Saturday, May 25, 2013

Altimet akui terkilan

ALTIMET menafikan isu lagu Kalau Aku Kaya sekadar suatu gimik.


NAMA penyanyi Altimet yang cukup popular dengan lagu Bangkit dan Syukur semakin bertambah hangat apabila pada 21 Mei lalu telah menulis status berbaur kemarahan menerusi akaun Twitter miliknya.
Semuanya gara-gara lagu terbaharunya yang berjudul Kalau Aku Kaya, hasil ciptaan Omar K dan lirik oleh Altimet sendiri telah disiarkan di sebuah stesen radio swasta terlebih awal daripada waktu sasaran promosi iaitu selepas hari raya Aidilfitri tahun ini.
Melepaskan kemarahannya kepada syarikat rakamannya Warner Music Malaysia, Altimet dalam statusnya di Twitter menulis, dia enggan lagi menghasilkan lagu dan album baharu disebabkan insiden ini.
Bagaimanapun dalam temu bual pemilik nama sebenar Ahmad Alhadad bersama Kosmo! kelmarin, Altimet yang membawa genre hip hop dan rap mengakui dia terkilan dengan apa yang berlaku.
Kosmo!: Apakah yang sebenarnya berlaku di sebalik isu lagu Kalau Aku Kaya?
ALTIMET: Sebenarnya semua yang berlaku disebabkan salah faham. Selalunya, lagu baharu akan diberi kepada pihak stesen radio dan mereka akan putarkan lagu tersebut dalam tempoh tiga bulan kemudian.
MENGAKUI dia jenis yang suka berterus-terang, Altimet menolak andaian dia cuba tunjuk bagus.


Apakah masalahnya kerana lagu itu diputarkan di radio dan mendapat sambutan yang baik?
Sebelum itu, pihak saya dan pihak syarikat rakaman sudah duduk berbincang dan kami sama-sama bersetuju untuk mengeluarkan lagu Kalau Aku Kaya selepas hari raya Aidilfitri serentak dengan video muzik lagu tersebut. Memang setiap lagu yang dibuat untuk dinikmati orang ramai tetapi kami mempunyai strategi pemasaran yang telah dipersetujui.
Siapakah yang harus dipersalahkan?
Saya tidak boleh salahkan sesiapa termasuk stesen radio kerana mereka suka lagu saya dan mereka putarkannya. Saya berterima kasih kerana ramai lagi penyanyi yang tidak mempunyai peluang yang sama seperti saya. Bagaimanapun seperti yang saya kata, pihak saya mempunyai strategi dan nampaknya sekarang saya kena ubah strategi untuk promosikan lagu itu sebaik mungkin. Ada hikmah sebalik apa yang berlaku. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dan mereka yang melakukan tugas pemasaran juga harus mengambil pengajaran.
Tindakan anda mungkin ada benarnya kerana mempertahankan produk sendiri tetapi pada masa yang sama kelihatan seperti gimik untuk popularkan lagu terbaharu itu. Komen anda?
Lagu Kalau Aku Kaya tidak perlu sebarang gimik atau kontroversi untuk popular. Siapa yang sudah dengar lagu itu pasti tahu tahap kualitinya. Saya bukan jenis penyanyi yang suka bikin kontroversi untuk popular, itu bukan cara saya.
Adakah anda sedar kelantangan anda bersuara dalam hal tidak akan disenangi sesetengah pihak?
Saya seorang yang suka berterus-terang, siapa yang kenal saya memang saya kedengaran sedikit kasar. Jauh sekali berniat untuk kurang ajar atau tunjuk bagus. Jika ada pihak yang terasa, saya minta maaf tetapi kadangkala saya rasa perlu bertegas untuk melindungi karya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: