Friday, March 12, 2010

Kafe CT-One Forze ala-tentera


Adnan Hashim bersama isterinya, Azizah Ibrahim.


MEJAR (B) Adnan Hashim percaya dalam perniagaan 'jangan buat apa yang orang lain sudah buat'. Dengan kata lain, jangan ikut apa yang orang lain sudah mulakan.

Buat sesuatu yang berbeza. Cari kelainan, kumpul idea, fikirkan bagaimana hendak mencapainya dan kembangkan idea tersebut.

Kini perniagaan beliau yang berbeza idea itu sudah menjadi kenyataan. CT-One Forze Cafe, kafe milik beliau sepenuhnya merupakan satu-satunya kafe yang berkonsepkan ketenteraan di Malaysia.

Penubuhan CT-One Forze Cafe adalah atas inisiatif Adnan sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan besar tentera dan komuniti kepada negara.

Harapannya semoga ingatan seluruh rakyat terhadap pengorbanan besar tentera akan terus segar lebih-lebih lagi apabila mereka kerap makan, bersantai dan berurusan di kafe tersebut.

Bertemu janji dengan Adnan, 51, di CT-One Forze Cafe yang terletak di Wangsa Maju, terbukti betapa beliau amat menyanjung tinggi kerjaya sebagai tentera yang telah diceburi selama 19 tahun.

Berhadapan dengan kafe itu dapat dilihat sebuah kenderaan Ausa, sejenis kenderaan tahan lasak yang dicat celorong-celoreng. Ausa ini seumpama daya tarikan kepada pelanggan dan lebih menonjolkan lagi kafe ini.

Menurut Adnan, keseluruhan hiasan dalaman kafe yang dibuka dengan modal sebanyak RM500,000 itu turut menggambarkan ketenteraan seperti dinding yang dilukis dan dicat hijau dengan gambar kenderaan tentera dan kereta kebal. Meja dan kerusi turut dicat hijau serta dilapik dengan alas meja warna yang sama malah semua pekerja memakai kemeja-t bercorak celorong-celoreng.

Bagi memberikan lebih gambaran kepada kehidupan tentera di hutan, terdapat beberapa jenis makanan yang dinamakan dengan cara ala tentera serta dihidangkan dalam mainsteen, bekas ayan yang berbentuk empat segi bujur dan bertangkai. Bekas ini digunakan untuk memasak makanan semasa mereka bertugas di hutan.

Antara makanan yang disediakan di sini ialah Nasi Forze Bentara, Nasi Perajurit, Nasi Hijau dan Nasi Lemak Insurgensi. Beberapa jenis nasi turut diwarnakan hijau. Kebanyakan makanan yang dihidangkan dijual pada harga yang amat berpatutan seperti Nasi Perajurit dan Nasi Forze Bentara yang dijual pada harga RM3.50 satu hidangan.

Selain makanan Melayu, pelanggan yang gemarkan makanan Barat dan Itali juga boleh menikmatinya di sini. Pendek kata hidangan di CT-One Forze Cafe memenuhi cita rasa semua peringkat usia dan masyarakat.

"CT-One Forze Cafe Sdn. Bhd., iaitu salah satu anak syarikat Kumpulan CT-One telah dibuka pada Julai tahun lalu dan mula diperbadankan pada 2 Februari 2008. Syarikat milik keluarga yang 100 peratus bumiputera itu telah memilih untuk melebarkan bidang perniagaannya kepada makana dan minuman (F&B).

"Bidang perniagaan lain CT-One ialah membekalkan peralatan tentera, ladang agro dan sekolah tahfiz yang akan memulakan pembinaannya pada bulan Mac ini di Kuala Krai, Kelantan,'' ujar bapa kepada tiga orang anak itu.

CT-One Forze Cafe yang boleh memuatkan 50 orang pelanggan pada satu-satu masa ini dinamakan sempena nama tiga orang anak beliau, iaitu Siti Syazwani, 23, Siti Syazana, 21, (CT) dan yang bongsu Mohamad Syazwan (One), 19. Sementara isteri beliau, Azizah Ibrahim bertindak sebagai Pengarah Urusan.

Kata Adnan yang juga penasihat, CT-One Forze Cafe juga akan memulakan khidmat katering bagi dihantar ke pejabat, rumah atau majlis.

Kafe itu turut dilengkapkan dengan dewan majlis yang dihias dengan hiasan tentera dan dipakejkan dengan pelbagai jenis makanan. Antara majlis yang sesuai diadakan di sini ialah mesyuarat, seminar, kursus, kelas agama, majlis sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.

Bagi melebarkan sayap CT-One Forze Cafe dan memberi peluang kepada ramai remaja bumiputera untuk menceburi bidang F&B, beliau merancang untuk membuka tiga lagi cawangan di Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan sebelum bulan Januari 2012 dan tiga buah lagi sebelum Januari 2014, iaitu di Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: