|
|
PERSANDINGAN pemenang tempat pertama Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia, Mohd. Afandi Mohd. Isa dan Nurfairuz Aina Mohd. Kohar, 20 Februari lalu menutup tirai peraduan tersebut yang bermula sejak 19 Ogos tahun lalu.
Bermula dengan persandingan pemenang tempat ketiga, Rizai Ali bersama pasangannya Ainul Farha Md. Ramli dan tempat kedua, Md. Izuddin Salleh dan Qistina Mohamad Nazri, segala-galanya berjalan lancar seperti dirancangkan.
Apa pun, pujian seharusnya diberikan kepada 11 penaja yang sudi menaja peraduan tersebut yang sememangnya memerlukan komitmen tinggi di samping masa serta tenaga yang 'dicurahkan' bagi memastikan segala-galanya berlangsung tanpa ada cacat cela.
Boleh dikatakan, peraduan tersebut tidak dapat dijayakan tanpa mereka yang mempunyai kepakaran serta kemahiran dalam bidang masing-masing.
Justeru dalam usaha menghargai segala titik peluh yang dicurahkan selama peraduan Gerbang Cinta berlangsung, baru-baru ini bertempat di Pusat Latihan Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur telah diadakan majlis penghargaan buat kesemua para penaja.
Selain diraikan dalam majlis yang sederhana tetapi meriah, penaja-penaja yang terdiri daripada Picture Elements, Rumah Acara, D'Sayang Photography Entertainment, CJ Print, Orked Art & Decoration, syokkahwin.com, Mastar Catering, T&T Boutique, Afidah Khamis Makeups & Stuff, MAEPS Management Sdn. Bhd., Kampung Pengantin dan Sutra Utama Sdn. Bhd., turut menerima sijil penghargaan dalam usaha menghargai kerjasama yang diberikan sepanjang tujuh bulan.
Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak yang turut hadir menyerikan majlis tersebut melahirkan rasa gembira kerana program yang julung kali itu dapat dijayakan dengan cemerlangnya dan mencapai matlamat asal.
''Biarpun pertama kali mengadakan program seumpama ini, namun segala-galanya dapat dilaksanakan dengan jayanya.
''Kejayaan ini juga merupakan hasil kerja keras kesemua pihak penaja,'' ujarnya.
Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad dan Penolong Ketua Pengarang II, Ahmad Abdul Hamid.
Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia yang bermula 19 Ogos lalu menawarkan hadiah berupa pakej perkahwinan bernilai RM150,000 bagi tempat pertama, RM50,000 untuk tempat kedua dan RM30,000 tempat ketiga.
Abdul Aziz turut berharap agar peraduan tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan memandangkan ia mendapat maklum balas positif daripada orang ramai di samping sambutan di luar jangkaan.
Dalam pada itu, rata-rata para penaja yang ditemui selepas majlis tersebut menyatakan bahawa mereka gembira dengan sambutan yang diterima dan yang lebih membanggakan apabila mereka berjaya merealisasikan impian ketiga-tiga pemenang peraduan tersebut.
Mereka juga berharap agar dapat bekerjasama di lain masa dan tidak menolak akan terus menjalinkan usaha sama sekiranya dijemput untuk menjayakan peraduan tersebut buat kali kedua.
Sementara itu, Mohd. Afandi yang mewakili dua lagi pasangan pengantin (pemenang tempat kedua dan ketiga) turut melahirkan rasa bersyukur dan gembira apabila berjaya menjadi pemenang peraduan tersebut.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam merealisasikan persandingan mereka yang pastinya menjadi kenangan yang terindah dalam kehidupan mereka.
Yang pasti, peraduan tersebut yang julung kali diadakan telah berjaya mencapai tujuan utama serta menjadikan impian setiap pasangan pengantin menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: