Thursday, March 11, 2010

Bukan rezeki Alex


Kumpulan Kecik (tengah), Idlan (kiri) dan Alex (kanan) bersama trofi dan replika cek kemenangan mereka pada pertandingan akhir Raja Lawak 4 (RL4) hujung minggu lalu.


MEMPAMERKAN persembahan konsisten pada malam kemuncak Raja Lawak musim keempat (RL4) minggu lalu bukan tiket untuk peserta dari Sabah, Alex atau nama sebenarnya Alexander Ahat, 28, untuk bergelar juara.

Tewas dengan beza undian ketara 18.2 peratus meletakkan dia di tempat ketiga berbanding juara pertandingan itu, kumpulan Kecik dengan 49.5 peratus diikuti Idlan di tempat kedua (32.3 peratus).

Sebelum ini, ramai yang meramalkan peserta yang berasal dari Kulim, Kedah, Idlan bakal menjuarai pertandingan itu. Namun pada malam kemuncak yang berlangsung di Auditorium MBSA, Wisma MBSA, Shah Alam, pujian harus diberikan kepada Alex kerana mempamerkan persembahan yang cukup konsisten.

Dalam masa tiga minit, dua persembahan diwajibkan ke atas kesemua peserta akhir mengikut tema yang diberikan, lawak bebas dan komedi muzikal.

Taruhan Alex dengan persembahan mengenai dilema seorang pemandu teksi serta seorang pembantu rumah mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Malah, ketiga-tiga pengkritik tetap RL4, Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Din Beramboi turut mengakui persembahan Alex paling menyerlah.

Namun itu bukan bermakna kumpulan Kecik tidak mempamerkan persembahan yang menarik lagi menghiburkan.

Biarpun kurang menyerlah pada persembahan lawak bebas, persembahan Kecik mampu mencuit hati penonton pada persembahan komedi muzikal berkisah perebutan hadiah kemenangan oleh Jebat dan Tuah.

Sudah lumrah pertandingan yang diadili oleh undian khidmat pesanan ringkas (SMS), biarpun Alex cukup menyerlah, hakikatnya jumlah undian yang diterima oleh peserta berbadan besar itu tidak mampu menyaingi undian yang diperoleh oleh Kecik mahupun Idlan.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani pada sidang akhbar yang diadakan sejurus tamat pertandingan itu memberitahu, kiraan undian untuk pertandingan akhir dikira sejak hari Isnin (1 Mac) sehingga diumumkan undian ditutup pada malam pertandingan.

Atas dasar itu, berkemungkinan penonton masih mengingati persembahan kumpulan Kecik pada minggu sebelumnya dan mengundi berdasarkan persembahan tersebut.

Ini sudah tentu mempengaruhi jumlah undian ketiga-tiga peserta pada malam kemuncak itu.

Bagaimanapun, Alex tidak berkecil hati malah menganggap kedudukan di tempat ketiga sesuatu yang cukup istimewa buat dirinya.

"Saya menganggap nombor tiga adalah nombor bertuah buat diri saya. Di Sabah, saya merupakan peserta yang ketiga diujibakat, saya juga peserta ketiga yang diumum memasuki top 10. Malah, pada malam ini saya merupakan pemenang tempat ketiga.

"Saya menerima kedudukan di nombor tiga ini sebagai sesuatu yang positif. Sebagai jurulatih di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), saya nak buktikan pada para peserta bahawa sekiranya ada usaha pasti boleh berjaya.

"Justeru, malam persembahan saya setkan dalam minda untuk buat persembahan dengan cara yang tersendiri," kata Alex yang menerima hadiah berupa sebuah motosikal Naza Blade 250R, wang tunai RM8,000, barangan elektrik, jam tangan Hugo Boss dan trofi.

Kecik tak jangka menang

Dianggotai oleh Wan dan Achoe, kemenangan kumpulan Kecik pada malam itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Naza Sorento, wang tunai RM14,000, barangan elektrik, jam tangan jenama Hugo Boss dan trofi sumbangan Astro.

Manakala Idlan yang dinobatkan sebagai naib juara membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Naza Optima, wang tunai RM11,000, barangan elektrik, jam tangan Hugo Boss dan trofi.

Mengulas kemenangan itu, mewakili rakannya Wan, Achoe berkata, kumpulannya telah melakukan yang terbaik pada malam tersebut.

Biarpun mengalami gangguan teknikal, sikap tenang Kecik mengatasi masalah yang berlaku harus diberi pujian.

Tidak menjangka gelaran juara dalam genggaman, cerita Achoe, sebelum ini mereka hanya mensasarkan ke peringkat top 25.

"Tambahan pula, ketika menghadiri sesi uji bakat, kami pada awalnya telah ditolak. Kami mencuba lagi untuk kali kedua sehingga diterima.

"Malah, apabila terpilih sebagai peserta top 10, kami turut merasakan hanya mampu bertahan sehingga minggu ketiga kerana berasa kurang diminati dan tiada pakej dari segi rupa.

"Bukan itu sahaja, pada peringkat awal pertandingan, kami kurang idea untuk di ketengahkan," jelas Achoe sambil dipersetujui rakannya, Wan.

Kurang pengalaman membuatkan mereka ingin terus berusaha dan terus mempelajari pelbagai ilmu lawak daripada otai-otai lawak.

Belum membuat keputusan tentang pembahagian hadiah kemenangan, bagi Kecik apa yang penting mereka harus memikirkan tentang masa depan.

Padah buat Idlan?

Saban minggu sepanjang berlangsungnya pertandingan RL4, Idlan antara yang disebut-sebut bakal menyandang gelaran juara berdasarkan peratusan undian mingguan.

Namun, apa yang sedikit menghampakan, persembahan jejaka berkumis nipis ini pada persembahan lawak bebas di malam kemuncak RL4 bagaikan tidak bersedia.

Hilang punca, malah langsung gagal mengingati kandungan lawak yang ingin dipersembahkan olehnya pada malam tersebut.

Malah, ketika sesi sidang akhbar, Idlan bertalu-talu menyatakan permohonan maaf kepada media untuk disampaikan kepada para peminatnya.

"Saya terlalu gemuruh kerana jumlah penonton yang ramai sehingga tidak dapat nak fikir apa yang perlu saya lakukan seterusnya.

"Saya merancang untuk bercerita tentang burung dalam persembahan itu. Namun semua idea tidak mampu saya ingati kerana terlalu gemuruh dan saya gagal mengawalnya," jelas Idlan.

Masih mampu tersenyum, tambah Idlan, biarpun berasa sedikit kesal namun dia tidak mahu kekesalan itu merebak sehingga mengundang rasa kecewa dalam hidupnya.

"Saya tidak pernah simpan rasa kecewa dalam hidup. Mungkin malam ini saya kurang bernasib baik," kata Idlan lagi.

Biarpun gagal memberikan persembahan yang dinanti-nantikan pada persembahan pertama, Idlan menebus kehampaan peminatnya pada persembahan komedi muzikal dengan persembahan yang cukup menghiburkan.

Malah, ketiga-tiga pengkritik tetap RL4 menambah kehangatan persembahan Idlan dengan turut sama menari di atas pentas.

Bagaimanapun, ia belum cukup untuk mengatasi undian yang diperoleh Kecik pada malam tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: