Monday, March 15, 2010

Idea hiasan kediaman moden


Ruang tamu berkonsep moden kontemporari yang mengetengahkan warna-warna tanah seperti coklat lembut.


APAKAH elemen yang paling utama dalam menata rias kediaman yang berkonsepkan moden dan kontemporari? Majoriti pakar hiasan dalaman berpendapat, pertama sekali jangan memenuhi rumah tersebut dengan begitu banyak aksesori.

Ini kerana 'aksesori' paling penting di rumah yang berkonsepkan moden hanya cukup anda, ahli keluarga dan rakan-rakan yang kerap mengunjungi rumah anda.

Kenyataan ini dipersetujui pemilik kediaman pilihan kali ini, Rosmawati Abd. Majid, 38.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini juga senang untuk memilih perabot dalaman berkualiti yang ringkas namun tetap menampilkan ciri elegan.

"Saya dan suami memang gemarkan sesuatu yang ringkas, kebanyakan perabot pilihan kami juga adalah berasaskan warna semula jadi seperti warna coklat tanah yang selesa mata memandang," jelasnya yang ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Rosmawati yang menduduki kediaman jenis superlink di kawasan perumahan Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur berkata, kediaman tersebut memang menepati cita rasanya dan suami.

Faktor pemilihan kediaman tersebut terutamanya kerana lokasi yang berhampiran dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang boleh ditujui dalam masa yang singkat.

"Antara faktor lain ialah kerana tidak banyak rumah bersaiz seperti ini dibina pemaju, kebanyakan rumah sekarang bersaiz kecil dan kebetulan anak-anak sedang membesar jadi saya mahu mereka membesar dalam persekitaran yang lebih selesa dan sesuai dengan usia mereka," katanya yang mendiami kediaman jenis kondominium sebelum berpindah ke Mutiara Homes kira-kira lima bulan lalu.

Menurut Rosmawati, konsep sebenar yang diutamakan dalam kediaman barunya itu sebenarnya berlandaskan ketenangan, praktikal, keindahan dan menepati ciri-ciri kesemua ahli keluarganya yang serba ringkas dan sibuk dengan aktiviti masing-masing.

Malah dia dan suaminya juga bukanlah jenis berbangga dengan perabot yang diimport dari luar negara kerana itu mereka berdua selesa memilih perabot tempatan yang tidak kurang hebatnya berbanding perabot luar.

"Untuk kemasan lembut seperti langsir pula kami senang mengambil khidmat nasihat pakar dari Master Home Treatment.

"Semua langsir dari ruang tamu hinggalah ke semua bilik tidur semuanya menggunakan langsir ilham Halim Jani dari Master Home Treatment," jelas wanita kelahiran negeri Johor ini.

Meninjau setiap bilik di kediaman ini juga membuatkan kita rasa nyaman dan selesa. Reka hiasannya ringkas dan praktikal.

Menurut Rosmawati, hiasan bilik mengikut cita rasa setiap penghuni termasuk bilik ketiga-tiga anaknya yang berusia antara 13 hingga empat tahun.

Apa yang penting, tata rias bilik memudahkan mereka untuk belajar, berehat, tidur, menukar pakaian dan bersiap.

Kediaman superlink idaman hati

Kediaman superlink dua tingkat berkeluasan lebih 2,000 kaki persegi itu juga memang sesuai untuk keluarga moden hari ini. Di tingkat bawah terdapat dua bilik, satu untuk tetamu dan satu lagi bilik tidur pembantu rumah.

Malah di ruang tamu juga terdapat sebuah tandas comel yang sesuai untuk tetamu yang bertandang ke tandas tanpa perlu masuk ke bahagian dapur.

Untuk ruangan keluarga beristirehat pula, Rosmawati selesa memperuntukan ruangan tersebut di tingkat atas yang menempatkan set sofa fabrik tiga dudukan.

Tidak sah kalau tidak menghidupkan elemen alam di dalam rumah, oleh itu Rosmawati juga memilih bunga tulip berwarna putih berdaun hijau sebagai penyeri kediamannya. Bunga tersebut disusun di rak khas diilhamkan oleh pereka hiasan dalaman yang diupah khas.

Tanaman segar pula memenuhi pasu yang disusun di laman rumah. Dengan adanya cermin dan langsir siang yang istimewa, penghuni rumah dapat menikmati kehijauan pohon dari dalam rumah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: