Monday, May 6, 2013

Tiada adegan buka baju, babak cium



SETAKAT ini cuma Datuk Seri Michelle Yeoh dilihat sebagai satu-satunya pelakon kelahiran Malaysia yang mampu mengembangkan kerjaya lakonan di Hollywood.
Bagaimanapun, industri hiburan tempatan kini boleh berbangga apabila terdapat seorang lagi anak seni iaitu pelakon Aeril Zafril meraih peluang berlakon dalam sebuah filem Hollywood baru-baru ini.
Bukan watak sampingan atau pelakon pembantu, sebaliknya Aeril atau nama sebenarnya Suhari Sunari diberi peluang melakonkan watak utama di samping beberapa aktres hebat Hollywood seperti Christina Ricci dan Sharon Stone.
Apabila diberi peluang untuk menyaksikan sebahagian sedutan filem berkenaan yang sudah menjalani penggambaran sejak Januari lalu, ternyata wujud keserasian antara Aeril dan Christina.
Cukup teruja apabila dapat berlakon dalam filem Hollywood, Aeril menegaskan dia tidak dapat bercerita dengan lebih lanjut tentang filem yang dilakonkannya itu.
"Saya terikat dengan perjanjian yang sudah termaktub bersama pihak produksi, antaranya tidak boleh memberitahu tentang sebarang perjalanan proses penggambaran filem itu.
"Lagipun filem tersebut baru selesai untuk penggambaran blok pertama dan tidak lama lagi saya akan ke London semula untuk menyambung proses penggambaran blok kedua pula," jelasnya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Aeril, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menjejakkan kaki di pentas Hollywood, namun dia sangat bersyukur kerana peluang sebegitu bukan mudah untuk diperoleh.
Ujarnya, dia turut mengambil pendekatan untuk tidak terlampau bercerita mengenainya kerana enggan dituduh sebagai seorang pelakon yang riak dengan peluang yang telah diraihnya itu.
"Selagi filem tersebut masih lagi belum siap dihasilkan, lebih baik saya tidak bercerita dengan lebih mendalam. Kalau semuanya selesai barulah saya akan bercerita," ujarnya.
Memandangkan adegan panas dan babak cium seperti sudah menjadi satu kelaziman dalam filem-filem terbitan Hollywood, Aeril menyatakan dia agak bernasib baik kerana tidak terbabit dengan sebarang adegan sedemikian.
Ujarnya, sebelum memberi persetujuan untuk berlakon dia sudah memberitahu kepada pihak produksi agar tiada adegan buka baju, bercium atau babak ranjang yang perlu dilakukannya.

ANAK muda ini menerima dengan penuh terbuka apabila dirinya digosip bercinta dengan aktres Wawa Zainal.


"Apabila saya meletakkan syarat sebegitu kepada mereka, saya terima dengan hati yang terbuka sekiranya tiada rezeki untuk berlakon dalam filem itu.
"Bagaimanapun, saya amat terkejut kerana mereka bersetuju dengan syarat tersebut, malah semasa penggambaran berlangsung kru produksi sanggup keluar dari bilik persalinan ketika saya mahu menukar baju," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada filem lakonannya itu bakal menjadi batu loncatan buat dirinya mengembangkan kerjaya di Hollywood, pelakon itu menyatakan dia sendiri tidak berani memberi jaminan kerana semuanya bergantung kepada rezeki.
Gosip cinta
Mengenai perkembangan terbaharunya pula, Aeril memberitahu kini dia sedang dalam rangka promosi filem terbaharunya iaitu 99 Kali Rindu yang akan ditayangkan di pawagam pada 9 Mei ini.
Menurut Aeril, dalam filem berkenaan dia membawakan watak sebagai Attar, seorang lelaki yang mahu mencari ketenangan setelah kematian isterinya.
"Filem ini bukan kesinambungan kepada 7 Petala Cinta, meskipun nama watak Attar wujud dalam kedua-dua filem berkenaan. Dalam filem 99 Kali Rindu, Attar memulakan hidup baharu selepas berhadapan dengan kekecewaan.
"Selain itu, Attar terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan seperti terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga berada dalam keadaan koma selama beberapa hari," jelasnya tentang watak yang dibawakannya itu.
Berkenaan dengan gosip cinta yang timbul antara dia dan aktres cantik, Wawa Zainal yang merupakan gandingannya dalam filem tersebut, Aeril menafikan gosip berkenaan timbul semata-mata mahu melariskan filem tersebut.
Tegasnya, dia sendiri tidak percaya gosip mampu jadi pelaris kepada kejayaan sesebuah filem kerana penonton sekarang lebih mengutamakan kepada kualiti dan jalan cerita yang ditampilkan.

SELEPAS bergandingan menerusi filem Pailang dan drama Klik, Aeril dan Wawa kembali bergabung tenaga dan aura dalam filem 99 Kali Rindu.


"Kalau ditanya tentang hubungan antara saya dan Wawa, memang kami agak rapat kerana sudah beberapa kali digandingkan bersama seperti filem Budak Pailang dan drama Klik.
"Mengenai perasaan terhadapnya pula, saya akui begitu menyayangi dirinya. Bagaimanapun, sayang saya kepadanya tidak lebih daripada seorang sahabat baik," jelasnya berhubung gosip cinta antara mereka berdua.
Ujarnya, dengan terjalin hubungan yang rapat itu menjadikan mereka tidak sukar untuk mencari keserasian bersama apabila bergandingan dalam sesebuah filem atau drama.
Sedia terima
Selama ini kerjaya Aeril sebagai pelakon telah diuruskan Metrowealth (MIG) setelah menjadi artis di bawah naungan syarikat tersebut sejak tahun 2010.
Bagaimanapun, pelakon itu akhirnya telah mengambil keputusan untuk keluar dari MIG kerana merasakan sudah mampu berdikari dan menguruskan kerjayanya sendiri.
"Kalau ikut kontrak saya masih lagi artis naungan MIG dan ia akan berakhir setelah saya selesai menjalankan kerja-kerja promosi untuk filem 99 Kali Rindu.
"Sebenarnya keputusan yang dibuat adalah untuk kebaikan kedua-dua pihak. Lagipun hubungan saya dengan David Teo juga tetap baik, meskipun saya tidak lagi bersama MIG selepas ini," ujarnya.
Menurut pelakon berusia 25 tahun itu, dia tidak keberatan untuk terus berlakon dalam filem atau drama yang diterbitkan oleh MIG sekiranya masih lagi mendapat tawaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: