Saturday, April 18, 2009

Ilham Ayat-Ayat Cinta



NOVEL Ayat-Ayat Cinta hasil garapan penulis muda Indonesia, Habiburrahman El Shirazy mencetuskan fenomena baru bukan hanya di negara jiran tetapi tempiasnya turut terkesan di negara ini.

NOVEL Ayat-Ayat Cinta hasil garapan penulis muda Indonesia, Habiburrahman El Shirazy mencetuskan fenomena baru bukan hanya di negara jiran tetapi tempiasnya turut terkesan di negara ini.

Bahkan, filem itu turut menjadi cetusan kepada industri busana Muslimah manakala menerusi seni fesyen tanah air, ia begitu dirasakan apabila tema pakaian untuk sesuatu majlis meletakkan busana berunsur Timur Tengah dengan fesyen jilbab (kerudung) yang menutupi sebahagian muka si pemakai.

Idaman Hawa Sdn Bhd yang dirintis Jeffrey Arazmi Mokhtar, tidak terkecuali mengambil inspirasi busana Muslimah yang penuh tarikan itu dengan meletakkan jubah sebagai perantara penting menyaluti tubuh wanita.

Ia boleh disesuaikan untuk pelbagai suasana atau ke mana-mana majlis sama ada majlis anugerah, minum petang atau makan malam bersama insan istimewa atau majlis rasmi penuh istiadat.


Menurut Jeffrey, untuk tampil ke majlis mewah penuh eksklusif, pastinya seseorang gadis atau wanita mahukan kelainan memperagakan busana mereka dalam sentuhan yang elegan, santun dan ada pesona tersendiri.


"Sebenarnya seni ciptaan tudung atau selendang menawan bergantung kepada kreativiti seseorang. Untuk melaksanakan tugas itu, daya kreativiti tinggi perlu ada pada pereka.

"Saya lebih banyak bermain dengan jubah dalam inspirasi pelbagai warna. Bahkan, jubah boleh diolah bagaikan gaun labuh atau dipadankan dengan seluar panjang. Untuk penampilan lebih eksklusif, saya melakarkannya dengan suntikan manik bagi memberikan nuansa Islam yang kuat dalam budaya fesyen yang beradab," katanya.

Dikenali sebagai gedung pemborong pakaian dengan koleksi busana Muslimah dan tudung Hawa menawan, dia akur sering mencari kelainan dalam seri tudung atau pakaian yang dihasilkan.

Dia juga tidak menafikan kebanyakan pakaiannya mula diintip selebriti mahupun golongan biasa sebagai inspirasi baru dalam gaya busana yang semakin dekat di hati wanita.

"Perkembangan dalam seni rekaan busana Muslimah semakin memberangsangkan dan ia merancakkan lagi industri fesyen, justeru, pereka seharusnya sentiasa tampil dengan idea terkini.

"Dalam soal ini, saya sering mengutamakan sesuatu yang membuka minda untuk berfikir bahawa rekaan itu bagaikan memenuhi semua aspek yang diinginkan. Untuk itu, dalam busana yang lengkap saya memikirkan penampilan wanita dari hujung rambut ke hujung kaki.

"Misalnya untuk satu-satu rekaan, saya mengambil kira bukan hanya pakaian yang hendak diperagakan. Tetapi saya turut memikirkan seni tudungnya hingga ke sarung lengan bagi menutupi bahagian tertentu dalam batas paling wajar supaya tiada suara sumbang yang mengkritik kerana silap tingkah dalam peragaan.

"Dalam erti kata lain, jika mahukan penampilan yang benar-benar Muslimah, biarlah ia menutupinya sepertituntutan agama. Soal moden atau tradisional tidak timbul jika anda bijak mengolahnya dengan perapian tertentu. Tetapi seseorang itu perlu kreatif sama ada bentuk tudung mahupun olahan bunga atau gubahannya supaya cara pemakaian yang santai sekalipun, tetap menghasilkan sesuatu yang memberangsangkan," katanya.

Tampil dengan berjubah, menurutnya, tidak dilihat ketinggalan zaman sekiranya ia diselitkan dengan unsur moden, manik menawan atau pilihan corak yang penuh cetusan semasa.

"Cara anda sebenarnya meletakkan bentuk busana Muslimah itu menarik atau tidak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: