Tuesday, March 5, 2013
Zikir rahsia album dapat sambutan
MEMORI enam tahun lalu cukup kejap dalam ingatan anak muda ini. Semuanya kerana gara-gara wang. Air matanya tumpah kerana wang di dalam dompetnya cuma tinggal seringgit. Pada masa itu dia merupakan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dengan jumlah wang yang sebegitu tentulah dia tidak dapat membeli makanan. Namun untuk mengalas perut, dia membeli mi segera dan wangnya berbaki 20 sen.
"Air mata saya menitis ketika mengenangkan kisah jerih perih memulakan hidup sebagai insan seni.
"Ketika itu saya sedang menghasilkan album solo pertama. Keesokan harinya saya menelefon ibu untuk meminjam RM100 sebagai modal untuk menyara hidup pada minggu tersebut," luah pelantun album Zikir Terapi Diri, Hafiz Hamidun atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun.
Selepas insiden tersebut, anak ketiga daripada lima beradik itu berjanji pada dirinya untuk tidak akan membiarkan wang di dalam dompet dihuni not kertas biru sahaja.
Insiden itu menjadi pembakar semangat buat diri anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu sehingga lahirnya album Zikir Terapi Diri pada tahun 2011. Lebih membanggakan, zikir terapinya mencetuskan fenomena dalam industri muzik negara.
Walaupun sudah meraih populariti luar biasa, figura berusia 28 tahun ini seorang yang rendah diri.
Pernah menganggotai kumpulan nasyid UNIC pada tahun 2002 ketika usianya 18 tahun, Hafiz bagaimanapun meninggalkan kumpulan tersebut kerana tamat kontrak.
Beliau mula berjinak-jinak dalam industri muzik selepas terlibat dalam industri sejak tahun 2002 ketika menuntut di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya.
Semuanya bermula secara tidak sengaja apabila kumpulan nasyid Hijjaz menjemput Hafiz menggantikan persembahan salah seorang anggota kumpulan UNIC.
Dapat sokongan
Menurut Hafiz, dia aktif menyertai pertandingan-pertandingan seni seperti dikir barat, nasyid, puisi sejak di bangku sekolah. Dia yang cenderung kepada nasyid pernah memenangi pertandingan nasyid sehingga ke peringkat kebangsaan.
"Setelah ke IPT (institusi pengajian tinggi), saya fikir saya tidak akan lagi terlibat secara aktif, tetapi keadaan menjadi lebih serius apabila di Pusat Matrikulasi UIAM kerana nasyid merupakan hiburan utama di institusi itu," katanya ketika ditemui di studionya, Arteffects International di Neo Damansara, Petaling Jaya.
Bermula dari saat itu, rakan-rakan dan keluarga tidak putus-putus memberikan sokongan termasuklah kumpulan Hijjaz sendiri.
Apakah rahsia kejayaan album zikirnya mencetuskan fenomena hingga terjual hampir 80,000 unit dalam masa 11 bulan? Hafiz percaya zikir itulah yang menjadi kekuatan album tersebut. "Tiada rahsia atau sebarang formula di sebalik kejayaan album ini. Apa yang pasti, saya meletakkan keutamaan zikir sebagai elemen teras album ini.
"Niat saya adalah mahu menyebarkan kekuatan zikir supaya orang ramai terus mencintai dan menjadikan zikir sebagai amalan harian mereka," ujarnya bahawa album Zikir Terapi Diri mengetengahkan elemen muzik terapi dengan kaedah susunan muzik yang minimalis.
Menurut Hafiz, ilham untuk menghasilkan album sebegini sebenarnya sudah lama, cuma dia menunggu masa yang sesuai untuk menerbitkannya.
Kepada beliau, seseorang pencipta lagu atau lirik lagu-lagu ketuhanan perlu ada 'rasa' bahawa lagu atau lirik yang bakal terhasil akan turut disukai ramai, bukan hanya sedap di telinga sendiri.
Mencipta lagu
Kemerduan sesebuah lagu bukan sahaja terletak pada vokal pelantun, tetapi ia harus juga disokong dengan lirik dan melodinya. Jika sesebuah lagu ketuhanan itu memerlukan elemen sedih, liriknya mestilah tepat dan tidak banyak berselindung. Melodinya juga perlu tersusun tetapi terus menangkap perasaan.
"Seseorang pencipta lagu ketuhanan perlu berhati-hati apabila mencipta lirik yang mahu dilagukan. Apabila terlalu banyak metafora, orang ramai mungkin tidak dapat memahami apa yang ingin disampaikan.
"Pemilihan kata juga harus tepat. Tidak semua perkataan sedap dinyanyikan, tetapi ada juga perkataan yang janggal disebut tetapi menarik untuk dinyanyikan," terangnya ilham boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
Kini, dia mesti duduk di studio dan menggambarkan terlebih dahulu lagu bagaimana yang ingin dihasilkannya. Kemudian Hafiz akan menekan piano dan mencuba satu demi satu sehingga sebuah lagu terhasil.
Lelaki yang masih solo ini mengakui lirik dan lagu sangat penting dalam penciptaan sesebuah lagu kerohanian.
"Tanpa lirik yang bagus, tidak mungkin sesebuah lagu dapat menyampaikan maksudnya.
"Seseorang yang ingin mencipta lagu kerohanian perlu ada ilmu yang banyak tentang subjek yang disentuh," katanya.
Mengenai rutin hariannya, Hafiz memberitahu dia jarang berehat, makan, tidur dan bersukan.
Jika tiada persembahan, rutinnya akan bermula seawal pukul 6 pagi. Usai subuh, Hafiz akan memulakan harinya dengan melayari Facebook dan Twitter.
Sebelum pukul 9 pagi, Hafiz sudah tiba di studionya dan akan 'bertapa' seharian untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang penting.
Selaku penerbit, tugas lulusan muzik UiTM, Shah Alam itu bukan sahaja mencipta lagu dan melaksanakan rakaman, malah Hafiz turut terlibat dalam proses pemasaran dan jualan.
Berkat kesabaran dan kerja kerasnya, anak muda ini tampil mengadakan konsert sulungnya pada 14 November lalu yang dihadiri 2,000 penonton.
Rancangan masa depan
"Saya bersyukur dengan sambutan para peminat kerana album Zikir Terapi Diri ini telah membina hubungan rapat antara saya dengan pencinta-pencinta zikir. Ada yang tidur dengan memutarkan zikir-zikir dalam album tersebut, malah zikir itu juga menjadi peneman ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan pelbagai lagi," katanya yang menyifatkan konsert tersebut sebagai lambang terima kasih kepada para peminat.
Apakah perancangan Hafiz pada masa akan datang? Sambil mengakui perjalanannya masih jauh, namun Hafiz sudah merencana sesuatu demi masa depannya.
"Saya bercita-cita untuk membesarkan syarikat dan masuk ke pasaran antarabangsa.
"Selain itu, saya mahu mengembangkan kerjaya berteraskan syariah. Sebagai seorang pemuzik dan ahli perniagaan, keseimbangan antara kedua-duanya sangat penting," katanya yang menggemari warna ungu.
Menyifatkan dirinya seorang yang terbuka, Hafiz percaya muziknya sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
"Pendengar muzik terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Ia bukan untuk diperdagangkan tetapi harus diserlahkan potensinya supaya semua orang mendapat manfaat daripadanya," ujar Hafiz yang juga berbakat pengacarakan majlis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: