Monday, May 6, 2013

Belajar bahasa Arab dengan mudah




BAHASA Arab merupakan bahasa al-Quran. Justeru, amat penting bagi umat Islam menguasai bahasa Arab dengan baik kerana ia mempunyai banyak keistimewaan.
Apabila seseorang itu pandai berbahasa Arab dan mampu berkomunikasi dengan baik, ini bermakna mereka juga boleh memahami isi kandungan al-Quran yang diturunkan Allah kepada seluruh manusia apabila membacanya.
Namun, pada zaman moden ini ramai antara kita tidak mahu mempelajari bahasa Arab dengan alasan ia susah dan membosankan.
Sebaliknya, masyarakat kini lebih gemar melihat anak-anak mereka menguasai bahasa Inggeris yang dianggap sebagai bahasa antarabangsa.
Hakikatnya, bahasa Arab adalah bahasa terpenting kerana melaluinya al-Quran diturunkan buat Nabi Muhammad SAW untuk disebarkan kepada sekalian umat manusia.
Bagi mereka yang berminat untuk mempelajari bahasa ini, anda boleh bermula dengan memiliki koleksi Buku Bersiri Bahasa Arab Mudah yang dihasilkan oleh Noorli Mohd. Noor.
Menurut Noorli, buku itu telah diterbitkan oleh AE Books Enterprise sejak tahun 2007. Sejak itu ia telah banyak diulang cetak kerana permintaan yang sangat menggalakkan.
“Koleksi buku ini menampilkan pembelajaran dan pengajaran mudah bahasa Arab bermula daripada asas. Ia sesuai untuk semua peringkat umur dan paling penting tidak perlu menghafal.
“Selain itu, syarat asas untuk pembelajaran buku ini hanya memerlukan anda tahu sedikit asas jawi atau boleh membaca al-Quran,” kata Noorli ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Set lengkap Buku Bersiri Bahasa Arab Mudah mengandungi 10 buah buku termasuk kamus bergambar dan buku perbualan. Ia turut dilengkapi tiga keping cakera padat (CD) versi MP3.
Orang ramai boleh mengikuti Cara Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Arab Mudah bersama Noorli di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM FM).
Apa yang pasti, Noorli memberitahu, matlamat penghasilan buku tersebut adalah untuk menjadikan pembelajaran bahasa Arab lebih mudah dan diminati.
“Ia sekali gus bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang dapat memahami al-Quran dan sunah di samping menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa perbualan dalam kehidupan seharian.
“Saya sendiri mula belajar bahasa Arab ketika berusia 28 tahun. Malah sebelum itu, saya langsung tidak tahu membaca dan menulis jawi, tetapi boleh membaca al-Quran. Alhamdulillah, dengan izin Allah, kini saya mampu menjadi pengajar dan penulis buku bahasa Arab. Apa yang penting adalah niat kita untuk menjadi yang terbaik,” ungkap Noorli yang kini berusia 47 tahun.
Terangnya lagi, buku tersebut ditulis daripada kajian, pemerhatian dan pengalaman untuk pembelajaran mudah bahasa al-Quran daripada peringkat paling asas.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.arabmudah.com, laman sosial facebook.com/ArabMudah atau hubungi talian 019-935 4122.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: