Sunday, March 28, 2010

BMW 7 Series penanda aras premium


BMW 7 Series versi 2010 ini lebih lebar dan lebih panjang daripada segi saiz.


BMW Malaysia memulakan kempen pemasarannya bagi tahun 2010 dengan memperkenalkan dua varian BMW 7 Series iaitu 750Li dan 740Li. Apa yang membezakannya daripada 7 Series sebelum ini? Rupanya secara sekilas kelihatan sama.

Tetapi sebenarnya ia kini lebih lebar, lebih panjang sekali gus mengukuhkan perwatakan kereta ini sebagai 'chauffeur driven' atau mesti dikendalikan oleh pemandu manakala pemilik duduk di belakang. BMW 7 Series ini terus kekal menjadi penanda aras kepada segmen teratas dalam pasaran kereta premium di negara ini. Bagi BMW 750Li, ia dijual pada harga RM1,138,800 sebuah manakala BMW 740Li ialah RM848,800.

Pada harga sebegini tinggi, anda mungkin tertanya-tanya bolehkah ia dijual tatkala ekonomi negara dan dunia masih tidak menentu sekarang? Itu pendapat anda. Bagi sasaran pembeli terutama dari sektor korporat, ekonomi negara kini semakin mengukuh dan perniagaan kereta premium di negara ini tidak menunjukkan penurunan. Sesetengah jenama mempamerkan rekod jualan yang menaik. Mungkin ia terjual empat-lima buah lebih tetapi pada harga hampir RM1 juta sebuah dan sasaran mungkin 50 buah setahun, ia adalah margin yang sihat.

Dalam konteks BMW, model BMW 7 Series sebelum ini begitu popular. Sekarang, dengan pengenalan model baru, ia dijangka kekal di tangga utama pasaran segmen mewah di Malaysia. Apatah lagi BMW 7 Series ini diklasifikasikan sebagai 'hasil kesempurnaan dalam reka bentuk dan kecemerlangan kejuruteraan automotif daripada segi enjin, chasis, sistem keselamatan, sokongan pemandu dan paling utama, keselesaan.

Menggunakan enjin petrol V8 paling efisien di dunia dan enjin straight-six paling bertenaga di kalangan model-model BMW, ia memberikan imbangan yang baik daripada segi penawaran kuasa enjin dan penjimatan minyak. Enjin ini memenuhi sepenuhnya strategi pembangunan BMW EfficientDynamics.

Aset teknikal paling penting yang terdapat pada kedua-dua enjin petrol tersebut ialah teknologi Turbo Berkembar yang eksklusif bagi BMW yang dipadankan dengan sistem Suntikan Berketepatan Tinggi BMW. Memaparkan sistem-sistem canggih ini, kedua-dua enjin berkenaan mencapai paras kuasa pecutan dan terjahan yang hanya boleh ditawarkan oleh jenama lain melalui kapasiti enjin lebih besar yang seterusnya memberi lebih penekanan dari segi berat.

BMW 750Li didatangkan dengan enjin lapan silinder 4.4 liter yang merangsang 407 kuasa kuda manakala BMW 740Li menggunakan enjin 3.0 liter yang masih mampu menjana kuasa menggegarkan sebanyak 326 kuasa kuasa.

Bagi memastikan dinamik pemanduan dan keselesaan, 7 Series tersebut merupakan sedan BMW pertama yang memaparkan gandar atau axle depan yang dipasang berganda dan gandar belakang integral-V yang diperbuat kebanyakannya daripada aluminium. Ini memberikan rasa yang lebih ringan, menjamin keselesaan yang hanya boleh dicapai dengan pemisahan ketat antara arah roda dan fungsi mengendurkan gegaran.

Integral Active Steering iaitu sistem kendalian kereta paling pintar, dipasang sepenuhnya pertama kali di dunia dalam BMW 7 Series. Berfungsi sebagai suatu opsyen ia memberi pilihan kepada arah kendalian menerusia transmisi tambahan pada roda depan dan arah kendalian pada roda belakang.

Pada pacuan rendah, roda belakang dipusingkan kepada arah kendalian roda depan bagi memberikan BMW 7 Series lebih ketangkasan di atas jalan. Pada kelajuan tinggi, bila menukar lorong atau di selekoh, sistem ini bersama dengan roda belakang akan bergerak mengikut arah sama dengan roda depan yang memberikan tahap keselesaan yang tinggi. Bermakna penekanan khusus diberikan oleh BMW untuk pemilik yang duduk di belakang.

Satu lagi ciri pertama di dunia yang diwujudkan pada 7 Series ini ialah sistem kamera Pandang Sisi. Sebagai tambahan kepada Kawalan Jarak Meletak Kereta yang membantu pengendalian semasa memacu pada kelajuan rendah, sistem kamera di bahagian hadapan itu memberikan pemandu sistem pengawasan lebih tinggi.

Selain itu, sistem Night Vision juga dipasang pada 7 Series ini. Ia telah dipertingkatkan dengan memasukkan sistem mengenal pasti pejalan kaki pada waktu malam. Unit komputer menganalisis data video terhadap tingkah-laku manusia dan kemudiannya memberi isyarat kepada pemandu mengenai seseorang yang sedang bergerak di laluan yang tidak berlampu.

Satu lagi inovasi menarik ialah sistem Amaran Beralih Lorong. Ia pertama kali diperkenalkan pada model 5 Series dan 6 Series yang menggunakan kamera bagi mengawasi tanda jalan. Sekiranya pemandu mengantuk dan terbabas lorong, stering roda akan bergegar perlahan sebagai peringatan. Ini sesuai juga untuk yang kaki memotong bahawa cara pemanduan itu berbahaya.

Daripada segi dalaman, 7 Series ini memaparkan ciri-ciri paling mewah berbanding kereta-kereta premium lain, termasuk keluasan daripada segi ruang kaki dan aras kepala dengan bumbung. Kerusinya boleh memberi 'urutan' 12 teknik. Secara ringkasnya, ruang duduk belakang ibarat ruang peribadi anda. Meskipun terdapat kawalan audio dan pendingin udara di bahagian hadapan untuk dikendalikan oleh pemandu, anda boleh menukarnya di belakang menerusi sistem kawalan iDrive dengan paparan skrin di belakang kerusi pemandu. Sesuai dengan peredaran masa, sistem audio 7 Series juga menyediakan perkakasan yang boleh menggunakan MP3 dan USB serta ruang penyimpanan koleksi lagu dengan kapasiti 8GB.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: