Friday, May 10, 2013

HKL tidak tolak pesakit


HOSPITAL Kuala Lumpur banyak melahirkan pakar dalam bidang obstetrik dan ginekologi di negara ini.


PEMBANGUNAN Malaysia menuju ke arah status negara maju dapat dilihat dari segi peningkatan infrastruktur, pendidikan dan penawaran perkhidmatan. Penubuhan hospital-hospital swasta juga membuktikan betapa pekanya kerajaan dalam meluaskan bidang perubatan sekali gus memberi pilihan kepada masyarakat.
Meskipun dibanjiri hospital swasta, servis yang ditawarkan hospital kerajaan masih relevan dan terbaik. Contohnya ialah hospital bersalin di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi (O&G) HKL, Datuk Dr. Ravindran Jegasothy, hospital bersalin HKL menjadi rujukan utama hospital-hospital lain di Malaysia apabila melibatkan kes bersalin berisiko tinggi.
Jelas Ravindran, lokasi HKL yang terletak berhampiran Pusat Darah Negara dan Institut Jantung Negara itu menjadikannya pusat tumpuan terbaik bagi kandungan yang bermasalah.
"Hospital bersalin ini juga mempunyai empat sub kepakaran yang tidak dipunyai hospital lain iaitu uroginekologi, ginaonkologi, unit pembiakan dan Maternal Fetal Medicine. Satu lagi kelebihan yang kami miliki ialah kami tidak pernah menolak pesakit.
"Walaupun ada masanya katil yang disediakan tidak mencukupi, kami akan menampung pesakit tersebut dengan meminjam katil dari jabatan lain," ujar Ravindran.
Berdasarkan statistik, purata kelahiran di HKL pada tahun 1970-an sehingga 2000 adalah kira-kira 25,000 bayi setahun. Kini jumlah itu merosot dalam lingkungan 12,000 kelahiran setahun.
Selain menjadi tumpuan ibu mengandung, hospital bersalin itu juga menjadi gedung ilmu terpenting kepada pakar O&G di negara ini.
Imbas Ravindran, beliau sendiri menjalani latihan di situ pada tahun 1984. Selepas menimba pengalaman, beliau akhirnya dilantik sebagai Ketua Jabatan O&G HKL pada tahun 2008.
"Hospital bersalin HKL banyak berjasa kepada pakar-pakar O&G yang ada di negara kita hari ini. Majoriti daripada mereka menerima latihan awal di sini dan sehingga sekarang, pelajar perubatan khususnya dalam bidang O&G memilih HKL bagi menjalani praktikal," ujar Ravindran.
Kos perubatan
Sementara itu, menyentuh soal bayaran bagi servis bersalin di HKL, pasti ramai bersetuju bahawa caj yang dikenakan amat berpatutan.
Pakar Sakit Puan dan Bersalin HKL, Dr. Ramadas Rajagovallu menyatakan, subsidi oleh kerajaan memberi banyak keuntungan kepada warganegara Malaysia.
"Pesakit kelas ketiga hanya perlu membayar RM3 sehari untuk caj wad.
Kumpulan ini juga hanya membayar RM10 untuk kos bersalin normal dan RM100 bagi kes melibatkan pembedahan.
"Secara keseluruhan, caj maksimum bagi warganegara Malaysia yang duduk di kelas ketiga adalah RM500. Perlu diketahui juga bahawa keutamaan untuk tinggal di kelas pertama dan kedua adalah bergantung kepada kekosongan dan siapa yang memohon dahulu.
"Dakwaan yang mengatakan hanya pekerja kerajaan diberi keutamaan terhadap kelas pertama adalah tidak benar kerana ia dibuka untuk semua lapisan masyarakat," jelas Ramadas.
Bagaimanapun, Ramadas mengatakan caj yang dikenakan ke atas warga asing adalah berbeza. Warga asing yang duduk di kelas ketiga perlu membayar kos yang sama seperti pesakit rakyat Malaysia di kelas pertama.
"Namun kami juga memberikan potongan 50 peratus kepada golongan pelarian," tambah Ramadas menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: