
CENDERAWASIH bukan satu nama spesies burung dalam keluarga Paradisaeidae yang banyak terdapat di Indonesia dan Australia. Ironinya, ia merupakan nama sebuah kumpulan muzik yang cukup terkenal dalam arena muzik tempatan lebih dua dekad yang lalu.
Memandangkan industri muzik tempatan sudah pun menganjak ke era yang baru, peredaran masa itu mungkin menghanyutkan nama kumpulan tersebut daripada pandangan umum terutama anak-anak muda hari ini.
Namun, bagi penggemar seni muzik tempatan yang membesar sekitar era 80-an, Cenderawasih yang menampilkan kumpulan adik-beradik perempuan itu masih segar dalam kotak memori mereka. Dianggotai Irene Savaree bersama kakaknya, Helen Savaree, mereka boleh dikatakan antara kumpulan bukan Melayu yang berjaya meraih populariti tinggi melalui rakaman lagu-lagu yang memikat hati. Antaranya lagu Deritamu Deritaku yang dipetik daripada album pertama yang dirakamkan pada tahun 1984 yang memang menjadi kegemaran peminat seni ketika itu.
Sungguhpun bakat kedua-dua adik- beradik itu disedari menerusi tawaran kontrak selama tiga tahun bersama syarikat rakaman EMI. Namun, setelah berjinak selama dua tahun dalam dunia seni muzik dengan kemunculan dua album, mereka mengambil keputusan untuk bersara daripada bidang seni. Pengunduran dua gadis itu, semasa di puncak glamor sememangnya jelas merugikan industri seni muzik tempatan kerana kehilangan bakat berharga.
Bagaimanapun kehilangan mereka rupa-rupanya membawa kepada hikmah yang lebih besar selepas itu, apabila lebih 200 bakat baru lahir dalam industri muzik tempatan.
"Setelah mengundurkan diri sebagai penyanyi, saya lebih cenderung untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang vokal di Kolej Muzik Berklee di Amerika Syarikat (AS), manakala Helen pula memilih menamatkan zaman bujangnya dan membina keluarga bahagia.
"Pengalaman menimba ilmu di salah sebuah institusi pendidikan terkemuka dunia itu memang berbaloi. Di situlah saya menyedari erti sebenar seni muzik yang sarat dengan keseronokan, keunikan dan kreativiti," demikian kata Irene yang kini berusia 40-an setelah hampir lebih dua dekad mengundur diri daripada industri muzik tempatan.
![]() |
| SABAN hari Irene akan membuat lawatan dan pemantauan untuk memastikan perkembangan anak muridnya di ICOM. |
Apa yang lebih menarik, segala ilmu seni muzik yang diperoleh dari institusi itu telah diterjemahkan kepada pembukaan sebuah kolej muzik terkemuka di Malaysia dan di rantau Asia iaitu International College of Music (ICOM) pada tahun 1995.
ICOM yang terletak berhampiran jalan utama menuju ke Setapak, Kuala Lumpur itu, menawarkan pendidikan muzik kontemporari, produksi audio dan perniagaan muzik secara formal. Ia juga berperanan menghasilkan kelompok profesional dalam dunia muzik untuk menggalas cabaran seperti penggubah muzik, penulis lagu, penerbit, jurutera bunyi, penghibur, pengurus dan usahawan.
Seruan Mahathir
Wanita yang menyandang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ICOM itu berkata, beliau cukup gembira dapat mencurahkan ilmu yang sedia dalam membentuk generasi muda yang lebih profesional dan bertaraf tinggi. Misinya bukan melahirkan pemuzik tetapi mencungkil bakat-bakat baru yang mampu berdiri setanding dengan pesaing lain di peringkat antarabangsa.
Selain menjadi penggemar seni muzik Barat, beliau ingin melihat bakat-bakat tempatan menjadi trendsetter supaya seluruh dunia mengikut jejak langkah mereka. Namun, itu bukan satu tugas yang mudah kerana menuntut kepakaran, kesabaran dan komitmen yang utuh.
Berbicara mengenai sejarah perkembangan ICOM, Irene memberitahu sewaktu menuntut di Berklee, beliau mendapat peluang berjumpa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada satu majlis pertemuan pelajar-pelajar Malaysia. Seruan Mahathir pada pertemuan itu yang memintanya kembali ke tanah air dan membangunkan negara secara tidak langsung mendesaknya berbuat demikian.
Walau bagaimanapun, sejurus selesai pengajian beliau masih mencuba nasib di AS. Namun kos mencipta nama yang terlalu tinggi di sana menyebakan beliau kembali ke tanah air sekitar tahun 1990 dan mendekati sebuah syarikat rakaman terkemuka untuk berjinak semula sebagai anak seni. Apa yang menanti Irene ketika itu, hanyalah layanan sinis dan alasan-alasan yang tidak berasas.
![]() |
| IRENE (kanan) dan kakaknya, Helen telah menjelajah seluruh negara untuk membuat persembahan pada era 80-an |
Tanpa mempeduli pintu peluang yang tertutup tersebut, beliau membuka studio mini di kediamannya sendiri. Kata anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu, pada awalnya studio mini itu memiliki enam orang pelajar sahaja. Tetapi bersama sokongan ibunya, Nalini Iyengar yang sentiasa menjadi ikon inspirasi dan motivasi, beliau melakukan kerja-kerja publisiti serta pemasaran untuk menarik lebih ramai pelajar menyertai studio itu.
"Pada masa yang sama, saya juga mendekati beberapa pihak untuk melontarkan idea membuka kolej muzik di sini. Usaha itu menampakkan hasil apabila sebuah syarikat menerima idea tersebut dengan tuntutan perlu mendapatkan kolaborasi Kolej Berklee bagi menubuh sebuah institusi yang bertaraf antarabangsa.
"Akhirnya, ICOM membuka tirai di Malaysia dan menjadi sebahagian daripada rangkaian kolej Berklee," ujar Irene sambil memberitahu saban tahun kolej tersebut menerima pendaftaran pelajar dari seluruh pelosok dunia. Antara artis popular yang pernah mendapat pendidikan di ICOM ialah Noryn Azizi, Vince dan lain-lain lagi.
Walaupun bergelar presiden, namun Irene masih mengajar untuk menterjemah minat serta mengetahui tahap kebolehan para pelajar. Beliau juga ingin menjadikan proses pembelajaran di kolej berkenaan lebih interaktif dan seronok.
Sungguhpun sibuk dengan pengurusan kolej, wanita yang mahir bermain piano itu masih meluangkan masa melakukan latihan vokalnya setiap hari untuk kepentingan pengajarannya.
Walaupun, sudah lama tidak muncul di khalayak ramai, namun suara lunak Irene masih indah merdu di halwa telinga apabila beliau mendendangkan sebuah lagu Inggeris di akhir pertemuan bersama Kosmo! pada hari itu.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: