|
SUKAR untuk membersihkan nama Luna Maya yang teruk dinodai sensasi. Wanita genit itu terpaksa berhadapan hakikat bahawa dia adalah bekas kekasih penyanyi Ariel daripada kumpulan Peterpan.
Sejak tiga tahun lepas, namanya bagai pelaris industri hiburan tetapi itu semua banyak dipanaskan oleh satu klip video seks yang didakwa dilakonkan oleh Luna dan Ariel.
Acap kali kisah kehidupan peribadinya disuluh tanpa belas kasihan. Mungkin dia sudah lali melaluinya, Luna sahih menjadi simbol sensasi tahun 2008.
Namun kedatangan Luna di Kuala Lumpur kali ini bukanlah untuk mengusung sensasi. Lebih daripada itu, wanita dengan nama penuh Luna Maya Sugeng itu membawa sesuatu yang lebih besar. Dia duduk di kerusi sutradara, sesuatu yang sudah lama diimpikan berada dalam portfolio kerjaya seninya.
Mata pengarah
"Saya jenis orang yang gemar berimaginasi. Suka bermimpi. Saya memang penggemar filem sejak kecil. Namun sejak lima tahun lalu saya sudah melihat filem dari kaca mata pengarah. Sebelum ini hanya sekadar hiburan dan sebuah sekolah. Filem buat saya adalah sebuah wawasan. Melihat bahawa di sebalik dunia lain di luar sana ada cerita-cerita yang pelbagai," ujar pengarah filem Pintu Harmonika yang bakal disiarkan secara eksklusif serentak di Indonesia dan saluran Astro First pada 23 Mei ini.
Bukan hanya menjadi tukang arah (seperti kata Luna) namun wanita berusia 29 tahun ini juga menjadi produser bersama untuk filem yang menghimpun Fauzan Nasrul, Barry Prima, Jenny Chang dan Karina Salim sebagai pelakon.
Filem Pintu Harmonika adunan Luna Maya, Sigi Wimala dan Ilya Sigma itu berkisar tiga kisah yang dialami oleh individu berbeza dalam menghadapi konflik hidup. Berlatarbelakangkan kawasan kejiranan rumah kedai yang serba sederhana, watak-watak ini berkongsi pengalaman dalam tiga genre berbeza. Ada drama, komedi romantik dan seram.
Bukan baharu bersekolah sebagai seorang sutradara, namun aktiviti ini sudah dimulakan Luna dengan mengarah klip video beberapa penyanyi Indonesia dan filem pendek. Namun untuk sebuah filem berskala besar, Luna mengaku dihujani serba serbi rasa, gembira dan gemuruh.
"Dulu sebagai pelakon tidak banyak yang boleh saya suarakan. Berbeza dengan sekarang, saya boleh keluarkan apa yang berada dalam fikiran," ketawanya yang mengaku lebih sukakan visual berbanding pembacaan.
Dia nyata berani keluar dengan sebuah produk yang besar. Dibantu pihak Malka Pictures selaku penerbit, Luna akur dengan industri perfileman Indonesia yang lebih banyak mendukung filem luar negara berbanding produk tanah air. Namun dia keluar dengan sebuah produk yang diyakininya.
Pintu Luna Maya
Di sebalik mempromosikan filem Pintu Harmonika yang membawakan tema kekeluargaan dan mengangkat ayat 'di balik setiap pintu selalu ada cerita,' Luna juga sedar dia turut bakal diajukan soalan-soalan bersifat peribadi.
Sewaktu ditanyakan berapa banyak pintu yang dilalui dalam cerita sebagai selebriti, dia ketawa, mengangguk dan menjawab:
"Terlalu banyak. Saya tidak mencuba untuk kedengaran sebagai Muslim yang warak tetapi benar bahawa semua kekuatan datang daripada Allah."
Tambah Luna, dia percaya bahawa walaupun berada di kedudukan paling buruk namun Tuhan tidak akan meninggalkan hambanya terkapai-kapai.
Sering diasak dengan kisah peribadi yang mengoyak tirai privasi, Luna mengaku pernah menutup sekejap kehidupannya dengan lebih memberi fokus kepada perkara yang perlu.
|
"Saya fikir kehidupan ini tidak akan terus dihambat rasa tidak gembira. Jika tidak merasa kesulitan, kita tidak akan belajar tentang sukses dan sebaliknya. Itu manusiawi. Semua kehidupan ada masalah sama ada skala kecil atau besar. Yang penting ialah bagaimana cara kita mengendalikannya. Kalau kita lari daripada masalah, ia tidak akan selesai," ulas Luna tentang pasang surut menjadi selebriti yang menjadikannya lebih matang kini.
Dia turut mengaku menjalani peningkatan kehidupan apabila berdepan dengan masalah. Namun dahulu, dia mengaku tidak pandai menyatakan perkataan 'tidak' semata-mata untuk menjaga hati orang di sekelilingnya.
Kini dia belajar mengendalikan hidup dengan lebih santai dalam menghadapi kerja kerana kerja baginya tidak akan pernah selesai. Dia juga belajar bahawa rezeki tidak akan dapat diputuskan oleh manusia.
"Saya muhasabah diri. Buat filem dan menjalani proses itu. Saya juga tidak takut gagal kerana tanpa kegagalan kita tidak akan belajar erti kejayaan. Saya tidak risau kalau tidak berlakon lagi kerana tubuh dan panca indera saya masih berfungsi. Masalah bukanlah penghujung dunia," ulas Luna dalam bahasa tersirat tentang dirinya yang sering diusik kontroversi dan sensasi hidup.
Cari imam
"Di Indonesia, pihak media selalu membesarkan sesuatu. Awalnya saya tidak dapat menerima kerana saya hadir dalam bidang ini bukan kerana mahu popular. Saya mahu berseni. Dunia ini terlalu besar untuk dijelajahi.
"Yang penting harus belajar dan bukan pura-pura tahu," ujarnya sambil memberitahu bahawa ayahnya seorang pelukis dan pemuzik manakala ibunya pula pengusaha fesyen.
Dalam rancak Luna membicarakan tentang skop pandangannya terhadap dunia seni, sepatah perkataan membuatkan dia terdiam sebentar.
Dia diajukan soal cinta. Khalayak tahu dia dahulu pernah mengikat cinta dengan penyanyi terkenal yang kini muka depan bagi kumpulan Noah. Siapa lagi kalau bukan Ariel.
"Cinta? Tidak perlu terburu-buru. Saya sekarang sedang seronok menjalani hidup dengan rakan-rakan dan famili," senyumnya cantik tidak menjawab secara tepat.
Diajukan lagi tentang keperluan seorang lelaki dalam hidupnya, dia senyum lagi sebelum menyambung bicara akhir.
"Lelaki penting. Satu hari nanti saya pasti mahu bersama seorang lelaki yang menjadi imam buat keluarga saya. Tetapi kalau ditanya bila, saya juga belum tahu," ujarnya menutup perbualan dengan topik yang mungkin mengusik hati wanitanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: