BERBEZA dan terserlah sisi lain seorang Amy apabila tampil di pentas konsert solo pertamanya, Konsert Suatu Masa...Amy tanpa 'sekutu' band Search yang diadakan di Istana Budaya selama empat hari yang diadakan bermula Khamis lalu.
Jika penonton yang hadir ingin menonton Amy sebagai vokalis band Search, pastinya mereka pulang dengan perasaan hampa.
Ini kerana, apa yang ditampilkan dalam konsert berdurasi selama 1 jam 45 minit itu bukanlah konsert biasa-biasa Amy.
Dilangsung di pentas Istana Budaya, sentuhan dan corak persembahannya juga mempunyai kelas yang tersendiri.
Amy muncul di pentas penuh dengan karakter, malah penyanyi berusia 52 tahun itu siap bermonolog yang menggambarkan perasaan serta perjalanan hidup seorang Amy.
Dibantu pelakon handalan, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy sebagai guru lakonan, Amy dilihat berjaya melakukan adegan monolog dengan begitu baik.
"Itu yang lain, saya sendiri tidak percaya saya telah menjayakan sebuah konsert solo yang siap ada lakonan dan monolog. Ini kerja gila sebab saya tahu ramai yang terkejut melihat diri saya di atas pentas tampil sebagai Amy yang berbeza.
"Amy yang berada di atas pentas itu penuh dengan karakter kerana saya bukan sekadar menyampaikan lagu seperti biasa.
"Saya perlu ingat langkah, dialog menolong dan bermacam perkara yang memang saya tidak pernah ada pengalaman," ujarnya yang ditemui sejurus selepas konsert hari pertama berakhir.
Tambah Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, perasaannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata selepas berjaya menamatkan konsert yang telah dirancang sejak berbulan-bulan yang lalu.
"Saya tidak tahu nak cakap apa. Apa yang penting saya rasa lega kerana berjaya membuatkan persembahan dengan lancar," tuturnya.
Meskipun, konsert tersebut dianggap sukses sebagai konsert solo yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana rockers di Malaysia, tetapi ada di kalangan peminat Amy sebagai vokalis Search yang mungkin pulang dalam perasaan bercampur-baur antara puas atau tidak puas.
Bukan disebabkan persembahannya tidak bagus, tetapi impak pemilihan lagu-lagu yang didendangkan Amy.
Ini mungkin kerana ada antara lagu-lagu tersebut jarang dipersembahkan Amy seperti medley Kongkang, Kepala Sotong, Apa Sahaja, Malangkoli dan Gitarama Sita Vs Ishq Ka Bana.
Sementara lagu-lagu popular Amy yang masuk dalam senarai dendangannya pada konsert tersebut antaranya untuk segmen nama-nama wanita seperti lagu Isabella, Nigina, Rozana dan Laila Namamu Teratas, cuma dinyanyikan secara medley.
"Berkenaan pemilihan lagu, kami berbincang bersama. Lagu-lagu yang dipilih, merupakan lagu-lagu yang jarang dan tidak pernah saya nyanyikan. Tambahan ia dipilih kerana bersesuaian dengan jalan cerita sejak awal saya bergelar anak seni sehingga peralihan usia saya sekarang.
"Ia berakhir dengan konsep Islamik kerana itu yang ingin saya terapkan dalam konsert ini. Allah telah beri saya bakat, mesti ada sebab saya diberi bakat seni itu, jadi mengapa saya tidak gunakannya dengan baik," luahnya lagi.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan buat Amy ketika mendendangkan lagu Kerja Gila. Amy dengan selamba dan bersahaja menyanyi di kawasan tempat duduk penonton.
Waktu itu momentum persembahannya cukup baik, tetapi selepas itu ia menurun dengan mendadak apabila sekumpulan penari Istana Budaya muncul di atas pentas sambil diiringi minus one lagu Suralaya Dalam D Major. Kemunculan penari tanpa Amy dirasakan agak mengecewakan peminat.
Namun kekecewaan itu terubat apabila segmen terakhir yang berkonsep Islamik begitu meruntun jiwa, khususnya dengan barisan lagu seperti Mentari Merah Diufuk Timur, Jangan Musnahkan Cinta, Kalimah Cinta dan Asma Ul Husna.
Diakhiri dengan hanya iringan muzik Fantasia Bulan Madu, ironi, biar ada yang kurang puas dengan pemilihan lagu-lagu yang disampaikan, Konsert Suatu Masa... Amy sebenarnya sukses dengan sasaran yang mahu menonjolkan metafora atau fasa kehidupan Amy sejak awal kariernya hingga sekarang. Ia telah diterjemahkan oleh pihak produksi yang diketuai oleh pengarah pentasnya, Bombay dan bantuan Ogy sendiri dengan cukup mengesankan.
Amy sendiri telah menjadi pelakon yang hebat di atas pentas dan tampak begitu menjiwai setiap detik kehidupan yang pernah dilaluinya dengan mempersembahkan sebuah monolog yang hebat.
Apabila konsert ini tamat semalam, Amy sudah menunaikan hasratnya menterjemahkan sisi hidupnya kepada peminat setia yang telah menyokong perjalanan kariernya sepanjang lebih 28 tahun menjadi anak seni.
show miming...amir pearl yg nyanyi!
ReplyDeletekorg kene tipu...aku pun kene,beli tiket mahal.....