Wednesday, May 22, 2013

Projek bersama Erra Fazira



AGAK lama Kosmo! tidak menyingkap sisi kehidupan aktres berbakat, Datin Paduka Umie Aida. Melihat kepada penampilannya dari dulu sampai sekarang, aktres berusia 40 tahun itu masih kekal jelita dan terus aktif dalam karier lakonannya.
Begitupun, karier seni Umie atau nama sebenarnya Umi Kalsum Rahmad Ali itu kini, bukan sahaja tertumpu pada lakonan tetapi juga bidang nyanyian.
Aktres filem Embun itu baru sahaja merakamkan lagu bersama teman baiknya iaitu Erra Fazira. Malah, mereka juga sudah menjalani pembikinan klip video untuk single kolaborasi mereka itu di Sydney, Australia.
Apabila Umie menyatakan hasrat untuk menyanyi, ramai yang tertanya-tanya tentang kemampuannya.
Bagaimanapun, jangan pernah terlupa tentang fakta bahawa Umie terlebih dulu memulakan langkah sebagai pernyanyi apabila dia menyertai pertandingan nyanyian Asia Bagus ketika berusia 18 tahun.
Dia kemudian pernah menghasilkan dua album studio berjudul Romeo & Juliet (1999) dan juga Gema Kasih (2002). Adik kepada pengarah Erma Fatima itu juga pernah popular menerusi lagu Salam Taj Mahal dan juga Redup Kerinduan.
Walau bagaimanapun, kerjaya nyanyian Umie tidak begitu menyerlah berbanding karier lakonannya.
Rezekinya dalam bidang nyanyian juga tidak seperti Erra Fazira apabila aktres jelita itu berjaya dalam kedua-dua bidang tersebut.
Ditebak kenapakah dia ingin kembali menyanyi, dedah Umie, semuanya disebabkan oleh Erra.
"Ini semua idea Erra. Dia yang mengajak saya untuk menyanyi semula. Berduet bersama dan menghasilkan single. Saya tahu dan sedar tidak berapa bijak dalam bidang nyanyian. Tetapi, selepas Erra memujuk dan saya fikir tidak salah kalau saya sekadar mencuba," ungkapnya mengenai single kolaborasinya bersama Erra yang dicipta oleh Azlan Abu Hassan itu.
Masih belum mempunyai judul untuk single tersebut, ujar Umie lagi, dia menyanyi sekadar berseronok dan tidak mahu hidup dalam keadaan stres tanpa melakukan perkara yang disukai dan menggembirakan hati dan teman baiknya.
Anak
Biarpun agak keberatan, tidak lengkap sekiranya perihal anak tidak ditanya kepada Umie.
Walaupun sudah tiga tahun berkahwin dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan di Tanah Suci Mekah pada 14 Mac 2010, pasangan itu masih belum dikurniakan anak.
Begitupun, Umie masih belum berputus asa dan masih berharap dirinya dan suami dikurniakan anak biarpun Umie sudah mempunyai dua orang anak angkat iaitu Mohd. Daniel Firdaus, 20, dan Mohd. Dzulhelmy, 19.
"Saya percaya kepada rezeki. Saya sudah berusaha dan lakukan yang terbaik dengan berjumpa doktor pakar. Doktor juga ada mengatakan kami subur dan tiada apa-apa masalah, cuma belum ada rezeki dikurniakan anak," ujarnya yang masih belum cuba untuk berubat secara tradisional.
Mengulas lanjut, kata Umie, dia bersyukur kerana dikurniakan dua orang anak angkat dan tidak tertekan kerana tidak dikurniakan anak daripada rahim sendiri.
Kata Umie, doktor ada menasihatkan dirinya agar mengurangkan pergerakan dan aktiviti seni untuk memudahkan proses mengandung.
Walau bagaimanapun, permintaan doktor itu tidak dapat dituruti olehnya kerana dia sememangnya tidak boleh duduk diam.
Ungkapnya lanjut, jika tidak menjalani penggambaran, dia akan ke gimnasium, menunggang basikal, bermain badminton atau bersenam daripada duduk di rumah.

PADA usia 40 tahun, Umie masih laku sebagai aktres yang sentiasa diintai para pengarah untuk mendapatkan khidmat lakonannya.


Bertenaga
Bakal terbang ke Korea Selatan bersama pihak media sempena Anugerah Skrin dari 4 hingga 11 Jun ini, Umie juga memberitahu, dia baru sahaja dilantik sebagai duta produk kesihatan, Phyto Science Double Stemcell selama setahun bermula pada 14 Mei lalu.
Ekoran pelantikan Umie sebagai duta produk kesihatan itu, aktres itu juga membuktikan bahawa dia masih mampu menggugat aktres-aktres muda yang sedang mencipta nama buat masa kini.
Sengaja melayangkan pertanyaan mengenai dirinya yang dipilih sebagai duta produk kesihatan yang berasaskan kombinasi sel-sel tumbuhan itu, tutur Umie, pelantikan dirinya itu disebabkan pihak tersebut melihat akan bakat dan penglibatannya dalam dunia lakonan.
"Alhamdulillah, saya dipilih. Kalau hendak kata saya dipilih disebabkan wajah cantik atau kulit masih tegang, ramai lagi aktres yang memilikinya.
"Mereka memberitahu, saya dipilih kerana bakat lakonan dan penglibatan saya dalam industri seni sejak dahulu lagi," ungkap Umie ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk kesihatan Phyto Science Double Stemcell di Hotel Sunway Resorts & Spa di Petaling Jaya, Selangor.
Sedar dirinya sebagai pelakon yang sering mengenakan solekan tebal dan lama, ujar Umie, disebabkan itu sejak dahulu lagi dia sering menjaga kulitnya untuk mengelakkan proses penuaan. Selain itu, Umie juga mengakui mengambil vitamin sejak sejak pada usia 20-an lagi.
"Sebagai seorang artis, saya perlu menjaga kulit berganda daripada orang biasa. Sebabnya, kami (para pelakon) sering memakai solekan lama malah, kulit kami juga terdedah kepada sinaran UV dan cahaya lampu ketika penggambaran. Lama kelamaan, kalau tidak dijaga kesan penuaan akan ketara," jelasnya.
Berkongsi mengenai produk kesihatan tersebut, jelas Umie, setelah mengambilnya selama tiga bulan, dia berasa lebih bertenaga dan tidak berasa letih walaupun perlu menjalani penggambaran selama hampir 24 jam.
Ujarnya lagi, walaupun menjalani penggambaran dari pagi sehingga ke petang, pada sebelah malamnya pula dia masih mampu bermain badminton bersama teman-teman.
"Produk Phyto Science Double Stem Cell dengan teknologi nano amat mudah dan cepat untuk diserap. Saya mengambilnya dua kali sehari dengan hanya meletakkan di bawah lidah sahaja. Ia berupa serbuk dan mudah diserap. Alhamdulillah selepas mengambilnya saya berasa cergas sepanjang hari," ulasnya lagi.
Ditebak berapakah bayaran yang diterima Umie atas pelantikannya sebagai duta itu, Umie hanya tersenyum menyimpan seribu makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: