Monday, March 15, 2010

Karyawan anjur majlis hargai artis veteran



Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sudah berusia sepuluh tahun. Selama sedekad ini juga, pelbagai usaha telah dijalankan bagi membantu industri seni tempatan terus maju dan dinaikkan tarafnya.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, bagi meraikan ulang tahun kesepuluh, dua aktiviti terbesar bakal diadakan.

Objektif Karyawan yang tidak pernah berubah iaitu memastikan semua nasib artis di negara ini terbela.

Pada April depan, sebuah majlis meraikan artis lama akan diadakan. Majlis yang diberi nama ‘Tiada Yang Baru Tiada Yang Lama’ adalah ilham daripada menteri Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Dr Rais Yatim.

“Ini merupakan sesuatu yang istimewa di mana artis lama akan berkumpul dalam satu majlis sambil diraikan.

“Saya amat berbangga dengan menteri kita yang sangat prihatin dengan industri seni tempatan. Dengan adanya majlis ini, saya yakin semua artis sama ada penggiat seni, pelakon atau penyanyi akan terus bersatu hati dalam memajukan lagi Karyawan," katanya.

Freddie yang ditemui pada satu majlis sidang media Impression Cup 2010 berkata, majlis penghargaan ini juga merupakan antara langkah terbaik untuk setiap anak seni tidak melupakan perjuangan artis lama.

Selain itu, Karyawan juga dalam perancangan untuk mengadakan majlis anugerah yang akan meraikan semua artis di negara ini.

“Jika sebelum ini, hanya pelakon dan penyanyi sahaja mendapat anugerah, Karyawan menggunakan pendekatan berbeza apabila akan menilai secara keseluruhan semua penggiat seni termasuklah penari-penari yang membuat persembahan di hotel, pelawak dan pemuzik.

“Kita mahu anugerah ini diberikan kepada semua artis. Bukan sahaja mereka yang sering mendapat publisiti,” katanya.

Tambah Freddie lagi, pihak Karyawan turut memainkan peranan dalam membantu pemuzik tanah air mengenai isu yang sedang hangat waktu ini iaitu wajib siar.

“Kami akan bertemu semua penggiat seni dan pemuzik bagi membincangkan masalah ini. Ia akan cuba mengupas sejauh mana perkara ini dapat dilaksanakan. Jadi kami berharap ia akan mendapat respons yang baik. Perbincangan akan diadakan di Finas pada 16 Mac ini jam 3 petang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: