Tuesday, March 16, 2010

Obsesi drift kereta kawalan jauh


ANWAR mula mengubah suai kereta kawalan jauhnya untuk drift sejak empat tahun lalu.


KERETA Nissan Skyline R32 berwarna putih itu menunjukkan aksi drift (mengelongsor) yang hebat. Bunyi geseran tayar di atas simen itu memecah kesunyian di pejabat Kosmo! di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Membuat pusingan beberapa kali sehingga 360 darjah, kesan ketara garisan dan asap mula meninggalkan kesan pada trek simen tersebut.

Realitinya, kereta Nissan Skyline itu bukan dipandu drift secara langsung oleh individu terbabit, sebaliknya hanya dikawal dengan mengunakan alat kawalan jauh.

Kalau remaja dahulu lebih berminat kepada kereta kawalan jauh jenis sedia untuk dikawal (RTR), kini peminat kereta kawalan jauh mempunyai kecenderungan mengubah suai sendiri kereta mereka sehinggakan boleh dikawal secara drift. Ia dikenali juga sebagai RC Car Drifitng.

Antara jenama yang banyak mengeluarkan model sepert itu ialah Yokomo, Tamiya, HPI Racing, Kyosho, XMods dan banyak lagi.

Biarpun belanjanya mencecah ribuan ringgit, namun ia bukanlah penghalang kepada peminat setia kereta kawalan jauh jenis drift untuk meneruskan hobi mereka.

Salah seorang daripada peminat tegar kereta kawalan jauh ialah Mohd. Anwar Abd. Rahman, 28. Pemuda berasal dari Slim River, Perak itu meminati kereta kawalan jauh sejak di bangku sekolah lagi. Dia sanggup berhabis sehingga RM8,000 untuk membeli dan mengubah suai kereta kawalan jauh jenis Prokit iaitu HPI Cyclone - TC.


MENGUBAH suai kereta kawalan jauh memberi kepuasan kepada Anwar.


Menurut Anwar, kereta kawalan jauh jenis drift yang menyerupai seperti kereta sebenar itu dihasilkan secara terperinci dari segi pelarasan tayar sehingga ke penyediaan badan kereta.

"Malah, pemilihan tayar juga perlu dititikberatkan mengikut kesesuaian trek. Biasanya, di Malaysia trek simen dan karpet digunakan untuk perlumbaan kereta kawalan jauh," katanya.

Pengurus Projek di FisPro Sdn. Bhd. itu memberitahu, kalau dahulu kawalan untuk kereta drift menggunakan pacuan empat roda, kini teknologi Counter Steer (CS) yang lebih canggih digunakan.

Bagaimanakah minat bermain kereta kawalan jauh timbul?

"Semuanya bermula selepas ayah dan kakak saya menghadiahkan kereta kawalan jauh jenis QD (menggunakan bateri) semasa menyambut hari jadi yang kesembilan.

"Selepas itu, saya membeli sendiri kereta kawalan jauh jenis Cen menggunakan minyak dan Hy iaitu jenama dari China dan terkini jenis Hpi Cyclone - TC," katanya kepada GenK.

Selepas memperoleh Ijazah Juruukur Bahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Anwar mula memfokuskan hobinya itu.

"Saya berjumpa dengan kawan-kawan seperti Abang Azli yang memiliki perniagaan kereta dan peralatan kawalan jauh iaitu RC Network di Kota Raja, Klang. Beliau banyak mengajar saya cara-cara mengubah suai kereta kawalan jauh dan cara-cara mengawal kereta kawalan jauh menggunakan RC Touring Car.

"Selepas itu, saya mendapat tunjuk ajar daripada Presiden Persatuan Drift 1Malaysia, abang Black. Bermula dari situ, timbul minat bermain drift kereta kawalan jauh pula," katanya.

Selain itu, Anwar juga belajar mengubah suai kereta daripada forum RCTech di laman web.

Tambah Anwar, lebih manis dia pernah muncul sebagai juara antara kumpulan semasa menyertai pertandingan HP Open di Mines bulan November tahun lepas.

Biarpun menerima pelbagai kritikan mengenai hobinya itu, namun bagi Anwar bermain kereta kawalan jauh memberi beliau banyak kepuasan dan ilmu.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: