Wednesday, March 10, 2010

100 kem tentera darat dinaik taraf

KUANTAN – Projek Rehabilitasi Kem Tentera Darat bakal menjadikan kem tentera darat seluruh Malaysia setaraf dengan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam jangka masa 10 tahun lagi.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin memberi jaminan tersebut ketika berucap di program melawat tapak projek Rehabilitasi Kem Tentera Darat, semalam.

Katanya, projek di bawah Army Care ini diusahakan bagi memberi keselesaan kepada anggotanya yang selama ini terpaksa bekerja dalam suasana yang tertekan.

“Sebagai PTD, saya bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anggota dalam semua aspek termasuklah keselesaan mereka ketika bekerja. Mereka memerlukan tempat yang selesa untuk berehat ketika pulang dari operasi atau latihan.

“Untuk pengetahuan, kebanyakan kem tentera darat sudah menjangkau usia 60 tahun serta sudah tidak relevan untuk dibuat penyelenggaraan kerana struktur yang ada tidak sesuai lagi.

“Justeru itu, sebagai permulaan, tentera darat mencadangkan Kem Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Darat (RAMD) (Mekanis) di Kem Daralockwood, Kuantan dibaik pulih menggunakan sistem pasang siap (IBS) yang akan mengambil masa 8 hingga 12 bulan,” katanya.

Menurutnya, selain Kem Batalion 12 RAMD (Mekanis), 100 kem tentera darat lain yang bakal menjalani kerja-kerja rehabilitasi secara berperingkat-peringkat.

“Tahun ini sahaja, kami akan cuba melakukan rehabilitasi ke atas dua kem iaitu di Seremban dan Miri. Bagi melaksanakan rehabilitasi ini, kami berhadapan dengan masalah untuk menempatkan anggota sementara menunggu kem tersebut siap dibina,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: