MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Perumpamaan itu menggambarkan pengalaman manis pelakon popular Aaron Aziz melihat anak keduanya mewarisi sebahagian daripada bakat lakonannya baru-baru ini.
Aaron menjelaskan, dia bangga melihat prestasi Dwi Ariana yang kini berusia enam tahun berlakon dalam sebuah filem arahannya berjudul Romeo Kota secara tidak sengaja.
“Dia (Dwi Ariana) penyelamat saya pada hari itu. Ketika penggambaran pelakon tambahan kanak-kanak tidak hadir dan saya memujuknya untuk menggantikan tempat pelakon itu beberapa kali.
“Itu kali pertama saya melihat dia berlakon dan saya melihat dia mempunyai potensi dan disiplin untuk bersinar,” singkap Aaron.
Selain filem Romeo Kota, Dwi Ariana turut ditawarkan membintangi sebuah iklan untuk mempromosikan siri animasi terbaharu di saluran Disney berjudul Princess Fiona.
“Sepanjang penggambaran dari pagi hingga petang saya melihat dia bersungguh-sungguh menghafal skrip terutama bahasa Melayu kerana bahasa Melayunya agak teruk,” katanya.
Gaji anak
Akui Aaron, dia beberapa kali membawa ketiga-tiga anaknya, Danish Anagi, 8, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa, 2, ke lokasi penggambaran untuk memberikan pendedahan awal dunia lakonan.
Bagaimanapun, Aaron tidak menggalak atau melarang cahaya matanya untuk terbabit dalam dunia lakonan selepas ini.
Kata Aaron, dia mahu anak-anaknya memiliki kelayakan tetap paling tidak ijazah sebelum betul-betul mahu menceburkan diri dalam bidang seni.
Dalam soal memenuhi kehendak anak-anaknya, Aaron mempunyai pendirian bahawa tiada rezeki boleh datang bergolek.
“Dwi ada meminta saya belikan beg jenama Miu Miu baru-baru ini tapi saya enggan belikan kerana agak mahal. Caranya, dia meminta saya duit bayaran berlakon filem itu untuk membeli beg yang dia mahukan,” tambah Aaron yang ditemui ketika tayangan perdana filem Lari di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
|
|
Pukul betul
Sementara itu, berkongsi sedikit pengalaman membintangi filem aksi Lari, kata Aaron sejujurnya dia berpuas hati dengan lakonannya dalam filem itu.
“Lari merupakan filem aksi paling mencabar bagi saya. Saya melakonkan watak Khaliff yang kebanyakannya perlu bertarung bersendirian, sudah pasti kebanyakan babak agak berat bagi saya.
“Namun, saya berpuas hati dengan koreografi aksi yang diarahkan oleh Tony Jaa kerana ia logik, kemas dan tepat!
“Untuk mendapatkan impak yang nampak jelas, Lari tidak menggunakan helah kamera pun, lebih 98 peratus aksi dilakukan sendiri oleh pelakon,” katanya yang akan memulakan penggambaran filem Adam & Hawa tidak lama lagi.
Babak paling mencabar kata Aaron ketika perlu bertarung di atas sebuah bot yang memerlukan dia teroleng-oleng di lautan dari pagi sampai petang sehingga ada beberapa orang krew terpaksa berganti-ganti ekoran mabuk laut.
Filem Lari yang menjalani penggambaran di Perlis, Kuala Lumpur dan Ipoh mengisahkan Khaliff yang berdepan dengan konflik apabila adiknya Ina (Erin Malek) dilarikan oleh sindiket pemerdagangan manusia manakala ayahnya mati dibunuh.
Lari akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Jun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: