KUALA TERENGGANU - Gula naik, harga makanan dan minuman kekal sama. Demikian pendekatan diambil peniaga makanan dan minuman termasuk kuih muih di Pasar Tani Mega Padang Hiliran di sini, yang tetap mengekalkan harga lama iaitu sebelum kenaikan gula diumumkan.
Kenaikan harga gula pasir sebanyak 11 sen kepada RM2.95 sekilogram berkuat kuasa 1 Mac lalu, juga tidak menjejaskan aktiviti jualan peniaga makanan dan minuman di sini.
Seorang peniaga makanan dan minuman, Mohd Faizal Ismail, 35, yang ditemui berkata, selaras dengan hasrat penubuhan pasar tani yang menawarkan harga rendah kepada pengguna, kenaikan gula sebanyak 11 sen tidak menjejaskan keuntungan peniaga.
Minuman di kedainya tetap dijual dengan harga sama walaupun kerajaan mengumumkan kenaikan bahan asas itu memandangkan perkara itu tidak menjejaskan aktiviti perniagaannya yang diusahakan itu.
“Biasalah, harga gula kadang kala naik, kadang kala turun, namun kita tetap mengenakan harga yang sama.
Walaupun harga gula naik, tetapi margin keuntungan tetap ada tidaklah terjejas sangat.
“Kita mengekalkan harga minuman dengan harga lama. Sebagai contoh, harga teh O masih 50 sen secawan, teh O sejuk RM1 dan milo RM1.50,” katanya.
Perkara itu, turut diakui peniaga kuih-muih, Salmah Mat Isa, 50, yang juga turut mengekalkan harga kuihmuih dengan harga sama.
Menurutnya, biarpun berlaku kenaikan harga gula sebanyak 11 sen, ia tidak menimbulkan masalah kerana berpendapat kenaikan itu masih relevan dengan kadar semasa sekarang.
“Sebagai peniaga perkara ini lebih dirasai berbanding pengguna biasa. Kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan termasuk terbaru kenaikan harga gula.
Sebagai peniaga, selain harga apa yang turut dibimbangkan mengenai bekalan.
“Sebab setiap hari kita perlu menyediakan kuihmuih untuk jualan. InsyaALLAH, jika bekalan tiada masalah. Kita kekal jual kuih dengan harga sama, iaitu RM5 untuk tiga jenis kuih tradisional dan RM10 untuk tiga paket kuih-muih sejuk beku,” katanya.
Seorang lagi peniaga kek dan roti, Aryani Hashim, 37, berkata, dia juga turut mengekalkan harga kek dan roti pada harga sama.
Katanya, dia tidak sampai hati menaikkan harga ketika ini kerana sebarang kenaikan harga makanan atau minuman bakal mengundang rasa kurang senang pelanggan.
“Setakat ini, kekal dengan harga. Kalau dinaikkan harga barang jualan, ia akan membebankan pelanggan dan mereka tidak mahu datang membeli pula,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengesahkan harga gula dinaikkan daripada RM2.84 kepada RM2.95 1kg sejak, 1 Mac.
Kementerian terbabit berkata, kenaikan itu ekoran peningkatan ketara harga gula mentah dunia yang diimport Malaysia.
“Di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No 2) 2017, Kementerian dengan ini menetapkan harga baru bagi gula pasir putih bertapis kasar pada harga RM2.95 sekilogram.
“Bagaimanapun, kerajaan masih mengawal harga tersebut pada paras paling minimum jika dibandingkan kenaikan di negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.