BIARPUN tanpa rupa paras menarik, dua lagu ciptaan penyanyi Amir Jahari iaitu Tanpamu dan Penghibur Jalanan mampu menarik minat pendengar dan carta muzik tempatan.
Bekas peserta program realiti popular, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) itu juga tidak gentar menghasilkan album ketika penyanyi lain mengambil jalan selamat dengan hanya mengeluarkan single.
Album sulung Amir berjudul Penghibur Jalanan itu memuatkan tujuh buah lagu termasuk dua buah lagu bonus versi akustik iaitu Tanpamu dan Gelisah.
Mengulas mengenai album Amir, penerbitnya iaitu Anas Amdan memberitahu, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mempunyai bakat besar yang harus ditonjolkan.
Jelas abang kepada penyanyi Aizat Amdan itu, salah satu daripada usaha ke arah menonjolkan bakat Amir adalah dengan menghasilkan album buatnya.
“Saya sangat yakin dengan bakat mencipta lagu dan kemampuan vokal Amir. Saya tahu dia mampu pergi jauh dengan bakatnya itu,” ungkapnya optimis.
Ujarnya, kesemua lagu dalam album keluaran syarikat milik Aizat iaitu Kasi Gegar Entertainment (KGE) itu juga adalah hasil ciptaan Amir sendiri.
Ditebak kepada Amir, kenapa tiada komposer lain yang menyumbang lagu kepadanya, ujar penyanyi berusia 21 tahun itu, dia mahu album pertamanya tersebut dibuat melalui sentuhan sendiri.
“Setiap lagu yang terkandung dalam album Penghibur Jalanan ini mempunyai kesinambungan jalan cerita mengenai perasaan dan pengalaman hidup yang pernah dilalui oleh saya. Disebabkan itu, album ini hanya mengandungi lagu-lagu ciptaan saya.
“Lagu-lagu ini juga sudah lama berada dalam simpanan peribadi dan saya rasa dengan terhasilnya album Penghibur Jalanan, impian untuk berkongsi rasa dan pengalaman melalui lagu dapat direalisasikan,” dedahnya yang bakal ke Melbourne, Australia bersama Aizat pada 2 hingga 7 Mei ini untuk membuat persembahan solo di hadapan pelajar universiti di sana.
|
|
Lupa diri
Pernah dituduh lupa diri dan sombong satu ketika dulu selepas tamat AF9, luah Amir, dia sedar dan mengakui kesilapannya itu.
Malah, ujarnya, tunangnya yang dikenali dengan nama Amni, 27, itu juga pernah menegur sikapnya.
“Saya pernah berasa takbur selepas AF9 tamat. Tetapi nasib baik tunang tegur dan saya mulai tersedar,” ujarnya yang banyak belajar dan menerima nasihat daripada tunang dan juga Aizat.
Jelas Amir lagi, dia juga sudah pandai berkomunikasi dan prihatin akan hal di sekelilingnya.
Mengulas mengenai pertunangannya bersama Amni, jelas Amir, buat masa ini dia belum lagi mempunyai sasaran bilakah mereka akan berkahwin.
Bertunang pada 1 Januari 2011, ungkap Amir, tunangnya itu juga pernah menyuarakan rasa hatinya bilakah mereka akan berkahwin.
Ironinya, kata Amir, dia bukan belum bersedia tetapi mahu berjaya terlebih dahulu dalam bidang serta mengumpul duit sebelum meneruskan kelangsungan hidup bersama tunangnya.
Ditebak kenapa dia tidak menggunakan wajah sendiri sebagai penghias kulit untuk album pertamanya itu, jelas Amir Jahari, dia bukan menjual rupa sebaliknya menjual suara dan muziknya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: