|
PENGANUT Kristian kelihatan begitu khusyuk mendengar khutbah pagi yang disampaikan oleh paderi pada pagi itu. Namun, tumpuan mereka sedikit terganggu apabila rombongan Konvoi Rumah Ibadat 2013 memasuki pekarangan gereja Church of the Visitation di Jalan Yam Tuan, Seremban, Negeri Sembilan.
Pandangan mereka penuh kehairanan apabila ada dalam kalangan ahli rombongan bertudung dan berkopiah.
"Gereja ini merupakan salah satu bangunan warisan di Negeri Sembilan kerana ia dibina pada tahun 1848. Apa yang ada lihat sama sahaja seperti dahulu.
"Khutbah sedang berlangsung. Ia disampaikan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, Tamil dan Cina pada masa yang berbeza oleh tiga paderi yang bertugas," kata Anthony Joseph, 45, yang merupakan wakil pihak gereja yang menyambut kedatangan para peserta Konvoi Rumah Ibadat 2013.
Konvoi Rumah Ibadat 2013 dianjurkan oleh Hidayah Centre Negeri Sembilan dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan disertai oleh 60 orang peserta daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama.
Selesai melawat di sekitar kawasan gereja, para peserta rombongan di bawa ke dewan untuk sesi dialog.
"Setiap agama menganjurkan kepada kebaikan dan saling menghormati antara satu sama lain tidak kira bangsa dan agama.
"Atas dasar muhibah, kami mengalu-alukan program sebegini," kata Paderi Gregory Chan Weng Keong, 47.
Membawa tema 'Saling Memahami, Masyarakat Harmoni' konvoi diteruskan ke rumah ibadat kaum Sikh, Gurdwara Sahib yang terletak di kawasan berhampiran yang dibina sejak tahun 1905.
Gaya hidup Punjabi
Kehadiran kami disambut oleh Presiden Gurdwara Sahib Seremban, J. Balbir Singh dengan tangan yang terbuka, manakala sesi penerangan dilakukan oleh Prabhdial Singh Dhillon, 50, selaku Sewadar iaitu sukarelawan di Gurdwara tersebut.
Prabhdial memberitahu, Gurmukhi merupakan tulisan yang digunakan dalam bahasa Punjabi dan orang Sikh mempunyai empat bahasa utama iaitu Gurmukhi, Punjabi, Parsi dan Arab.
Tiada istilah kehidupan bujang dalam kamus hidup penganut Sikh kerana mereka perlu berkahwin. Seorang lelaki hanya dibenarkan mempunyai seorang isteri dan mereka dilarang mempunyai apa-apa hubungan selain kepada isteri yang sah.
Kebanyakan orang Sikh terdiri daripada bangsa Punjabi dan Punjabi itu sendiri terbahagi kepada Punjabi Muslim, Punjabi Hindu dan Punjabi Singh.
Punjabi Muslim wujud pada tahun 1947 ketika India dan Pakistan dipisahkan menyebabkan separuh daripada orang Punjabi berada di Pakistan.
"Lelaki Sikh dimestikan memakai turban sebagai lambang maruah selain tampil lebih kemas memandangkan lelaki Sikh tidak dibenarkan memotong atau mencukur rambut.
"Kami melakukan upacara sembahyang sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang selepas terbenam matahari dan sebelum masuk tidur pada waktu malam bagi mempersiapkan diri jika tidak bangun keesokan harinya," katanya sambil memberitahu wanita juga mempunyai taraf yang sama seperti lelaki.
Sikh mempunyai kitab suci yang mempunyai 1,430 muka surat yang dibaca secara berlagu.
Penganut agama Sikh 100 peratus pemakan sayur kerana daging tidak termasuk dalam diet mereka. Sehubungan itu, hanya sayur-sayuran dibenarkan masuk ke dalam Gurdwara.
Memandangkan Gurdwara diuruskan sendiri dengan sumber kewangan hasil sumbangan ramai, setiap penganut diminta menyumbangkan 10 peratus daripada pendapatan mereka untuk Gurdwara persis konsep zakat dalam agama Islam untuk membantu golongan yang memerlukan.
Kami kemudian dibawa di tempat sembahyang. Ahli rombongan lelaki diwajibkan menutup bahagian kepala mereka sebelum memasuki kawasan tersebut.
Bawa hajat
Kelihatan kitab suci Guru Granth Sahib atau Adi Granth diletakkan di tengah-tengah Gurdwara di atas singgahsana. Ia ditempatkan di satu bilik khas apabila tamat upacara sembahyang.
Pengembaraan diteruskan lagi ke kuil Sri Baba Thandayuthapani yang merupakan tempat ibadat bagi penganut agama Hindu.
Setiausaha kuil tersebut iaitu Kapten Parameswaran melihat keadaan sekeliling kuil.
"Sebelum upacara sembahyang dilakukan, seseorang penganut itu perlu mengelilingi kuil terlebih dahulu.
"Tuhan utama ialah Murugan, Elephant dan Lady God atau Amman. Mana-mana kuil mesti ada tuhan-tuhan utama ini selain dewa-dewa yang lain," katanya sambil memberitahu ramai penganut hindu yang datang bersembahyang kepada Dewa Saneesvarar membawa hajat supaya diberikan nasib yang baik.
Tambahnya ada juga penganut yang datang sembahyang untuk Dewa Sembilan Planet (Navakraham). Tiap-tiap satu planet punya maknanya sendiri iaitu untuk mencari ilmu, harta dan sebagainya.
Parameswaran memberitahu, penganut Hindu sembahyang sebanyak tiga kali sehari bermula pada pukul 7 pagi, 12.30 tengah hari dan pukul 7 petang. Seawal pukul 5.30 pagi, sami akan memandikan dewa dan menghiaskannya.
"Kami tidak dibenarkan membawa masuk mayat ke kuil dan seseorang itu dilarang memasuki kuil selama 30 hari jika ada ahli keluarganya meninggal dunia.
"Untuk membina sesebuah kuil, perlu ada ritualnya. Biasanya kuil dibina ke arah Timur iaitu menghadap matahari," ujarnya.
Sebelum beredar untuk ke lokasi seterusnya, para peserta berpeluang melihat ritual upacara sembahyang yang dijalankan dengan paluan gendang dan tiupan serunai seperti yang ditonton dalam drama dan filem-filem Tamil.
Sama seperti wakil-wakil rumah ibadah lain, wakil Tokong Jiu Long Gong di Jalan Temiang mengalu-alukan kedatangan kami walaupun pada mulanya mereka agak gusar kerana ia melibatkan sensitiviti.
Menurut Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, Lau Chee Boon, tidak seperti tokong-tokong yang lain, Tokong Jiu Long Gong dilengkapi sistem pendidikan dan membantu golongan miskin.
Belajar nilai hidup
"Terdapat lebih 100 murid sekolah datang ke sini. Kebanyakannya mempunyai masalah keluarga dan pembelajaran. Mereka ke sini pada sebelah petang selepas mengikuti pembelajaran di sekolah formal.
"Di sekolah itu, mereka turut diajar mengenai nilai hidup yang betul," katanya sambil memberitahu penganut ajaran Taoisme yang ditimpa kesusahan boleh datang bersembahyang setiap hari.
Edisi Konvoi Rumah Ibadat 2013 sampai ke kemuncaknya apabila tiba di Masjid Jamek Bandar Seremban.
Peserta rombongan bukan Islam dibawa masuk ke ruang solat dan masing-masing memberi tumpuan tatkala mendengar penerangan daripada Pengarah Program Hidayah Centre Kuala Lumpur, Zun Arif Hakim Abd. Rahman dan wakil Hidayah Centre Seremban, Wahiduddin Mohd. Aris.
Selain menunjukkan mimbar tempat khatib menyampaikan khutbah pada setiap hari Jumaat, mereka juga dijelaskan berhubung konsep Rukun Iman dan Rukun Islam. Pada masa yang sama, mereka dibenarkan bertanya jika ada sebarang kekhilafan mengenai Islam.
Sebagai mengakhiri lawatan, semua ahli rombongan dibawa ke Kompleks Al Saadah yang bertempat di Rahang, Seremban. Uniknya, bangunan itu mempunyai reka bentuk seni bina Cina.
Bangunan tersebut menempatkan masjid, asrama dan bilik kuliah bagi mereka yang mahu mendekatkan diri kepada Islam.
Kini, Kompleks Al Saadah menjadi pusat agama bagi golongan mualaf yang berjumlah hampir 2,000 orang menempatkan pejabat Muslim Reverts' Association (MRA) dan Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: