Friday, March 12, 2010

Doa Farihin dimakbulkan


FARIHIN Abdul Fattah (duduk) bersama Muhammad Wajih (kanan) dan Amin Al-Hadi (kiri) dan Saniah, di IKIM, baru-baru ini.


FARIHIN Abdul Fattah, personaliti yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia seni tanah air. Melihatkan kepada pencapaian peribadinya, memang ada kewajarannya beliau dipilih sebagai Rais atau Pengetua program realiti julung kali terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Adik-Adikku.

Apa tidaknya, anak kelahiran Kota Singa yang berusia 45 tahun ini adalah penerima empat tahun berturut-turut Anugerah Penerbit Album Terbaik tahun 1997 hingga 2001, Anugerah Skor Muzik Terbaik Filem Syukur 21 serta tidak ketinggalan menjadi juri jemputan untuk pelbagai program realiti televisyen.

Malah beliau adalah Pengurus Pentas untuk Konsert Siti Nurhaliza Albert Hall di London, selain menganjurkan konsert-konsert kumpulan Raihan di dalam dan luar negara.

Walaupun begitu, kepercayaan Jakim ke atas Farihin untuk menerajui sebuah program anak sulung diakui menimbulkan kejutan dan tanda tanya di hati kecil empunya diri.

"Saya mula dipanggil oleh Jakim tiga minggu sebelum bermula program ini. Agak terkejut juga tetapi saya tidaklah terlalu hairan kerana ada terbabit pada peringkat awal pencarian peserta.

"Sebenarnya sewaktu mengerjakan umrah pada bulan Ramadan tahun lepas, saya telah berdoa di Multazam, di Raudah dan juga di hadapan Makam Nabi.

"Saya bermohon agar Allah permudahkan saya untuk mengumpul sekitar 40 anak-anak yang boleh dibentuk solat mereka terlebih dahulu.

"Ini kerana telah banyak tempat di dunia yang pernah saya lawati, belum ada lagi satu bentuk solat jemaah yang boleh dibanggakan iaitu seolah-olah raja berada di hadapan. Sedangkan apabila kita bersolat, kita sebenarnya sedang menghadap raja segala raja," katanya yang turut serta pada promosi Program Realiti Adik-Adikku di Radio IKIM.fm di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Farihin, doanya itu bertujuan agar terbentuk kumpulan kanak-kanak yang boleh diketengahkan merata tempat supaya mereka dijadikan contoh solat berjemaah yang cantik dan kemas.

"Lantas apabila menerima tawaran pengetua, saya tidak perasan lagi tetapi sebaik menerima 20 finalis untuk program TV ini, apa yang saya doakan adalah menjangkaui daripada permintaan doa saya.

"Ini kerana, sebaik munculnya 20 orang kanak-kanak ini di kaca televisyen, secara tidak langsung jumlahnya akan menjadi bertambah ramai. Malah mesej dakwah yang disampaikan juga jauh lebih meluas dan sampai ke pelbagai peringkat usia," ujar Farihin yang memastikan setiap modul itu ada diselitkan topik solat.

Menyentuh modul pengisian sepanjang kanak-kanak itu berada di ILIM, jelas Farihin ia adalah dalam bentuk latihan khusus dengan dikendalikan oleh lima orang murabbi yang cukup berilmu dan berpengalaman.

"Para murabbi ini memang sudah terkenal di platform agama dan mereka inilah yang mencurahkan segala ilmu kepada anak-anak yang di bawah bimbingan mereka. Cumanya, bahan-bahan itu adalah dari team saya.

"Yang pastinya, kita mengisi program harian kanak-kanak ini bukan hanya pada kemahiran berpidato tetapi diisi dengan riadah dan hal-hal yang perlu dalam memantapkan akal, rohani dan fizikal. Sebab itu modul ini adalah modul wajib walaupun di luar ia tidak berapa wajib," kata Farihin bersemangat.

Ditanya tanggungjawab berat yang dipikul sebagai pengetua kata Farihin, program Adik-Adikku bukanlah yang pertama dipegang.

Sebelum ini beliau pernah menjadi pengetua kepada program realiti hiburan dan selalu juga dijemput memberikan kritikan pada program lain.

"Sebenarnya tugas pengetua ini, dari segi tanggungjawab umum memang sama di mana kena menentukan arah tuju sesuatu akademi dan pastikan tenaga pengajar selari dengan aspirasi kita.

"Cuma dalam konteks program berbentuk Islam, tanggungjawab itu lebih berat kerana ia melibatkan banyak isu sensitif yang perlu diambil perhatian.

"Contohnya, saya tidak mempunyai latar belakang agama tetapi hikmah di sebalik tawaran itu yang saya fahami, ia merupakan jawapan kepada doa saya tadi.

"Keduanya, saya di sini untuk belajar bukan mengajar kerana yang mengajar adalah murabbi. Saya belajar dengan kanak-kanak ini dan murabbi sendiri.

"Ini peluang saya bertemu dengan orang-orang hebat dalam bidang agama secara langsung.

"Jadi saya ambil ini sebagai satu sekolah untuk saya sendiri," terangnya.

Tegas Farihin, mereka bukannya mengejar rating yang tinggi untuk program itu tetapi yang lebih penting ibu bapa sedar dan mendapat gambaran serta dapat melihat potensi anak-anak mereka melalui kaca mata program Adik-Adikku.

"Anak-anak ini bukan sahaja petah bercakap tetapi sikap, disiplin, akal, jiwa dan rohani juga sama mantap. Malah mereka mampu bergelar daie cilik yang boleh menyampaikan dan menyanyikan ilmu," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: