Saturday, May 4, 2013

Buat keputusan pada saat akhir



MEREKA tidak kisah dengan parti politik, tidak mahu ambil tahu mengenai isu politik malah mereka sudah muak untuk berbicara mengenai politik.
Itulah sifat pengundi atas pagar yang yang menyebabkan corak pengundian Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) begitu banyak berubah.
Kewujudan mereka berupaya memberi pengaruh besar kepada landskap politik negara.
Ada pula yang berpendapat, kaum Cina antara yang tergolong dalam kelompok tersebut lantaran mereka sangat rigid dalam menilai prestasi parti yang memerintah.
Tersilap langkah, orang Cina bila-bila masa boleh membuat pusingan U daripada memberi undi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) jika merasakan kaum mereka dipinggirkan.
Walaupun sudah berakar umbi sejak sekian lama dalam majoriti masyarakat yang layak menjadi pengundi, kelompok tersebut mula menunjukkan taring dengan memberi gambaran awal mengenai kewujudan mereka tidak boleh diperlekehkan.
Kajian Felo Prinsipal Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin bersama rakan-rakan akademik yang lain mendapati pengundi atas pagar mewakili 40 hingga 45 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar.
Angka itu bukan kecil, hampir kepada majoriti malah kata Sulaiman, kumpulan itu sukar dikenal pasti dan berada dalam semua saluran mengundi serta mewakili penduduk bandar dan luar bandar.

PENGUNDI muda merupakan kelompok yang kuat dan faktor penentu dalam PRU-13. - Gambar hiasan


"Ragam yang cukup ketara bagi pengundi atas pagar adalah mereka tidak membuat keputusan awal mengenai parti mana yang mereka sokong.
"Sehingga ke saat akhir, mereka masih mampu menunggu dan kajian menunjukkan, antara dua hari terakhir sebelum mengundi, kumpulan ini akan mula mendapat idea mengenai parti atau calon mana yang akan dipangkah pada kertas undi," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Lompong besar
Merungkai mengenai pengundi atas pagar itu, kata Sulaiman, ada sebab hingga mereka digelar dengan panggilan itu.
Apa yang ketara faktor kewujudan golongan itu ialah tidak ambil kisah mengenai politik, sudah muak dan lali dengan kerenah ahli politik dan masih tidak dapat memahami atau menyelami isu yang dibawa oleh parti politik terbabit.
Bagaimanapun menurut Sulaiman, situasi itu menunjukkan ada lompong yang besar dalam kempen yang dilakukan oleh setiap parti.
Katanya, ia seolah-olah menggambarkan jentera parti tidak membuat penyelidikan dan memberi penumpuan kepada kelompok pengundi tersebut serta memahami apa yang tersimpan dalam fikiran mereka.
"Manusia ialah makhluk sosial yang sangat unik, mereka berhubung dengan kawan-kawan dan ini memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan pola pengundian golongan tersebut.
"Mereka memang kelompok yang kuat dan faktor penentu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini.
"Ada kebaikan wujudnya mereka dalam arena politik negara kerana kerajaan yang memerintah, kena berwaspada dan sentiasa ambil tahu keperluan semasa rakyat," jelasnya.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim pula menganggap, pengundi muda yang berjumlah kira-kira 1.3 juta menjadi kumpulan utama dalam golongan tersebut yang perlu diberi tumpuan dalam kempen pada pilihan raya ini.

DUA petugas Suruhanjaya Pilihan Raya mengasingkan surat-surat berisi kertas undi luar negara mengikut negeri di Kementerian Luar menjelang pilihan raya umum ke-13.


Menurutnya, pengaruh golongan muda yang mengundi di saluran 3 berupaya menarik corak pengundian peringkat umur lain.
"Kalau dahulu, biasanya orang tua iaitu ibu bapa akan menasihati anak-anak mengenai parti atau calon tertentu yang perlu disokong namun situasi itu sudah bertukar.
"Dengan ledakan pelbagai platform maklumat semasa sekarang, anak-anak muda ini akan mempengaruhi keluarga mereka termasuk kelompok masyarakat yang rapat ketika proses pengundian berjalan," katanya.
Pandangan itu turut dikongsi oleh bekas Ahli Parlimen BN Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang yakin pengundi muda mula matang dalam menilai prestasi kerajaan.
Beliau menyifatkan, pengundi muda era ini bijak dan berpandangan terbuka terhadap pentas politik negara meskipun sokongan itu boleh berubah pada bila-bila masa.
Komitmen berterusan oleh BN dalam mengangkat ketokohan dan kewibawaan kelompok tersebut katanya, mampu menarik minat golongan muda untuk bersama-sama dengan kerajaan sedia ada memacu pembangunan negara.
"Perebutan mendapatkan sokongan pengundi muda masih terbuka luas sehingga ke hari pengundian.
"Apa yang pasti, pengundi akan memilih calon yang dapat membuktikan kelebihan yang ada pada mereka," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: