
DERETAN kenderaan mula meninggalkan
ibu negara untuk pulang mengundi di kampung masing-masing ketika
tinjauan di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur malam kelmarin.
SESAK. Keadaan trafik di beberapa lebuh raya semalam dilaporkan sesak ekoran warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menunaikan kewajipan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) hari ini.
Lembaga Lebuh Raya Malaysia memberitahu, antara kawasan yang mengalami kesesakan teruk adalah di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan terutamanya di kawasan Slim River ke Bidor di Perak dan Bukit Merah ke Bandar Bharu, Kedah.
Di Lebuh Raya Karak pula, trafik dilaporkan sesak dari Plaza Tol Gombak ke Bentong, Pahang berikutan pertambahan bilangan kenderaan sejak pagi.
Sementara itu, jurucakap PLUS Expressways Bhd. ketika dihubungi berkata, kira-kira 1.3 juta kenderaan menggunakan laluan lebuh raya utara selatan dan angka itu merupakan pertambahan sebanyak 30 peratus daripada biasa.
“Jangkaan ini adalah untuk dua hari iaitu Sabtu dan Ahad (hari ini),” katanya.
Trafik mula lancar mulai pukul 7 malam semalam di semua kawasan kecuali di Kilometer 371.2, Slim River, Perak ekoran berlaku kemalangan.
Sementara itu, para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula sibuk menyiapkan pusat-pusat mengundi di seluruh negara semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: