
TIGA anggota tentera beramah mesra
dengan penduduk ketika menjalankan rondaan di Kampung Sungai Bilis,
Gugusan Labian, Lahad Datu, Sabah semalam.
LAHAD DATU - Kira-kira 600 pengundi berdaftar yang tinggal di gugusan Tanjung Labian di sini tidak mahu ketinggalan untuk membuang undi hari ini bagi memilih wakil rakyat yang dapat membela nasib mereka.
Kesemua pengundi itu yang tinggal di Kampung Tanjung Labian, Kampung Tanjung Batu, Kampung Lok Buani dan Kampung Tanduo akan membuang undi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku.
Tinjauan Kosmo! Ahad di kawasan gugusan Tanjung Labian semalam mendapati rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana dapat mengundi dalam keadaan aman dan selamat.
Seorang penduduk, Nuraini Kadri, 33, berkata, tarikh 5 Mei merupakan tarikh yang sangat penting kepada mereka yang tinggal di sekitar kawasan Operasi Daulat kerana berpeluang untuk membuang undi sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
"Tidak sangka kami masih boleh membuang undi pada pilihan raya kali ini memandangkan kawasan kampung kami baru sahaja pulih daripada pencerobohan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Gugusan Tanjung Labian di sini merupakan kawasan yang terjejas ekoran pencerobohan puak pengganas Sulu pada 12 Februari lalu.
Sejumlah pasukan keselamatan masih ditempatkan di gugusan Tanjung Labian bagi mengawasi keselamatan di kampung berkenaan dalam tempoh 24 jam.
Kawalan keselamatan itu dilakukan untuk memastikan kawasan tersebut selamat daripada pencerobohan pengganas Solo.
Bagi Ajmain Mahmood, 35, dia yakin proses pengundian hari ini akan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Setiap orang ada ideologi tetapi ia bukanlah sebab kami tidak boleh hidup bersama," ujarnya.
Apa yang penting, ujar beliau, para penduduk dapat hidup dalam keadaan selamat dan tenang selain dapat mencari rezeki seperti biasa.
Gugusan Labian terletak di kawasan Parlimen Silam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku.
Parlimen Silam menyaksikan persaingan empat penjuru yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Datu Nasrun Datu Mansur yang akan dicabar Dr. Badrulamin Bahron (PKR), Nawawie Saking (Star) dan calon Bebas Dumi Masdal (Bebas).
Sementara DUN Tungku menyaksikan penyandang kerusi daripada BN, Datuk Mohd. Suhaili Said akan ditentang Johani Abdul Halim (PKR), Johan Nul (Star), Datuk Shuib Mutalib (SAPP) dan Tsen Yun Fah @ Mohd. Allan Tsen Abdullah (Bebas).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: