Tuesday, March 5, 2013

Politik bawang India


HARGA bawang
di India meningkat sehingga dua kali ganda sejak awal tahun ini.


DI SEBUAH warung yang terletak di siar kaki Mumbai, India, seorang tukang masak dilihat sedang mencampakkan potongan lobak merah, kubis dan daun saderi ke dalam kuali yang berisi minyak panas. Dia kemudiannya memasukkan hirisan bawang ke dalam kuali yang sama.
"Saya tidak mampu untuk menambah lebih banyak bawang," ujar Govind Ram sambil memerhatikan seorang tukang masaknya menyediakan menu sayuran kering ala Manchuria, hidangan signatur warungnya yang mengandungi banyak bawang merah dan daun bawang.
Govind, pemilik warung jalanan Dragon Corner yang terletak di selatan Mumbai itu memberitahu, kebiasaannya dia menggunakan 45 kilogram (kg) bawang setiap bulan.
Bagaimanapun, ekoran kenaikan harga bahan itu sehingga dua kali ganda bermula awal tahun ini, dia terpaksa merombak semula penggunaan ramuan bagi sajian di warungnya.
Di kebanyakan warung tepi jalan dan pasar raya, pelanggan membelanjakan 28 rupee (RM1.60) sehingga 40 rupee (RM2.30) bagi sekilogram bawang. Harga itu mencetuskan rasa tidak puas hati warga India yang sebelum ini hanya membayar 10 rupee (RM0.60) sehingga 15 rupee (RM0.85) untuk amaun yang serupa.

PARA peniaga tidak dibenarkan menyembunyikan stok bawang atau mereka akan dikenakan tindakan.


Kenaikan harga
Berdasarkan data rasmi negara itu, harga bawang mencatatkan kenaikan harga paling tinggi berbanding harga makanan lain.
"Ia benar-benar memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah dan membuatkan mereka tertekan," ulas ketua ekonomi India Ratings, cawangan agensi Fitch.
Dengan kos yang tinggi berserta inflasi makanan sekitar 12 peratus yang dihadapi India, ia secara langsung menjadi masalah kepada tampuk pemerintahan yang kini dipegang Parti Kongres. Ia bakal menggugat usaha mereka dalam mengekalkan kuasa untuk tiga penggal berturut-turut menjelang pilihan raya umum awal tahun depan.
Bawang mungkin bukan sumber nutrisi terpenting tetapi ia sangat penting dalam menambah rencah kepada makanan. Namun, apabila rencah tersebut tidak dapat dipenuhi, ia berupaya menjadi bahan utama untuk dipolitikkan.
Mengimbas kembali pada Januari 1980, ketika Indira Gandhi mendapat kembali kuasanya, isu kenaikan harga bawang menjadi manifesto yang efektif. Rakyat India dikatakan tidak mahu tunduk kepada pemerintah yang gagal mengawal kos jual beli bawang.
18 tahun kemudian, masalah harga bawang kembali menghantui India. Rakyat mula hilang kepercayaan kepada tampuk pemerintahan tersebut dan mahukan pembaharuan.
"Pemerintah tidak peduli tentang kami. Jika dahulu, lauk sayur dan ikan yang dicampur bawang boleh disajikan dengan kerap. Kini, ia dicatu menjadi sekali seminggu sahaja.
"Kami menggantikan sajian nasi dan sayur kepada podi (sejenis makanan yang diperbuat daripada serbuk lentil berempah)," luah seorang suri rumah di kawasan setinggan Mumbai, Sumathi Arogyanathan, 45.

PELBAGAI jenis sajian di India menggunakan bawang dalam kuantiti yang banyak.


Penyelesaian
Para pedagang di barat Maharashtra memberitahu, kenaikan harga bahan itu adalah disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, kelewatan ketibaan barangan, permintaan yang konsisten dan peningkatan kos pengeluaran.
Berdasarkan laporan untuk kawalan perdagangan saksama, para pedagang memberitahu, Suruhanjaya Persaingan India sebenarnya mempengaruhi kos bawang iaitu sebanyak 15 juta tan yang kebiasaannya diperoleh setiap tahun.
Krisis bawang melibatkan kenaikan harga mula meledak pada tahun 2010 sehingga memaksa Perdana Menteri India, Manmohan Singh campur tangan dengan menyekat eksport bawang, menghapuskan cukai import dan membawa masuk bahan itu dari Pakistan.
Pakar ekonomi menjangkakan, pihak pemerintah akan membuat garis panduan sebagai insentif atau pengukur dalam bajet persekutuan bagi memperbaiki bekalan, mengurangkan pembaziran sekali gus menurunkan kembali harga buah-buahan dan sayur-sayuran.
"India sangat suka menerapkan pendekatan bomba!
"Apabila terdapat kebakaran, baru mereka memadamkan api tersebut," ujar ketua ekonomis yang bertugas bersama firma Crisil, Dharmakirti Joshi.
Ketua Menteri Delhi, Sheila Dikshit telah mengumumkan bahawa jabatan bekalan awam perlu mengambil tindakan ke atas penyembunyi bekalan makanan. Menteri Kereta Api Kebangsaan India, Shri Pawan Kumar, pula berjanji untuk menambah bilangan gerabak bagi meningkatkan bekalan.
Namun tanpa penyelesaian jangka panjang yang sistematik, harga bawang berkemungkinan kekal pada paras tinggi untuk tempoh tertentu.
"Mereka tidak boleh mengabaikan masalah ini. Ia perlu diselesaikan," tegas Joshi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: