![]() |
| Zulrahim Yusof bersama adiknya, Zuliana menanti pengunjung Cafe Jordan dengan nasi mandhi. |
PERNAH dengar nasi mandhi (sesetengahnya dieja nasi mandi)? Ramai yang mungkin menggeleng kepala dan tertanya-tanya apa sebenarnya sajian tersebut.
Namun bagi yang pernah berkunjung ke mana-mana negara Arab atau yang menggemari hidangan dari rantau Asia Barat itu past pernah melihat dan menikmati keenakan nasi ini.
Bagi yang tidak tahu apa sebenarnya nasi mandhi tetapi teringin merasainya kini tidak perlu pergi jauh.
Mereka hanya perlu memandu ke selatan tanah air iaitu ke Jordan Cafe yang terletak di Pasar Awam Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor untuk merasai keenakan makanan dari Yamen ini yang juga dikenali sebagai ruz mandhi.
Sajian yang membangkitkan selera itu adalah hasil air tangan Zulrahim Yusof, 37.
Beliau yang pernah menuntut dalam bidang syariah selama enam tahun di Universiti Mu'tah, Karak, Jordan, pulang ke tanah air bukan saja bersama segulung ijazah bahkan membawa sekali resipi makanan popular orang Arab ini.
Dengan idea dan sokongan daripada keluarga, Zulrahim berjaya mendapatkan resipi asli daripada tukang-tukang masak yang mahir membuat nasi mandhi di negara asalnya.
''Ruz mandhi atau nasi mandhi begitu popular di negara Arab, jadi ketika tinggal di Jordan saya tidak melepaskan peluang untuk belajar cara-cara membuatnya.
''Membuat nasi mandhi ini memerlukan kemahiran. Bagi mengekalkan rasa aslinya, semua rempah ratus untuk membuat nasi mandhi ini saya tempah khas dari Jordan," katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut guru JQaf di Sekolah Kebangsaan Kopok, Pasir Gudang ini, bahan-bahan tersebut diperlukan bagi menghasilkan rasa yang sama seperti di negara asalnya.
Antara ramuan yang digunakan ialah herba zafaran, minyak sapi, ketumbar, lemon, daun salam, minyak zaitun, kismis serta serbuk kunyit.
''Bagi memastikan nasi tersebut enak dan harum dimakan, saya menggunakan beras bashmati yang dimasak dengan air rebusan ayam atau kambing," jelasnya.
Katanya, nasi tersebut enak dimakan bersama lauk daging kambing atau ayam dan disajikan bersama salad, timun serta hirisan bawang.
Dijual pada harga RM8 sepinggan untuk nasi mandhi berlauk daging kambing dan RM7 bagi ayam.
Apa yang pasti para pelanggan mesti tersenyum puas merasai nasi dari negara Arab ini.
Selain nasi mandhi, Jordan Cafe turut menjual nasi maqlubah atau nasi Jordan yang semakin mendapat tempat termasuk pelanggan dari Singapura.
Bagi orang ramai yang ingin merasai keenakannya, nasi mandhi disajikan di Jordan Cafe dari 10 pagi hingga tengahari.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: