PENYANYI Anuar Zain benar-benar cerewet orangnya. Biarpun menjadi dambaan peminat bahkan dipuja dalam kalangan penyanyi sendiri, namun tidak semua penyanyi boleh menjadi pasangan pentasnya.
Lelaki kelahiran Merlimau, Melaka itu bagaimanapun ada alasan tersendiri mengenai istilah selektif yang cukup sinonim dengan dirinya. Katanya, untuk menerbitkan sebuah lagu yang ada jiwa, dia perlu berkongsi jiwa dengan pasangannya.
"Sehingga kini saya sudah bekerjasama dengan beberapa orang penyanyi wanita seperti Amy Mastura, Hetty Sarline, Hunny Madu, Camelia dan Dayang Nurfaizah. Ia berjaya kerana kami serasi.
"Memang saya tidak mahu bekerjasama secara sembarangan kerana ada banyak perkara yang perlu diambil kira antaranya soal mutu dan vokal. Saya mahu berkarya dengan orang yang saya kenal dan kita selesa bersama. Bila menyanyi kita berasa seronok atas pentas," ujar Anuar dengan riak wajah merendah diri.
Lelaki yang tidak lekang dengan senyum itu bukanlah seorang yang hidung tinggi, tetapi mencari keserasian demi sebuah persembahan yang berjaya. Sementelah kakaknya, Ziana Zain juga tidak berpeluang untuk merakamkan sebarang lagu bersamanya.
"Memang sejak dahulu lagi ramai yang bertanya bilakah saya mahu berduet dengan Ziana. Lalu saya menjawab bahawa perancangan itu memang ada, cuma mencari keserasian itu tetap sukar walaupun kami adik-beradik. Suara kami memang tidak kena untuk digabungkan," katanya .
Biarpun didekati oleh ramai wanita, namun Anuar mempunyai impian untuk bekerjasama dengan penyanyi Adibah Nor. Pun begitu dia yakin bahawa seluruh jiwanya benar-benar serasi apabila berdampingan dengan si penyanyi hitam manis, Dayang Nurfaizah.
Sekian lama mengagumi lontaran vokal wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu, jelas Anuar, Dayang merupakan antara penyanyi terbaik di Malaysia.
"Dayang merupakan penyanyi nombor satu di sini. Saya tidak teragak-agak untuk meletakkan gelaran itu kerana saya adalah seorang penyanyi dan saya cukup kenal dengan kehebatan Dayang.
"Vokalnya terbaik dan jangan dipertikaikan soal nadanya kerana dia memang bagus. Kalau pun sistem bunyi ketika persembahan tidak elok, Dayang tetap boleh melakukannya dengan sempurna," kata Anuar dalam sesi fotografi bersama Dayang di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada minggu lalu.
Tatkala ruang terbuka untuk dia berkata-kata, Dayang mencelah. Dalam tersipu-sipu malu kerana mendapat pujian daripada pelantun Sedetik Lebih itu, Dayang lebih selesa menyambut pujian dengan merendah diri.
"Saya tidak hebat mana pun. Abang Anuar jauh lagi hebat. Cuma apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengannya, itu merupakan pengalaman manis saya. Apatah lagi Anuar Zain itu penyanyi idola saya," getus Dayang lembut.
Sebenarnya ramai yang menyedari keserasian pada dua jiwa itu. Banyak peminat mereka yang mahu melihat Anuar dan Dayang bersatu ke jinjang pelamin. Bagaimanapun, kedua-duanya yang berstatus bujang itu tetap berasa janggal dengan saranan sedemikian.
Anuar dan Dayang yang berkenalan pada tahun 1999 itu begitu rapat seperti adik-beradik. Mereka hanya berasa lebih serasi untuk 'bernikah' dalam fantasi lagu-lagu dendangan berbanding mengikat janji di dunia realiti.
"Kami benar-benar rapat seperti hubungan adik-beradik, bahkan sering bersama. Selain sudah lama mengenali, usia saya dan Dayang juga begitu jauh berbeza. Apabila diajukan pandangan sebegitu, ada juga rasa janggal.
"Ramai peminat yang menyuruh kami berkahwin kerana suka tengok kami bersama. Tetapi saya tidak pula marah kerana berasakan bahawa kami sebenarnya berjaya mewujudkan fantasi mereka daripada keserasian ketika di pentas," kata lelaki berumur 43 tahun itu.
|
Tahun 2012 menjadi kemuncak kepada musim cinta Anuar-Dayang apabila mereka bersanding penuh simfoni di Dewan Filharmonik Orkestra, Kuala Lumpur.
Menerusi konsert amal anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas (KSRP) itu, Anuar dan Dayang kini menampilkan persembahan tersebut dalam sebuah cakera padat (CD) berjudul Anuar dan Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas. Sebanyak 14 buah lagu yang disusun semula dan diiringi persembahan pemuzik hebat ditampilkan dalam album tersebut.
"Walaupun trend semasa meminggirkan penjualan CD, tetapi album tersebut merupakan sebuah cenderahati kami berdua untuk peminat. Album ini adalah untuk pendengar yang saya pasti masih ramai yang mahukannya dalam bentuk CD yang boleh ditilik-tilik dan disentuh-sentuh," kata Anuar yang merupakan bekas pramugara.
Antara lagu rakaman secara langsung yang dimuatkan dalam album itu termasuklah beberapa lagu popular mereka seperti Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Perpisahan, Cinta Harus Memiliki, Seandainya Masih Ada Cinta dan Ketulusan Hati.
Beberapa lagu popular penyanyi tersebut turut disampaikan menerusi duet seperti Bila Resah, Mana Mungkin, Biar Akhirnya Di Sini dan Sedetik Lebih.
Dalam enak berbicara tentang keserasian dan album baharu tersebut, kedua-dua mereka mendedahkan jadual kerja terkini. Selain Anuar yang sedang sibuk mengumpul bahan untuk mengeluarkan sebuah album baharu pada tahun hadapan, Dayang juga semakin ligat mengumpul rezeki.
"Saya pula sedang mencari bahan untuk mengeluarkan sebuah single baharu. Selain itu, saya baru sahaja selesai merakamkan lagi berjudul Bisikan Rindu yang bermain merdu menjadi runut bunyi sebuah drama bersiri berjudul Dahlia.
"Peminat juga dijemput untuk menyertai persembahan khas saya yang akan diadakan di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur pada 23 Jun ini pukul 8.30 malam," tutur penyanyi berumur 32 tahun itu yang manis bergincu merah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: