berlawak dalam kata-kata yang serius yang dituturkan.

Petaka RM2 juta itu muncul akibat mengkritik filem lakonannya sendiri. Ahmad Nabil Ahmad, 27, yang telus memberi pendapat kini disaman dengan jumlah RM2 juta oleh syarikat yang menerbitkan filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie, SDAF Pictures (M) Sdn. Bhd.

Aminah Rhapor, 44, selaku pengarah filem tersebut menyatakan notis saman berkenaan sudah dihantar kepada Nabil di kediamannya di Sunway Damansara, dekat Petaling Jaya, pada 24 Februari lalu melalui Tetuan Hing & Alvin, Advocates & Solicitors. Dilihat memperlekehkan filem tersebut, Nabil juga didakwa tidak turun melakukan promosi seperti yang telah dijanjikan.

Komen sedikit perihal anda disaman RM2 juta?

Sebenarnya saya tidak boleh memberi sebarang komen terhadap isu tersebut. Saya perlu menunggu peguam saya menyiasat dan barulah saya boleh memberi komen. Peguam saya kata dia akan baca dahulu notis saman yang diberikan. Kemungkinan saya akan membuat sidang akhbar berhubung isu ini. Tetapi saya kena tunggu nasihat daripada peguam saya.

Sudah dapat notis saman tersebut?

Belum. Mungkin notis itu masih dalam perjalanan. Masalahnya saya tidak dipanggil atau dihubungi sebelum notis saman tersebut dihantar.

Bila kali terakhir anda berjumpa pihak produksi?

Pada hari tayangan filem tersebut. Itu kali terakhir. Selepas itu saya buat panggilan kepada pihak produksi tetapi mereka tidak angkat.

Betul ke anda tidak turun membuat promosi?

Saya sudah maklumkan perjalanan kerja saya. Jadual saya ketat. Waktu promosi tersebut, saya sibuk dengan program Ewah Ewah dan Studio Nabil. Mereka sudah sedia maklum.

Ada gangguan dalam kerja sekarang?

Tidak ada gangguan dalam kerjaya saya sebaliknya ramai orang berasa kasihan terhadap saya. Orang cakap saya baru lagi tetapi terpaksa berhadapan dengan isu sebegini.

Masalahnya, orang ingat saya ini berduit sebab itu saya mahu disaman. Hakikatnya duit saya tidaklah sampai RM2 juta. Tetapi syukur, hari ini (Khamis) saya mendapat dua tawaran. Satu untuk filem dan satu lagi untuk telefilem. Rezeki masih ada walaupun isu ini menimpa saya. Saya juga akan muncul dengan sebuah projek istimewa yang masih perlu dirahsiakan.

Cogan kata makan diri nampaknya?

Cogan kata Lu Pikirlah Sendiri itu sesuatu yang besar buat saya tetapi bila kena perkara seperti ini saya tidak rasa cogan kata itu digunakan untuk menjatuhkan saya. Tetapi mungkin nasib saya berjumpa dengan orang sebegitu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: