Saturday, March 20, 2010

Kekuatan Sri Mersing Masih Relevan Hingga Sekarang

Lakonan Elly Mazlein sebagai Sri Mersing memberi impak kepada audien.

MENDENGAR sahaja filem klasik Sri Mersing, sudah pasti audien tidak akan melupakan dialog yang dilontarkan oleh pelakon Nordin Ahmad, Kajang Pak Malau kajang berlipat, Kajang hamba mengkuang layu, Dagang Pak Malau dagang bertempat, Dagang hamba musafir lalu. Begitulah ungkapan yang menjadi kekuatan filem tersebut.

Namun kisah yang diadaptasi daripada sebuah naskah filem kepada teater itu telah menyaksikan sebuah karya yang penuh dengan pengajaran dan sindiran kepada golongan berkuasa.

Kisahnya bermula dengan watak Merah, anak Damak singgah ke Mersing dalam perjalanan pulang ke Pahang dari menuntut ilmu di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau. Kedatangan Merah di Mersing adalah untuk mencari jawapan kerana ayahnya, Damak melarang dia ke tempat itu.

Bagaimanapun, hajatnya itu disambut baik oleh Sri Mersing dan anaknya Sri Melati. Tetapi disebabkan pertumpahan darah yang pernah berlaku melibatkan bapanya Damak menyebabkan sesetengah orang kampung tidak menyenangi kedatangannya.

Sri Mersing yang memenuhi permintaan Merah untuk mengetahui kisah sebenar berkaitan dengan bapanya itu telah diceritakan kembali mengenai ayahnya yang merantau ke Mersing bersama ibu dan adiknya Deli. Damak adalah seorang pemuda yang jujur dan ikhlas.

Klimaks teater ini bermula apabila Sri Mersing telah dilarikan oleh Awang Sulung anak kepada Tok Penghulu tetapi Damak telah difitnah melakukan perkara tersebut. Akibat fitnah itu, Damak sekeluarga telah dihalau dari kampung tersebut.

Berdasarkan kejadian yang dipaparkan itu, membuktikan bagaimana golongan bawah yang ditindas. Manakala yang berkuasa tetap akan berada di atas dan selalunya betul walaupun hakikatnya adalah di sebaliknya.

Perkara ini seakan membuktikan kekuasaan dan pangkat boleh mengaburi mata seseorang dan beranggapan dia seperti tuhan yang berkuasa.

Selain itu, akibat kelancangan mulut Pak Malau, anaknya Sri Mersing menjadi mangsa kerana dia penah berjanji akan mengahwinkan anaknya itu dengan pemuda yang berjaya menemui Sri Mersing. Awang Sulung yang sememangnya menaruh hati terhadap Sri Mersing itu sekali lagi mencari helah membuktikan dia yang menjumpai Sri Mersing.

Tidak mahu dikatakan sebagai munafik kerana mungkir janji, Pak Malau terus menjodohkan anaknya itu dengan Awang Sulung. Sri Mersing yang tidak setuju dengan ayahnya itu telah melarikan diri ke rumah Damak.

Kemuncak klimaks itu pula bermula apabila Tok Penghulu datang mencari Sri Mersing di rumah Damak dan mendapati dia berada di situ. Akibatnya, Damak sekeluarga diseksa dan dihina sekali lagi oleh pengikut-pengikut Awang Sulung.

Semasa kejadian penyeksaan berlaku, sekali lagi audien dapat menyaksikan hukum karma berlaku apabila sekumpulan orang asli yang diketuai Tok Batin telah datang menolong Damak.

Kejadian pertumpahan darah bermula apabila kesemuanya telah terbunuh ditangan kumpulan orang asli itu. Namun sebagai anak jantan, Damak tetap mahu beradu tenaga dengan Awang Sulung sehingga anak Tok Penghulu itu telah mati ditangannya.

Kejadian pertumpahan darah itu menjadi lebih tragis apabila kesemua penduduk kampung yang mati itu pula telah ditelan bumi.

Selepas kejadian itu, Damak sekeluarga telah pulang ke Pahang. Walaupun telah dirayu oleh Sri Mersing dan Pak Malau, namun hatinya tetap berdegil untuk meninggalkan bumi Mersing.

Teater yang diadaptasi daripada sebuah filem ini bukan sahaja mengisahkan peristiwa yang berlaku di Mersing tetapi cukup penuh dengan pengajaran yang diselang selikan dengan sindirin.

Antara perkara yang jelas dapat lihat adalah mengenai sikap orang yang berkuasa yang hidup dengan penuh angkuh dan mementingkan diri. Sikap samseng yang membawa padah kepada diri sendiri serta penindasan terhadap golongan miskin dan wanita.

Teater ini dijayakan Elly Mazlein sebagai Sri Mersing, Ady Putra (Damak), A Galak (Pak Malau), Melissa Saila (Siantan), Mardiana Alwi (Siti Payung), Leez AF (Sri Melati), Yus Raja Lawak (Awang Sulong), Jep dan Shuaib Sepah (Jalak Lenteng dan Tambak), Hairi Anak Wayang (Merah) dan Rusdi Ramli (Bentayan).

Tidak ketinggalan, dua pelakon asal Sri Mersing, Rosnani dan Datuk Mustapha Maarof.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: