Monday, March 29, 2010

Kaftan labuh moden

Busana kaftan kini mengalami evolusi rekaan moden dan kontemporari. Ia sesuai digayakan oleh golongan remaja.


KAFTAN labuh bercorak dan rona terang mula mencuri perhatian golongan remaja.


SEBELUM ini pengaruh pakaian kaftan atau kelawar kerap menjadi pilihan tatkala beradu. Paling tidak, ia dipakai sewaktu bersantai di rumah. Potongan baju kaftan yang longgar dan diperbuat pula daripada fabrik lembut memberikan keselesaan kepada si pemakai.

Tapi itu ceritera kaftan klasik. Sejajar dengan perkembangan industri fesyen tempatan mahupun antarabangsa yang berhadapan dengan evolusi rekaan moden dan kontemporari, baju kaftan turut menerima tempiasnya. Bermula sebagai baju tidur, kini kaftan mengalami transformasi yang memukau.

"Dulu kalau sebut saja baju kaftan pasti kita terbayangkan baju tidur konsep kelawar. Tapi kini tidak lagi kerana busana kaftan sudah memiliki seleksi potongan, rekaan dan corak menarik untuk digayakan ke pelbagai majlis.

"Selain kaftan potongan pendek atau separa lutut golongan wanita berpeluang tampil bergaya dengan kaftan labuh. Sememangnya kaftan labuh adalah pilihan yang ideal buat mereka yang bertudung selain jubah atau gaun labuh," ujar pemilik butik Lamees, Nora Zura Idris kepada Stailo.


KIRI: PELBAGAI potongan dan konsep kaftan mengikut peredaran fesyen semasa. TENGAH: BAJU kaftan yang bermotifkan batik moden kontemporari. KANAN: BUTIK Lamees turut menawarkan koleksi kaftan fabrik polos.


Namun, Nora Zura menasihati wanita yang bertudung agar bijak memilih jenis kaftan agar tidak terlalu nipis.

Jika fabrik nipis masih menjadi pilihan pastikan pemakaian anda disusuli dengan pakaian dalam berlengan panjang dan seluar, terlebih dahulu.

Nora Zura yang aktif mereka jubah moden bercirikan muslimah, tidak ketinggalan menghasilkan pakaian yang bersesuaian dengan peredaran zaman. Lantas, dia mengambil keputusan untuk mereka dan menawarkan busana kaftan labuh di butiknya.

"Koleksi kaftan labuh jenama Lamees masih mengekalkan ciri-ciri kesopanan dan ketimuran. Disebabkan itu kebanyakan kaftan diperbuat daripada fabrik batik canting. Ini bertujuan menerapkan signatur warisan tempatan pada kaftan labuh berkenaan.

"Dari segi pemilihan warna dan corak saya lebih cenderung menghasilkan seleksi kaftan yang bertemakan ceria dan muda, memandangkan kumpulan remaja menyifatkan busana kaftan hanya sesuai untuk golongan dewasa," terang Nora Zura yang turut menawarkan kaftan yang dihasilkan daripada kain sifon dan sutera.


ATAS: LILITKAN tali pinggang rekaan funky dan ranggi untuk menyuntik imej ceria. BAWAH: PERINCIAN manik menghiasi bahagian dada dan pergelangan baju kaftan.


Menariknya mengenai koleksi kaftan Lamees, pengunjung berpeluang memilih kaftan yang direka dalam pelbagai potongan dengan teknik perindcian yang menarik.




Sekiranya bosan dengan kaftan yang berpotongan ala kelawar, beralihlah kepada kaftan berlengan yang diaplikasikan dengan teknik gelembung.

Bagi mengelakkan kaftan labuh kelihatan polos, padankan saja bersama tali pinggang warna kontra atau rona senada.

Pada masa yang sama pilih dandanan rambut bersesuaian yang mampu menyerlahkan penampilan anggun tatkala bergaya dengan kaftan labuh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: