GUA MUSANG - Seorang warga emas nekad tinggal di tepi Sungai Ketil untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan ditemani sebuah motosikal roda tiga.
Awang Ismail, 67, mendakwa, dia sudah menjadi gelandangan sejak 10 tahun lalu dan kini mula berteduh di tepi Sungai Ketil, dua bulan lalu.
Menurutnya, dia memilih untuk menjadi gelandangan kerana tidak mahu menambah beban anak tunggalnya yang tinggal di Kemubu dekat sini.
"Saya pilih tinggal di sini kerana tak mahu susahkan anak saya kerana dia juga hidup susah.
“Saya berteduh dari panas dan hujan hanya guna payung dan dinding kayu. Untuk makan minum pula, saya makan apa yang ada," katanya yang pernah menjual sayur sebelum ini.
Awang berkata, kadangkala ada juga penduduk kampung yang hulurkan makanan kepadanya.

Katanya, motosikal roda tiga yang digunakan menyimpan dinding papan lapis, kerusi malas dan botol serta barangan kegunaan hariannya itu diberi oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) enam tahun lalu.
Dalam pada itu, Awang berkata, selain anak tunggal, dia mempunyai saudara di Kampung Kerinting dekat sini, namun mereka juga tinggal di setinggan dan orang susah.
“Saya tak dapat nak tumpang mereka sebab mereka juga susah. Jadi, lebih baik saya tinggal sendiri dengan apa yang ada," katanya.
Awang merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
JPP bantu beri motosikal roda tiga
Sementara itu, Pengerusi Kelab Warga Emas, Klinik Kesihatan Bandar Gua Musang (KKBGM), Mohamad Azari Ibrahim berkata, beliau mula mengenali Awang pada 2010 ketika menemuinya di pekarangan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra dekat sini.
Katanya, ketika itu, Awang hanya sehelai sepinggang dan beliau terdetik  membantu setelah melihat kesempitan hidup warga emas berkenaan.
“Setelah bertanya serba sedikit, Awang memberitahu dia tidak memiliki kediaman dan menjadi gelandangan di merata tempat. Melihat kesempitannya, saya memohon bantuan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
“Hasilnya, Awang dapat bantuan motosikal roda tiga daripada JPP dan dijadikan sebagai punca pendapatan dengan menjual sayur-sayuran, kacang dan makanan ringan lain.
“Dia memberitahu, dia berasal dari Pasir Puteh dan selepas mendapat sumbangan motosikal, dia berada di sekitar Gua Musang dan Kuala Krai untuk menjaja,” katanya.
Tambah Azari, selain kawasan masjid, Awang turut menjadikan beberapa tempat iaitu kantin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sebagai tempat berteduh.

Bantu ringankan beban
Sementara itu, Adun Galas, Ab Aziz Yusoff berkata, beliau memanjangkan perkara itu kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan JKM untuk membantu meringankan beban Awang.
Katanya, sejak dua minggu lalu, beliau dimaklumkan, Awang mula berteduh di tepi sungai di mana sebelum ini sudah beberapa tempat dijadikan kawasan persinggahan.
“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa Awang dan memohon agar sumbangan yang sepatutnya dapat disalurkan kepada warga emas itu.
“Mengikut laporan yang diterima, Awang sudah lama menjadi gelandangan dan dia berteduh di banyak tempat sebelum ini selain di Gua Musang. Namun, kita akan membantu mana yang boleh,” katanya.