Wednesday, March 6, 2013

Zamani masih laku

SELAIN menyanyi secara solo, Zamani masih aktif bersama kumpulannya, Slam.


PADA zaman kegemilangannya, vokalis utama kumpulan Slam, Zamani pernah menjadi kegilaan peminat khususnya para wanita. Kejayaan Slam ketika itu menyebabkan jadual Zamani penuh dengan jemputan dan tawaran mengadakan persembahan di seluruh negara. Ia akhirnya membuatkan dirinya tidak menang tangan.
Setelah beberapa dekad mewarnai dunia muzik tempatan, kewujudan ramai penyanyi dan kumpulan baharu dalam industri seperti melenyapkan nama Slam mahupun Zamani buat seketika.
Namun begitu, alunan vokal Zamani yang tidak pernah berubah membuatkan peminat masih menghargai bakatnya dalam arena muzik Malaysia. Lagu-lagu milik Slam seperti Jika Kau Rasa Getarnya, Tak Mungkin Berpaling, Cindai Asmara dan Bukan Niat Membalas Derita masih segar didengari hingga kini.
Tidak pernah berputus asa dan berhenti daripada bidang nyanyian, pemilik nama sebenar, Zamani Ibrahim ini sebenarnya masih aktif memenuhi jadual karier nyanyiannya.
Bertemu figura ini di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor ketika majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha bersama Zamani, ternyata beliau seorang yang peramah serta tidak keberatan untuk menjawab segala persoalan yang diajukan kepadanya.
Selain tentang karier penyanyi berusia 42 tahun ini secara terbuka memberitahu dia masih menunggu cinta buat dirinya.

Saya mahu dia menerima bukan sahaja kebaikan, malah keburukan yang wujud dalam diri saya- ZAMANI


Pertama kali
Walaupun kumpulan Slam mahupun Zamani telah wujud dalam industri muzik sejak tahun 90-an lagi, akui Zamani sendiri, ini merupakan kali pertama dia dijemput untuk memeriahkan minggu setiausaha yang begitu popular pada setiap tahun.
"Sepanjang karier bergelar penyanyi, ini pertama kali saya dijemput untuk mengadakan persembahan bagi majlis minggu setiausaha. Saya tahu kewujudan minggu setiausaha tapi saya kurang ambil tahu kerana tidak pernah mendapat tawaran.
"Namun, kadang kala terdetik juga rasa teringin untuk membuat persembahan bagi menghiburkan para setiausaha. Jadi, saya rasa berterima kasih di atas peluang yang diberikan oleh Tripple Network Solution (M) Sdn. Bhd. kerana memberi kepercayaan kepada saya," tutur Zamani ketika ditanya kekerapan menerima tawaran mengadakan persembahan sempena minggu setiausaha.
Tambahnya, oleh kerana tidak pernah terlibat dengan program seumpama ini, pada mulanya, dia kurang berkeyakinan untuk menghiburkan para tetamu kelak. Akan tetapi, setelah berbincang dengan pengurus peribadinya, Johan, keyakinan itu hadir dalam diri. Harapan Zamani agar dia dapat melakukan sehabis baik pada majlis itu.
Selain bakal menghiburkan setiausaha, Zamani juga terlibat dalam konsert mega iaitu Konsert Gegar Lima Lagenda bersama Saleem, Ali XPDC, Rahmat Mega dan Aris Ariwatan yang bakal berlangsung pada 15 hingga 17 Mac ini di Istana Budaya.
Ditanya bagaimana dengan perkembangannya bersama Slam, jelas Zamani, mereka masih aktif menerima undangan persembahan termasuk di negara jiran, Singapura.
"Alhamdulillah, tahun lepas merupakan rezeki buat Slam di Singapura. Tiga kali kami dijemput untuk mengadakan persembahan dan ada satu persembahan solo saya bersama Saleem.
"Selain itu, ada juga saya buat beberapa persembahan lain di sini seperti di Melaka dan Sabah. Mungkin peminat lihat saya tidak banyak tampil di Kuala Lumpur. Namun, sebenarnya, saya banyak mengambil tawaran di luar Kuala Lumpur," jelasnya sambil bersyukur kerana masih mendapat tawaran menyanyi biar tidak sibuk seperti dahulu.
Sementara itu, saat ditanya tentang kemunculan single atau album baharu, tutur Zamani, buat masa ini, dia masih tidak punya perancangan untuk sebarang penghasilan album mahupun single terbaharu.
Jelasnya, mungkin dengan percambahan artis baharu dalam industri muzik, kini bukanlah masa yang sesuai untuk melancarkan single atau album. Buat masa ini, single bersama Sharifah Zarina yang berjudul Tak Keruan yang dilancarkan pada tahun lepas, merupakan single baharu daripada penyanyi ini.

ZAMANI mengaku kurang menerima publisiti daripada pihak media, bagaimanapun kariernya tetap berjalan lancar.


Cerita cinta
Pasti pelik jika seorang lelaki yang mempunyai nama besar dalam industri muzik, namun belum punya kekasih hati. Hal itu diakui oleh penyanyi yang telah mencecah usia 42 tahun ini.
Tanpa berselindung, dia mengaku pernah mengalami beberapa kali episod putus cinta dan sehingga kini masih belum mempunyai kekasih yang mahu disunting menjadi suri hatinya.
Ujarnya, dia masih belum bertemu wanita yang bakal dijadikan suri hati bagi menguruskan dirinya.
"Saya belum lagi mengambil keputusan untuk menamatkan zaman solo buat masa ini. Sejujurnya, saya tidak menolak jika memang benar ditakdirkan untuk berkahwin kelak.
"Namun hakikatnya, saya rasa jodoh belum lagi sampai dan saya perlu terima. Jika ada yang sudi, apa salahnya untuk saya mencuba juga," tutur Zamani tidak menyembunyikan keinginannya untuk membina rumah tangga.
Tambahnya, dia tidak pernah menolak atau berasa serik untuk mendekati atau didekati mana-mana wanita yang ingin mengenali dirinya. Namun, jika dia telah bertemu dengan seorang wanita yang layak menjadi calon isterinya, pasti dia akan berkongsi cerita dengan khalayak.
Zamani menambah: "Mungkin dahulu, ketika umur masih muda, saya juga pernah impikan wanita yang punya ciri-ciri yang diiinginkan. Bagaimanapun kini, memandangkan umur saya semakin berusia, saya hanya mahukan wanita yang memahami diri saya."
Ditanya bagaimana seseorang wanita itu mampu menawan hatinya, Zamani memberitahu bakal suri hatinya itu perlu benar-benar memahami siapa Zamani yang sebenar dan bukan Zamani yang dikenali ramai dan popular.
"Ini kerana, saya mahu dia menerima bukan sahaja kebaikan, malah keburukan yang wujud dalam diri saya. Buat masa ini, itulah wanita yang ingin saya cari dan untuk punya ciri-ciri, mungkin tidak lagi."
Walaupun mungkin agak sukar untuk menemui cinta hati, namun tegas Zamani, dia tidak pernah pasrah dengan apa yang berlaku terhadap dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: