RAMBUT merupakan antara mahkota berharga bagi wanita, gadis dan kanak-kanak perempuan. Boleh dikatakan setiap masa golongan tersebut sentiasa memastikan helaian rambut mereka dijaga dan didandan rapi.
Para ibu khususnya yang memiliki anak perempuan akan memberi tumpuan ekstra terhadap kecantikan rambut si kecil. Setiap fasa perkembangan fesyen dan aksesori rambut kanak-kanak yang ditawarkan di pasaran diteliti sebaik mungkin supaya permata hati tampil cantik dan bergaya.
Bertambah menarik, kanak-kanak perempuan yang menginjak usia empat tahun dikatakan mula mengambil berat tentang kecantikan rambut. Selain mengikat rambut ala ekor kuda atau membuat jalinan tocang, menyemat klip dan menggayakan cekak rambut berwarna-warni turut menjadi pilihan si comel.
Namun begitu sebagai ibu bapa keprihatinan terhadap penjagaan dan kecantikan rambut anak-anak perlu seimbang. Jika anda sanggup membelanjakan sejumlah wang membeli aksesori rambut yang pelbagai ibu bapa juga sewajarnya mendapatkan produk penjagaan rambut yang selamat untuk kanak-kanak. Ini disebabkan tanpa penjagaan yang rapi rambut kanak-kanak mudah terdedah pada masalah kutu, berbau dan kekusutan.
|
Rambut kering
Menurut Pengurus Pemasaran Wipro Unza (Malaysia) Sdn. Bhd., Edward Chen, kebanyakan kanak-kanak perempuan kerap berhadapan dengan masalah rambut kusut sehingga sukar untuk disikat dan dicuci. Masalah kusut tersebut semakin menjadi-jadi apabila rambut kanak-kanak diikat tocang.
“Jika masalah kekusutan tidak dibendung dengan awal ia akan menyebabkan rambut mudah kering dan rosak. Kesannya, kanak-kanak akan merungut sakit setiap kali menyikat rambut.
“Justeru bagi mengatasi masalah rambut kusut Carrie Junior memperkenalkan syampu kanak-kanak terbaharu Detangling & Frizz Control yang membantu mengawal kekusutan rambut supaya proses menyikat, menggaya dan mencuci rambut sesi yang menyeronokan,” jelas Edward yang memiliki seorang anak perempuan kepada Kosmo! pada majlis pelancaran syampu Detangling & Frizz Control di Petaling Jaya, Selangor.
Tambah Edward sebagai seorang bapa yang prihatin terhadap anaknya, menjaga kesihatan dan kecantikan rambut adalah satu cabaran buat dia dan isteri. Dia sentiasa memastikan kesihatan rambut anak perempuannya dijaga baik memandangkan permata hatinya itu kerap terlibat dengan pelbagai aktiviti di sekolah dan di luar rumah yang terdedah pada matahari.
Sementara itu, model dan pelakon tempatan Zahnita Wilson, 28, yang ditemui pada majlis yang sama turut memberikan maklum balas positif terhadap syampu Detangling & Frizz Control. Jelas wanita berdarah Melayu-Australia itu selepas anaknya, Zahrafina Abdul Zackery, 6 menggunakan syampu berkenaan dia semakin seronok untuk berdandan.
“Sebelum ini, anak saya selalu merungut kerana rambut kusut. Sesekali dia akan menjerit kecil apabila helaian rambutnya tersekat-sekat pada sikat sehingga dia enggan untuk menyikat rambut. Namun sejak menggunakan syampu Detangling & Frizz Control, sesi menyikat rambut dilakukan dengan mudah.
“Malah, Zahrafina semakin teruja untuk mencuba bermacam-macam gaya rambut sama ada ikat ala ekor kuda, bertocang atau sanggul comel,” tutur Zahnita mengenai perihal puteri sulungnya itu yang turut menyukai bau buah-buahan yang terdapat pada syampu tersebut.
Selain kehadiran Zahnita, pentas majlis pelancaran produk keluaran terbaharu Carrie Junior itu juga diserikan dengan selebriti jemputan seperti Sharifah Sofia Syed Hussein dan Natasha Hudson bersama anak perempuan masing-masing. Sepanjang majlis berlangsung pengunjung diberi peluang mempelajari cara dandanan rambut daripada jurugaya rambut profesional dan aktiviti menghasilkan aksesori rambut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: