Monday, March 15, 2010

Buntal Buncit Jadi Rebab

Pembuat rebab ikan buntal, Engkok Mat Joi, 65, ketika ditemui semasa Hari Kraf Kebangsaan baru-baru ini, menunjukkan alat muzik tradisional yang dihasilkannya sendiri.

“Ahh..buntal lagi.,” Itu merupakan kata-kata pertama yang terpacul dari bibir penulis ketika mengikut satu trip memancing di Pulau Sembilan, Pelabuhan Klang baru baru ini.

Dari awal hingga akhir trip, pasti ikan beracun dan berduri kembung ini yang dapat dinaikkan. Bukan penulis sahaja yang mengeluh tiap kali menaikkan ikan daripada spesies ini, tekong yang menjadi guide kami tidak kurang hebat menghamburkan kata-kata kasar bila saja ikan ini melekat pada pancing.

Bukan niat penulis untuk mencemuh atau menjatuhkan ‘martabat’ ikan beracun itu, cuma agak mengecewakan jika keluar memancing, habuan yang dapat hanyalah ikan yang langsung tidak boleh dimakan.

Dalam leka memancing, penulis teringat tentang satu pameran alat muzik tradisional yang diadakan pada Hari Kraf Kebangsaan baru baru ini.

Pasti ramai yang tercengang kalau penulis mengatakan ikan buntal ada kegunaannya sendiri sebagai alat muzik tradisional.

Ya... itulah yang akan penulis ceritakan kali ini. Alat muzik rebab yang biasa kita dengar dalam persembahan silat atau pun persembahan tarian tradisional lazimnya dibuat daripada kayu pokok nangka dan berongga di bahagian dalam.

Bentuk badannya lebar di bahagian atas dan tirus ke bawah. Dadanya ditutup dengan kulit diperbuat daripada perut lembu yang dikeringkan. Busut kecil yang dibuat daripada lilin lebah ditampal pada sebelah kiri dadanya dipanggil “susu”.

Di sisi bahagian atas lehernya dipasang pemulas bagi melaras suaranya. Leher atau papan jari dipasang pada bahagian atas badannya. Pada bahagian atas kepalanya berukiran dan dipanggil `Pucuk Rebung’. Lehernya memanjang ke bawah menerusi badan dan hujungnya menjadi pancang di bahagian bawah di mana alat itu diletakkan berdiri bila ia dimainkan.

Kayu kekuda titian tadi diletak pada tengah dadanya dan boleh diubah kedudukannya.

Busurnya dibuat dari kayu dan melengkung sedikit. Tali penggesek ialah urat daripada selapuk balutan mayang kelapa tapi kini digunakan tali tangsi.

Terdapat dua jenis rebab di Semenanjung Malaysia, iaitu rebab bertali tiga dan rebab bertali dua. Rebab bertali tiga biasanya diguna dalam permainan makyung, selampit dan main puteri iaitu sejenis rawatan perubatan tradisi.

Cara pembuatan dan alatan serta bahan yang digunakan berlainan sekali dengan apa yang penulis cuba kongsi dengan pembaca.

Salah seorang pembuat alat muzik tradisi ini, Engkok Mat Joi, 65, badan rebab perlulah disiapkan terlebih dahulu bagi menghasilkan alat muzik tradisi itu.

“Salah satu identiti rebab ikan buntal ialah terdapat ukiran siput gondang pada satu bahagian hujung badan rebab.

Berdekatan ukiran itu pula ialah satu lubang yang dikorek untuk meletakkan kunci tali rebab.

“Badannya perlu diperbuat daripada kayu jenis cengal atau beberas yang lebih kuat.

"Kunci tali rebab pula berfungsi melaraskan ketegangan tali yang menghasilkan muzik,” katanya.

Engkok yang tinggal di Tasik Bera, Pahang mula membuat rebab ikan buntal sejak 1999 setelah mempelajari teknik menghasilkan alat muzik itu daripada bapa saudaranya.

Sambil menggesekkan rebab itu untuk menghasilkan irama yang lunak, dia berkata, kulit ikan buntal tersebut haruslah dibersihkan daripada isinya.

Kulit ikan buntal yang masih basah itu akan terus ditampal pada bahagian luar kulit tempurung kelapa yang telah dibelah kepada dua bahagian dan dibersihkan.

“Sebelum itu, kulit ikan buntal itu akan dipotong mengikut saiz diameter tempurung dengan menggunakan pisau. Gam tidak perlu digunakan untuk melekatkan kulit ikan itu pada tempurung kelapa kerana kulit ikan buntal mudah melekat,” jelasnya yang berasal dari suku kaum Semelai.

Terfikir juga penulis mengenai duri ikan yang masih berceracak pada kulitnya itu, tidakkah ia akan mencederakan pemainnya.

Bagaimanapun, Engkok pantas mencelah ia tidak mungkin mencederakan pemain kerana kayu bertali digunakan untuk menghasilkan muzik.

Sebelah tangan memetik tali pula menentukan darjah tinggi rendah nada bunyi yang ingin dihasilkan. Engkok menambah, rebab kulit buntal digunakan untuk tujuan hiasan atau berhibur pada waktu lapang.

Sebuncit-buncit ikan buntal, ada juga kegunaannya tapi yang menjadikan ia terus dilabel sebagai tiada fungsi atau kegunaan ialah pengetahuan kita tentang alat muzik ini. Jadi lepas ini, tak wajarlah jika kita masih meletakkan ‘darjat’ ikan buntal di bawah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: